Selepas aku turun dari mahkamah, terus aku menuju ke Bank Rakyat. Bank itu dikawal ketat beberapa pengawal yang bersenjatakan senapang. Senapang mereka amat cantik dan aku sangat suka memerhatikan senapang mereka yang hitam-hitam itu.
Ooo... macam ini rupanya bila kita menjadi defendan. Pagi-pgi lagi aku dah berbaris dalam kelompok peguam-peguam aku saja orang awam. Kompleks mahkamah ini sangat besar, ada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret, dan Mahkamah Syariah juga. Tak lupa ia turut menyediakan lokap!
Bintang.
Peguam yang mewakili plaintif iaitu peguam pihak bank muda lagi orangnya. Kami dipanggil ke depan mengadap Puan Majistret. Yang Arif tanya peguam. Peguam jawab - orang ni tak bayar hutang bank, bank failkan saman, pihak defendan menghadirkan dirinya, pihak bank menetapkan bayaran minimum bla.. bla.. bla... bla... bla... bla...
Yang Arif tanya aku mengapa tak bayar? Aku jawablah, " Saya belum mampu (nak bayar hutang)."
Yang Arif bersoal jawab dengan peguam. Yang Arif tanya aku lagi, setuju atau tidak dengan penetapan peguam dan bank? Aku jawab, "Saya tidak bersetuju."
Yang Arif berbicara dengan peguam dan berbicara dengan pegawai mahkamah. Bulan Oktober depan kena naik mahkamah lagi, sila bawa dokumen-dokumen berkaitan (sokongan). Semua bersetuju. Yang Arif tanya aku.
Aku pun jawab, "Setuju."
Itulah beberapa patah perkataan sahaja yang aku jawab sepanjang sessi perbicaraan.
Selesai perbicaraan peguam bank ajak aku berbincang di luar mahkamah. Elok sahaja orangnya kiranya friendly-lah juga.
Aku cakaplah aku bukan sengaja tak bayar hutang, aku tak mampu lagi. Aku pinjam bank guna untuk bayar yuran pengajian kat universiti. Ingatkan lepas keluar U boleh dapat kerja best, gaji best. Tup tup... majikan aku pula lingkup bankrap. Tak dapat gaji, tak ada EPF, sudahnya rumah pun nak kena lelong, kereta terpaksa jual, motorsikal jual... Terpaksa aaa buat kerja freelance, encik tau sajalah berapa sangat pendapatan jadi freelance. Nasib baik baru-baru ni saya dapat kerja jadi kerani. Inilah slip gaji saya ha. Baru tujuh bulan kerja. Adalah sikit untuk hidup, dan saya rasa saya boleh bayar installmen ni sikit-sikit.
"A'ah... anak saya dah tiga orang.", jawab aku spontan. Pandai pula dia meneka jumlah anak aku berdasarkan pada raut wajah dan personaliti aku saja.
Dia nasihatkan aku pergilah bank, pergi jumpa pegawai yang berkenaan, berbincang, ceritakan apa masalah. Mungkin pihak bank boleh berbudi bicara dan aku serta dia (peguam) tidak perlu naik mahkamah lagi. Sebelum balik aku salam dia, dia salam aku.
Bintang bintang.
Awek aku duduk di sofa di lobi bank sajalah. Sedang aku berbincang dengan pegwai bank dalam sebuah cubicle kecil dilingkari partition setinggi lebih kurang 1.5 meter.
Pegawai bank ini baik saja melayan aku. Aku ceritakan segala masalah aku yang aku galas sepanjng lebih kurang 3 tahun ini.
Aku kemukakan juga nama-nama peguam yang terlibat dengan kes aku. Yang dah tak bergerak tapi terpampang dalam laporan oleh CTOS. CTOS ni umpama arang dan tahi anjing di muka kita. Sekali sangkut dengan sesebuah institusi kewangan maka institusi kewangan yang lain tidak akan memandang kau, bersihkan arang dan tahi anjing di muka kau tu dulu barulah mereka akan 'melayan' kau.
Aku yang dulu kerja syarikat korporat, kemudian belajar part-time ijazah komunikasi korporat... habis belajar tup tup jatuh melarat. Tidak lebih aku ini atas sedikit dari anjing keparat. Salahkanlah US yang serang Iraq, makilah kerajaan yang naikkan harga minyak... atau siapa saja yang kau benci penyebab kejatuhan ekonomi kita, kalau kau mahu.
Mudah saja, Puan Pegawai bank suruh aku buat akujanji. Berapa mampu bayar bulanan. Kekalkan bayaran untuk 3 bulan. Bank pantau. Kalau fault, tindakan mahkamah akan diambil. Mahkamah pula yang akan pantau nanti. Dengan bank kalau tak bayar ikut akujanji masih tak apa lagi. Dengan pihak mahkamah jangan buat main, tak akur pada janji lokap sedia menanti.
Aku tandatanganlah sajalah mana yang patut. Kita dah berhutang wajiblah bayar balik. Orang yang berhutang ni sebenarnya dah 'makan masa depan' sendiri.
Bintang bintang bintang. Tiga bintang.
Awek aku nak makan cempedak goreng, tapi orang gerai tu belum pun kupas cempedak tu lagi. Tak ada masa nak tunggu kami berlalu saja.
"Bang, apa orang bank cakap kat abang tadi? Ceritalah.", awek aku cantik.
"Orang bank tu cakap... Encik kena bayar segala hutang encik, bayar jangan tak bayar... kalau tak... encik nampak tak pak guard kat pintu masuk tu? Dia orang tembak encik dengan senapang tu nanti."
Ha ha ha awek aku dan aku ketawa sambil motorsikal kami membelah angin di tengah-tengah lalu lintas jalan raya yang sibuk.