Tuesday, November 21, 2006

Jika Hari Ini Seorang Bos Yang Baik

Minggu lepas, Mr. Max Wong datang ke pejabat kami. Ada sesuatu perkara yang dibincangkan dengan bos, barangkali.

Dia ke meja aku kemudian.

"Hai Labu.." Dia ada cara tersendiri menyebut perkataan tersebut, yang amat lunak masuk ke rongga telinga kita.

Dia minta tolong aku lukiskan beberapa litar skimatik dan litar-litar kawalan. Projek baru katanya. Aku kata boleh, apa salahnya. Lagi pun melukis itulah mata pencarian aku. Walaupun dah naik pangkat, dah buat kerja lain, melukis tetap ada dalam jadual hidup ini. Mendengar perkataan "boleh": daripada aku, ditepuk-tepuknya bahu aku, sambil dia senyum.

"Bagus... bagus..."

Mr. Max Wong merupakan seorang klien syarikat. Kedudukan dia satu level dengan bos aku. Bekerja dengannya amat selesa. Kerana dia tak pernah menganggap kita sebagai kuli, malah sebagai sahabat. Dia menghormati kita melebihi kita menghormati dia, baik dalam tingkahlaku mahupun tutur kata.

Hari ini lukisan-lukisan dia hanya siap separuh jalan. Dia tak datang semalam. Yang datang hanyalah berita. Berita teramat sedih pada aku. Mr. Max Wong meninggal dunia Sabtu lepas, akibat strok. Tak aku sangka batuknya yang kronik minggu lepas adalah suatu tanda, tanda perpisahan kita. Untuk selama-lamanya.

Angin ahmar atau mati separuh badan, koma, lalu meninggal. Sebentar benar tuhan meminjamkan aku bos yang baik. Sekejap benar tuhan menarik kawan yang baik. Terasa lagi bahuku ditepuk-tepuk tangannya yang sasa, senyumannya masih di ruangan mata.


Ps : Kepada kawan-kawan yang mengambil rokok sebagai menu harian, nasihat aku hentikanlah. Tak dapat hentikan kurangkanlah. Tok Rimau, bang Naga, bang Spyz dan yang lain-lain... jangan putus rokok kerana kawan, putus kawan kerana rokok.

No comments: