Saturday, December 29, 2007

Gath Geju 2007 - Laporan


Banner ini sangat cantik



OP sangat hensem. Amyz saaangat cantik.



Seorang lelaki sedang makan nasik.



Dua orang lelaki sedang makan nasik.




Empat orang lelaki sedang makan nasik.




Sepatutnya Salina makan buah.



Aku nak pialanya saja, wang tunai RM16 ribu dan tiket ke Perth tu kau simpanlah. HAHA


Aku menang anugerah dan dapat pingat. Yeay!

Nampaknya tahun ini aku menang Entri Terbaik Humor. Entri yang bertuah itu bertajuk 'Anak Lelaki Saya Kerja Kilang Roti'.

Lagi laporan gaht di http://www.jurnal.biz

Friday, December 21, 2007

Senapang Bapak Mertua








Masa aku bertunang dulu sekali haram tak pernah berdating. Bila aku ayat awek aku ajak berdating, dia selalu jawab, "Berani-beranilah abang usung anak dara orang, bapak kita ada senapang tau."

Dah bernikah barulah dapat berdating. Bercinta selepas kawin.
Baru-baru ini bapak renew lesen senapang dia. Polis nasihatkan jual saja senapang tu, atas faktor usia bapak dan demi keselamatan.
Bapak nak jual. Jadinya aku nak pinjam sekejap, ambil gambar buat kenangan. Dah lapan tahun kawin barulah merasa pegang senapang bapak. Sebelum ni haram tak dibaginya.
"Kau mana cukup syarat..." Kata bapak dengan sinis.
Shortgun W.W. Greener dibeli sekitar tahun 1979 dengan harga RM200 pada masa itu. Orang dah tempah, bapak bukak harga RM2000.

Aku periksa internet Mat saleh lelong menatang ni US5,000 ke atas, biar betul bapak aku ni. Barang antik tu, baik up harga boleh bayar proton iswara cash.


Thursday, December 20, 2007

Lembu Yang Tertewas





"Jom, tumbangkan lembu".


"Lembu tak tumbangkan kita pun dah cukup baik".


Satu dialog untuk dua suasana. Ha ha.



Tuesday, December 18, 2007

"I want something else.." kata Third Eye Blind

Sepatutnya aku, Iwan dan Petz melepak di gerai William petang semalam. Harus lewat sampai mata lebam. Tetapi Iwan tak dapat datang sebab hujan katanya. Maka aku dan Petz mengambil keputusan berborak dua orang sahajalah nanti.

Gerai William ni macam-macam ada. Gerai saja nampak bodoh tetapi menunya special. Ada western, seafood, tandoori etc.

Aku ni tengah berpantang selepas rawatan resdung. Tak boleh sebat ayam, kambing, seafood dan angsa.

"Itik dengan angsa tu tak sama ke?" Tanya Petz.

"Tak sama!" Sampuk tauke gerai Mr. William.


Aku bagi four thumb-up untuk Mee Raja Itik gerai William nih! Sedap mantap ding dong ah! Nyam nyam nyam...

Masa nak bayar keluarkan dompet, Petz berebut nak belanja aku.

"Kau belanja aku Petz" Aku tanya.

"Tak.. tak saya belanja..." Sekali lagi Mr. William menyampuk perbualan kami. Ramah orangnya tauke gerai ni, patutlah costumernya ramai giler dari tadi tak putus-putus.

"...tapi dia bayar." Sambung Mr. William merujuk kepada Petz.

"Ha ha ha..." Aku ketawa. Mr. William, i love you.

Petz merenung Mr. William macam beruang merenung ikan salmon yang suka bergurau.


P/s: Terima kasih Petz sebab belanja aku. Kepada Iwan, kami bagi kau MC. Bulan depan denda belanja kami, dua portion setiap sorang HAHA

Monday, December 17, 2007

Abang Hamid Yang Satu Lagi

Aku capai henpon. Search nama Abang Hamid. Tekan punat dan dail.

"Hello." Aku.

"Hello!." Abang Hamid.

"Apasal suara abang lain je? Tak sihat ke?" Aku.

"Alah.. dah tua dah..." Abang Hamid.

Hairan. Lain benar suara abang Hamid ni. Aku periksa nombor.

Alamak!... aku dah dail salah orang la...

Nombor yang aku sepatutnya dail ialah dalam henpon satu lagi. Susah juga bila kita punya dua henpon. Boleh keliru. Nak call orang nama sama tapi lain nombor.

"Abang masih pakai nombor ini ya?" Aku.

"A'ah." Abang Hamid.

"Saya saja je call abang sebab nak update nombor dalam list. Oklah ye bang, jumpa lagi hehehe." Aku.

Aku mendapati aku pandai membuat ayat cover sejak kebelakangan ini. HAHA.

Wednesday, December 12, 2007

Cerita Pampers Yang Kita Suka

Menonton TV sekeluarga. Masa iklan komersial, aku tekan punat alih siaran lain. Tiba-tiba anak aku marah sebab di nak channel yang itu jugak. Terjerit-jerit dia. Menangis-nangis suruh tekan balik ke channel asal.

"Uwaaa.... nak cerita pampers! Nak cerita pampers!!!" Anak aku. Perempuan 4 tahun.

Cerita pampers? Aku toleh awek aku, awek aku dah terkikih-kikih gelak.

Siri TV itu ialah bertema kisah remaja dan ditaja pula oleh syarikat tuala wanita. Bila ada iklan, terpampang tuala wanita di skrin TV. Anak aku umur 4 tahun ingat tuala tu pampers (lampin bayi).

Zaman dulu. Opera kita ditaja syarikat sabun (soap). Itulah pasal disebut orang 'soap opera'. Sekarang kita boleh gelar siri TV sedemikian sebagai 'pampers opera' ?

Di mana agaknya kesopanan dan kesusilaan rakyat Malaysia yang katanya taat Rukunegara, tetapi tuala wanita direntang-rentang di sini sana?

Kalau dulu tuala wanita ni kalau nak beli pun orang kedai balutkan dengan surat khabar lama belit dengan rubber band biar tak terdedah. Sekarang ni takde dah balut-balut, semua main dedah. Jangan kata tuala wanita, kondom pun ada di merata-rata!

Kita tunggu dan lihat, siri TV Malaysia yang mana akan ditaja pula oleh syarikat kondom nanti.

Tuesday, December 11, 2007

Tak sama

Orang cakap muka anak aku serupa dengan muka aku. Seiras. Paling ketara bulu kening kami lebat.

Kalau kami balik kampung dan berjumpa emak-bapak, saudara-mara atau kawan-kawan. Mereka akan tegur kami, "Eh muka budak ni sama dengan muka bapak dialah." Dan awek aku akan tersengih-sengih mendengarnya.

Kalau kami ke pasar misalnya, ada juga orang kedai yang tegur, "Muka anak you serupa muka you-lah". Dan awek aku akan tersengih-sengih mendengarnya.

"Apasal anak abang serupa muka abang? Kita yang penat-penat pregnant abang yang dapat nama." Awek aku.

Anak aku. Umur 4 tahun. Dah pandai dah tarik kerusi panjat meja make-up mak dia. Capai-capai sikat. Capai-capai bedak. Dan capai gincu, kadang-kadang.

Suatu hari anak aku belek muka dia di cermin. Emak dia tengah betul-betulkan tudung.

"Ibu, tak sama pun muka kakak dengan muka ayah." Anak aku membahasakan dirinya sebagai 'kakak'.

"Kenapa kakak?." Awek aku.

"Muka ayah banyak sampah!" Anak aku. Umur 4 tahun.

Perbendaharaan kata anak aku itu masih terbatas. Dia belum tahu apa itu parut chicken pox, jerawat, jeragat, bintik-bintik dan yang sewaktu dengannya. Membandingkan muka anak aku dengan ayahnya, memanglah muka baby lebih licin, tak macam kulit muka ayahnya banyak 'sampah'.

Monday, December 10, 2007

Fikir sejenak

Sampan kotak mengapa dikayuh,
Hendak belayar ke TANAH SEBERANG;
Patah kepak bertongkatkan paruh,
Pantang menyerah di tengah gelanggang.

Itulah salah satu pantun kepahlawanan. Pantun tersebut tersirat makna yang mendalam. Motivasi untuk kita dalam mengharungi hidup, yang tak selalu sesegar berangin bak daun pudina misalnya.

Bagaimana kita melihat sesuatu masalah bergantung kepada kapasiti diri kita sendiri. Sebagai contoh, katakanlah seekor semut merah berhadapan dengan sebuah lopak. Bagi semut tersebut, lopak itu seumpama sebuah lautan. Tentu sukar bagi semut untuk mengharungi "lautan" tersebut. Kita bandingkan pula semut dengan gajah. Bagi gajah pula, lopak tersebut adalah salah satu daripada tapak kakinya!

Dalam menempuh hidup ini mungkin kita gagal atau berjaya. Yang menarik bagaimana kita menghadapi "lopak" atau "lautan" tersebut.

Sunday, December 09, 2007

PKPG

Dia. Membelek-belek sekeping kad jemputan.

"R.S.V.P tu kependekan apa?." Dia.

"Kalau Melayunya P.K.P.G.." Aku.

"PKPG?! Apa tu?." Dia.

"PKPG tu makna dia Pecah Kaca Pecah Gelas....." Aku.

"Ooo... Sudah Baca Harap Balas..." Dia.





NOTA: "Répondez s'il-vous-plaît" or "Réservez s'il-vous-plaît", a French phrase that translates to "Please respond". It is with this meaning that invitation cards and similar documents are often marked with "R.S.V.P." - Wikipedia.org

Friday, December 07, 2007

Abang nak pergi jogging

Malam diterangi cahaya bulan separuh. Di langit. Beberapa cebis awan gemawan sedang bersantai-santai. Simpang jalan dilimpahi cahaya lampu kedai. Siaran TV dah nak habis (atau sebenarnya baru nak mula?).

Esok hari Ahad. Hari cuti. Akukah itu memasang alarm untuk bangun awal esok. Esok hari Ahad. Biar benar.

"Abang nak jogginglah esok." Aku.

"Ha ha ha ha ha... jogging? Kasut jogging pun abang tak ada ha ha ha." Awek aku. Persis pontianak yang dah lama tak jumpa mak dia haha.

Aku ada kasut kulit Lois sepasang. Untuk Kerja. Steel toe sepasang. Untuk kerja juga. Dan sepasang selipar haha

Sembilan tahun nan lalu aku ada sepasang sepatu jogging (Power ?). Tiba-tiba aku rindu dia.

Malam diterangi cahaya bulan separuh. Di langit. Beberapa cebis awan gemawan sedang bersantai-santai.

Thursday, December 06, 2007

Dah siap dah



Judul : Bukan Dugong Biasa
Penulis : Dugongsenyum
Pengantar : Rudy Bluehikari
Genre : Blook
ISBN : 978-983-42734-5-3
Harga Runcit : RM15

NOTA: Kalau kau bernasib baik. Nama kau ada dalam buku ini. Kalau kau bernasib baik.

Saturday, December 01, 2007

Di suatu malam yang sepi, ya... benar-benar sepi

Jam di dinding 1.30 pagi. Siaran Mega Movie dah lama usai. Siri Martha Stewart pun dah layan. Terliur tadi tengok Puan Martha masak seafood. Jam di dinding dah lebih 1.30 pagi. Masa yang sesuai untuk masuk tidur. Esok kerja.

Tapi... perut lapar. Selongkar-selongkar jumpa perencah mee sup. Selongkar-selongkar lagi jumpa mee segera.

Capai periuk. Panaskan minyak. Tumis rencah. Wangi. Masukkan fishball. Masukkan pula air. Tunggu menggelegak. Masukkan mee. Tunggu sekejap. Siap!

Aku sediakan mangguk kosong atas meja. Angkat periuk dan tuang mee sup panas ke dalam mangkuk.

PRAAP!

Mangkuk terbelah dua. Air panas melata laju atas meja berjujuran mengalir tumpah ke lantai. Pantas aku capai kain buruk dan surat khabar lama. Aku capai pinggan dan sudu. Aku tolak mee panas dengan fishball masuk pinggan. Errmm.. masih boleh dimakan ni. Pecahkan telur atas mee yang masih berasap itu.

Mangkuk yang terbelah aku buang dalam tong sampah.Aku dapati jari-jari aku ada yang merah-merah. Melecur rupanya. Ah! pedih... Semasa panik tadi, aku terpegang periuk panas. Cepat-cepat sapu ubat gigi pada perut-perut jari.

Fuh... fuh... mulut menghembus mee panas yang digulung pada hujung garfu.Pada masa yang sama menahan pedih jari-jari melecur yang mula berdenyut.

Huwah... hwuhh... hwuhh... mee panas dalam mulut gigi pula nyilu dibuatnya.

Dalam lena malam itu ada ada mee berlingkaran dalam perut dengan otak yang berserabut. Tak tahu kenapa.

Alahai!