Suatu malam bapak aku nak pergi ke kedai. Biasa aaa tu pegi mengeteh dengan kawan dia. Kalau tak dengan pakcik Busu, dengan pakcik Selamat, atau seorang saja pun jadi sambil layan gusti di kedai Hassan Buaya.
Di depan kedai Hassan Buaya ni ada satu kedai runcit. Biasanya bila bapak pergi keluar malam, mak atau aku atau adik-adik akan kirim barang. Kirim mi goreng ka, mi sup ka. Aku biasanya kirim alat tulis, kalau aku tak pun ikut mengeteh sekali.
Siang sebelumnya dalam kelas Tingkatan 3 Dahlia. Masa pelajaran lukisan. Cikgu Hassan Basri pesan, "Esok kamu kena bawak pensel 2B, kalau takde bawaklah 3B.. 4B atau berapa B lah...".
Dah lama juga aku sekolah itulah kali pertama aku dengar ada pensel lebih 'besar' daripada 2B. Aku kenal HB dengan 2B sahaja. Aku berasa teruja untuk mendapatkan pensel 4B! Jadi aku kirimlah pada bapak malam tu...
Bapak balik malam tu, dia parkir motor sambil marah-marah pada aku.
"Kau cakap nak pensel 4B tadi... bapak tanya orang kedai tu kata, dia bertahun-tahun "saya sekolah sampai masuk universiti wak... tak pernah saya dengar pensel 4B, kalau 2 B tu adalah... biasa."
"Malu betul bapak kau tau tak?!" Bapak marah betul sebab dia ingat aku mempersendakan dia.
Aku hanya terpinga-pinga. Apa tujuan Cikgu Hassan Basri pesan pensel jenis tu? Bergurau ka?
Aku pula tidaklah berani pergi berjumpa cikgu tu - bertanyakan hal sebenar, mampus pulak aku dilempangnya karang. Aku biarkan perkara itu berlalu.
Sampai dekat 10 tahun kemudian.
Aku kerja. Suatu hari aku pergi stationary bawak printing lukisan untuk dipotostat. Masa aku melepak-lepak sambil menunggu salinan siap aku terlihat sekotak penuh pensel-pensel beranika jenis.
Terus aku teringat kata-kata Cikgu Hassan Basri, herdikan bapak. Inilah masanya aku nak buktikan pada bapak aku tak main-main, bergurau atau menipu dia. Kalau boleh aku nak bawak pensel-pensel tu balik kampung tujah-tujah kepada brother kedai runcit yang bercakap tak pakai selidik tu.
Aku beli semua. 2B, 3B, 4B, 5B, 6B, 7B dan 8B. Akan aku tunjukkan kepada bapak dan brother tu.
+++
Semalam aku tengok pensel-pensel ni dah tak cukup koleksi. Mungkin masa berpindah-randah rumah-rumah bujang, lepas tu kawin pindah rumah lagi pensel ini berciciran. Atau dah jadi mainan anak aku.
Tahun 2000, mak kata bapak jatuh sakit, bergegas aku balik kampung, kemudian ke Hospital Klang. Tak sangka pulak bapak meninggal terus masa tu. Aku tak sempat tunjuk pun pada bapak pensel-pensel tu.
No comments:
Post a Comment