Friday, November 28, 2008

Makan Kaw-kaw (1)

Gambar hiasan. Lelaki baik hiasan dunia, ewwahh.

Aku jemput hampir 10 orang makan semeja bulat. Restoran itu di tepi pantai, air laut menghempas pasir dan terpercik-percik ke lantai restoran.

Aku pesan set makan malam, jangan bimbang restoran Cina ni tak ada babi.

Aku pesan banyak seafood, ikan stim sos hitam, udang goreng nestum, squid cili kering, lobster...

Encik A buka dompet dan keluarkan sepapan pil halus-halus.

"Tu pil alergi tu, berapa kali makan?", aku menegur sebab setahu aku pil tu sebiji sehari ja makan.

Encik A jawab, "Aku bila terasa ja, aku makan, atau standby bila nak makan seafood".

Aku nasihat, "Jangan makan banyak, sesetengah ubat boleh merosakkan buah pinggang".

Salah seorang kawan Encik A menyampuk, "Biarkan je rosak, dia bukan pakai sangat pun buah pinggang dia".

Restoran itu di tepi pantai, air laut menghempas pasir dan terpercik-percik ke lantai restoran.

Tuesday, November 25, 2008

Berkayuh ke Pulau Jauh di Musim Tengkujuh

"Apasal lu tak mau naik flight?, naik flight lagi baik maa.."

Apa mimpi bos aku ni? Tiba-tiba tanya soalan macam tu?

"Bila masa saya cakap tak suka?... saya lagi suka maa kalau ada peluang naik flight".

Cadangnya nak ambil pakej, penerbangan pergi balik dengan penginapan 3 hari 2 malam. Tapi bagi aku menginap mana-mana pun boleh, jadinya tempah tiket kapal terbang sahajalah.

Hari ini ulangtahun kelahiran baby girl aku Dina, yang ke-dua tahun. Sebelas haribulan sebelas yang lalu pula ulangtahun baby boy aku Tuahdanish, yang ke-tiga tahun. Dua orang anak lahir dalam bulan yang sama.

Aku ni gayat. Bimbang jugak nak naik kapal terbang ni. Berjaya Air menggunakan Focker kalau tak silap, gila kecik anak punya kapal terbang, aku nak yang besar taklah goyang sangat - mother focker misalnya.

Aku selalu terbayang kalau kapal terbang rosak lalu terhempas. Gamaknya macam filem Cast Away, terkandas di pulau dan hari-hari ratah kelapa.

Penerbangan aku dijadualkan pada hari Khamis, balik hari Sabtu.

Hari minggu ni cadangnya nak buat majlis hari jadi baby-baby aku tu, buat serentak untuk memudahkan urusan-urusan tertentu.

Pergi ke pulau atas urusan kerja, ada meeting. Banyak dokumen dan lukisan nak dibawa. Minta tolong budak pejabat ni buat fotokopi.

Macam dah nak cukup dah pengalaman aku pergi ke pulau. Pergi naik bas dah, 7 jam. Naik feri dah, 3 jam. Naik feri kecik pun dah, 3 kali tidur, 3 kali muntah, 3 jam baru sampai. Naik kereta lalu MRR2 - LPT - Gambang - Pekan... 5 jam. Berkereta dari Mersing - Muazzam Shah - Bahau - Senawang... 6 jam. Kalau naik bas tu boleh gak tidur-tidur, tapi naik kereta sendiri memandu, kalau tidur alamatnya jumpa malaikat Munkar dan Nakir.

Kali ni naik flight, 45 minit je, aku mesti nak ambil gambar sayap kapal terbang dari tingkap seat aku nanti.

Mesin fotokopi pula rosak tersekat-sekat. Panggil mekanik tu baiki, adalah part yang patah-patah kat dalam tu.

"Dah ok ke bang mesin tu?", aku tanya.

Abang tu jawab, "Ok dah... cubalah test try tengok".

Apa bahasalah abang ni cakap, lebih teruk daripada kapalterbang rosak terhempas gamaknya.

Thursday, November 20, 2008

Kerja Kosong Di Premis Saya

Bos aku letak iklan kerja kosong dalam internet. Dua tiga jawatan kosong seperti Jurutera, Admin dan Kerani.

Resume dan butir-butir yang berkenaan boleh difax atau email melalui nombor dan alamat yang diberikan.

Berpusu-pusu resume masuk melalui mesin fax dan email. Telefon berdering-dering (atau bertoot- toot) bertanya tentang jawatan kosong. Ada yang dapat panggilan temuduga pun call, tanya lokasi premis di mana.

Ramai yang tak percaya bila dikatakan lokasinya di mana, kita kata kona kiri, dia pergi kona kanan.

"Awak dah betul dah tadi... jalannya memang rosak (jahanam) teruk".

Bukan saja jalannya yang teruk, malah premis ni pun teruk. Semalam Kak Suseela nyaris dipatuk ular ketika berjalan di belakang premis, perghhh... hulu santak mana premis kami ni?

Semalam ada budak perempuan call, nak confirmkan resume yang dia fax ada terima atau tidak. Dia tanya, "Boleh faxkan atau emailkan profil syarikat kepada saya tak?".

Apasal kau nak profil kami? Kau nak bagi kami projek ka?

Dahsyat budak zaman sekarang. Jemput datang temuduga dulu, tengok premis, jangan tengok sebelah mata sebab premis macam setinggan tapi bisnesnya jut jut tau.

Wednesday, November 19, 2008

Lelaki-lelaki Hensem Dari Kampung Sg. Sireh

Aku jumpa kawan lama aku melalui Facebook. Nama dia M bin M. Sebelum tu memang aku ada google nama dia, tak tau kenapa, saja-saja.

Kali terakhir aku bergambar dengan M ialah pada tahun 1985. Masa tu kami berumur 9 tahun dalam darjah 3.

Masa dulu kalau tak salah petang-petang kat TV ada siri alihbahasa Isaura. Lagu tema siri TV tu bertajuk ("Masih Belum Tamat") oleh Francisca Peter. Aku selalu minta M nyanyi lagu tu sebab dia hafal habis lagu tu, entah mengapa aku ni payah sikit bab-bab menghafal ni.

M ni budak pandai, selalu dapat nombor 1 dalam kelas. Aku pulak nombor 7 ka.. nombor 8 ka.. Adalah sesekali naik nombor 3.

Kami suka Jackie Chan. Lepas darjah 6, lepas dapat keputusan UPSR (kami 1st batch guna sistem UPSR ni kalau tak salah dulu nama lain), M dapat masuk asrama penuh yayasan Selangor. Masa cuti sekolah adalah berjumpa sekali dua.

Masa aku baru-baru kawin dulu aku bawak awek aku jalan-jalan ronda kampung aku. Suatu petang tu aku terserempak dengan M. Dia baru balik dari Britain, belajar kejuruteraan kat sana. Kalau tak salah gomen tanggung yurannya. Dia hitam dan kurus kering, dah pakai spek. Kami bertegur-sapa dan bersembang ala kadar.

Aku terasa rendah diri pula, maklumlah kawan tu dah grad dari oversea, sedangkan aku tengah berusaha gigih belajar PJJ. Tapi, aku dah kawin, dia belum.

Seingat aku, aku tak pernah pula bergaduh dengan M masa sekolah dulu. Tapi dia pernah buli adik aku, aku harap dia orang dah berbaik-baik.

Masa belajar (sekolah tingkatan 4) asyik teringat best nak kawin. Bila dah kawin barulah pulak teringat nak sambung belajar balik. Mana duit nak bayar yuran, mana duit nak bagi anak orang makan. Kadang-kadang tuhan tu datangkan rezeki dalam satu pakej, dapat bini dan tawaran ke universiti dalam satu masa. Dan dalam banyak keadaan tuhan tu datangkan dugaan dalam bentuk pakej juga...

Kalaulah kami nanti berpeluang face2face, mesti kami akan terkejut melihat perubahan kawan masing-masing. 100% berubah, dalam masa terdekat ni aku masih huduh berotodontik.

Di Facebook, M letak gambar lama dia. Dia juga letak gambar baru dia. Jauh beza lama dan baru, dulu misai melintang dengan badan kurus. Sekarang dah gemuk macam dugong. Aku dulu muda-muda pun bela misai jugak. Tapi sekarang aku dah tak bela misai, aku bela janggut. Tapi awek aku tak suka, jadinya aku maintain bulu idung je la.

Rezeki masing-masing. Dari kampung yang sama. Makan beras yang sama. Mandi air sungai yang sama. Belajar dari guru yang sama. Sama-sama anak Jawa. M belajar sampai UK, tapi aku masihlah dok ralit dalam Selangor lagi.

Tapi anak aku dah 3, M baru anak 2 orang.

Mungkin, aku bukan tersesat jalan. Cuma menemui jalan yang jauh lebih panjang untuk sampai destinasi jaya.

Shit! Jenuh korek youtube, masih tak jumpa lagu ("Masih Belum Tamat").

Friday, November 14, 2008

Ka$ih $ayang ?

Kami dapat projek baru kat Pekan, Pahang. Masyukkkk...

Ada kick-off meeting dan kami perlu hadir.

Berkereta melalui MRR2, masuk hi-way, masuk Gambang, tuju ke Pekan, masuk Kg. Kuala Pahang. Rata punggung.

Dua hari lepas aku berada di Mahsan, Bahau untuk meeting. Hari ni aku terpacak di Pekan pula, untuk meeting. Perghhh... berat mata memandang.

Sebagai seorang engineer yang cemerlang dan terbilang, tapak binaan tu masih kosong takde apa-apa, aku dah siap dah completion certificate dan test certificate. Betapa mantap.

"If you dont have any drawings and specification, then where this work programme come from?", Senior Resident Engineer yang bulat macam donat tu keluar tanduk. Haha

Kami punya partner ada problem besar, gila besar problem. Beriya-riya bawak kontena dari KL, tapi tak boleh bawak masuk ke tapak. Letter of Award belum keluar, kontena dah nak bawak masuk. Betapa komitmen!

Penduduk kampung dah block semua jalan masuk ke tapak, ada yang pasang fencing dan ada yang taruk kayu penghalang. So, amacam? Mahu try ini orang kampung?

Kami ni dah lah gaya masing-masing macam Cina Kepong dan Cina Jinjang, gaya samseng wo! Kalau tak samseng jangan harap aaa nak kerja construction!

Setelah diteliti, kontraktor utama ada buat taik kat orang kampung. Sub-kontraktor macam kami ni jugak aaa yang nak kena kawtim. Biasa ah ni... kat Pulau Tioman hari tu aku dah kena dah, harap je masing-masing muka samseng, aku ni jugaklah yang ke depan berunding-runding. Tapi untuk masalah yang ini, aku nak tengok je dulu, aku rasa dia orang boleh kawtim.

Petang tu jugak balik KL. Aku tak kisah sebab aku tak memandu, aku duduk belakang ke borak dengan engineer sorang lagi.

Pagi tadi keluar rumah pukul 6, anak-anak masih tidur. Balik dari out-station sampai rumah pukul 9 malam, anak-anak dah tidur. Bila masa aku nak ajar anak-anak aku mengaji muqaddam?

Thursday, November 13, 2008

Anak Makcik Leha Dijatuhi Hukuman Gantung

Mak aku cakap, jenuh juga Makcik Leha turun naik mahkamah untuk membuat rayuan. Jenuh juga turun naik pejabat 'orang-orang besar' untuk minta bantuan. Agar anak lelakinya itu dapat dibebaskan.

Pada suatu masa pernah Makcik Leha eksiden dengan bas gara-gara terburu-buru melintas jalan. Fikiran kacau mengenangkan anak hingga tak perasan ada bas ketika melintas jalan.

Kisahnya bermula di suatu majlis rewang kenduri kahwin. Di kampung aku tu dulu kalau kenduri kahwin mesti ada hiburan kugiran dan joget lambak. Ada seorang brother ni sedang berewang di belakang rumah pengantin. Tengah potong ayam katanya. Pada masa yang sama di halaman depan rumah geng kugiran tengah main. Anak-anak muda yang tak ke dapur layan joget lambak. Pada masa itulah datang suara-suara mencabar di belakang rumah tu.

Suara-suara mencabar dan menghasut itu datangnya daripada kawan-kawan brother tu juga. Dia orang 'cucuk' brother tu sebab tunang brother tu layan joget lambak dengan balak lain kat halaman depan.

"Kalau tunang akulah yang buat macam tu... lama dah...".

Terus menerus kawan-kawan brother ni 'masuk jarum'. Brother ni pun lama-lama naik panas terus meluru ke halaman. Liar mata mencari tunangnya dalam ramai-ramai orang dalam acara joget tu.

Dia nampak saja lelaki yang berdampingan dengan tunangnya tu, terus dia tikam lelaki tu dengan senjata di tangan.

Bapak brother tu sampai mati pun kes anak dia belum selesai lagi. Adik-beradik brother tu sampai ada yang dah berumahtangga kes dia belum selesai lagi. Merayu kepada Agong setiap kali hari keputeraan baginda, merayu kepada Sultan pun sama. Kalau aku tak salah sampai Agong bertukar 3 kali pun kes brother tu tak selesai.

Pada suatu hari yang cerah, brother tu bebas juga. Mak dia punyalah gembira tak terkata. Brother tu buka bisnes kecil-kecilan tak lama lepas tu kahwin. Masuk masyarakat balik.

Dengar khabar, kawan-kawan brother yang jadi batu api dulu sekarang ni hidup dia orang merempat. Bekas tunangnya tu mungkin dah nak menerima menantu!

Joget lambak, dah lama kena 'banned' kat kampung aku. Kugiran ada, tapi dah jarang-jarang. Aku kalau nak dengar S. Jibeng atau A. Ramlee atau Peracun Kalbu, buka ja di youtube.

Kalau nak cari prosedur hukuman gantung, google ja di internet. Meneliti kaedah hukuman mati pun seronok juga.

Minggu depan pula (bulan November dan Disember 2008) dah masuk musim cuti sekolah merangkap musim kawin-kawin. Selamat layan kugiran dan joget lambak bagi kawasan-kawasan yang tidak kena banned dan yang sewaktu dengannya. Ingat, jangan joget dengan tunang orang.

Tuesday, November 11, 2008

Ludah

Dulu masa di sekolah rendah. Aku ada seorang ustaz yang amat garang. Tahap zalim punya garang. Garangnya beliau bukan setakat rotan-rotan atau libas pembaris. Malah sampai tahap goncang-goncang kepada murid.

"Biar cair otak kamu tu!!!", katanya.

Aku berasa sungguh kecut setiap kali ustaz ni masuk mengajar ke kelas. Kalau nak berselisih pergi ke kantin, terus aku terberhenti kat situ jugak sampai nak terkencing.

Masa aku dalam tahun 4, kelas aku kat tingkat satu. Suatu tengahari aku terasa nak meludah.

Harrrrghhhhhh... Kaw kaw punya kahak dah ni. Aku ke koridor.

PTUIIHHHHHH!!! Aku halakan ke bawah.

"Allah...", aku terdengar suara kat bawah.

Rupa-rupanya kahak hijau pekat tu dah kena kat bahu baju ustaz. Ustaz tu pun kebetulan keluar dari kelas untuk meludah.

Ah! sudah...

Monday, November 10, 2008

Basri La Fea

Semalam aku pergi klinik gigi, buat kesekian kali. Janjitemu dengan ortodontis. Semasa aku baring di atas kerusi tu, terus mata aku terbukak jelas mendongak ke atas memandang awek pembantu doktor tu. Nama dia A, cumil gilak ah ding dong ah

Nampak tahi lalat di bawah dagu dia. Nampak err.. err.. takpelah...

Nampak lampu spot light, besar mentol tu, silau ah!

Hari ini, mulut aku yang penuh dengan 'peralatan' ortodontik ni, akan dapat 'sparepart' baru. Ada tukar getah, ada tukar donat, ada tambah dawai, alahai... Lepas tu dua batang gigi kena 'trim' dengan gerudi, perghh... Diperkukuhkan lagi dengan 'power chain', serta-merta gigi, gusi dan mulut terasa tegang semacam, nak makan pun sakit ni nanti.

Bila senyum memang huduh! Inilah namanya Basri La Fea ("Basri the Ugly").

"If you wanna be happy
For the rest of your life,
Never make a pretty woman your wife,
So from my personal point of view,
Get an ugly girl to marry you." - kata Jimmy Soul.

Well.. kalau korang gantikan tema lirik tu daripada 'wife' kepada 'husband' atau suami. Maka, sure korang akan dapat suami macam aku yang huduh tetapi hepi! Lalalala


P/s: Hari ni nombor plet kereta aku naik nombor satu, Magnum 8843.

Friday, November 07, 2008

Koleksi Gambar Hensem Sepanjang Zaman

Pada suatu tengah malam. Aku bersembang YM dengan Rudy Bluehikari. Awek masing-masing tengah piyed, tu yang masing-masing mengadap PC atau laptop tu. Tengah boring-boring tu, Rudy bagi satu URL yang mantap untuk dicuba. URL untuk main-main gambar, memang siyal ah... Berikut hasilnya;-


Wakaka... gelak nak mati ah.

"Dah lama dah benda ni...", kata Rudy.


P/s: Aku tengah godek-godek gambar Sinaganaga, Tok Rimau, MJ,... mesti siyal habis nanti. Haha

Thursday, November 06, 2008

Demam

Baru balik dari klinik 24 jam. Baby yang 2 tahun tu demam. Padahal petang tadi elok ja terkam aku balik kerja kat muka pintu. Lari sana, lari sini dengan abang dia. Abang dia tu petang tadi kami bawa klinik sebab nak minta nasihat doktor pasal vitamin dan ubat cacing, tak ada sakit apa cuma nampak kurus. Jadinya dalam beberapa jam, sudah dua kali pergi klinik.

Musim demam dah ka? Ada kaitan dengan monsun agaknya. Entah. Tapi tadi di klinik, walau pun nak melepas angka 1 pagi, masih ada orang yang datang klinik. Dengan 'muka demam'.

Tadi ada seorang aunty India tu dengan anak perempuan dia baru keluar dari bilik doktor, dipanggil nama terus ke kaunter ubat. Ada beberapa botol ubat dihulurkan di tingkap kecil kaunter, kena bayaran beberapa puluh ringgit. Menggagau... Botol-botol ditarik satu-persatu masuk semula kekaunter. Aunty tu tinggalkan anak perempuan dia. Aku rasa aunty tu pergi cari ATM. Mungkin ATM Bank Ra*yat yang berdekatan.

Tengah-tengah malam pula dua-dua orang budak ni badan panas, demam serentak. Jadinya doktor bagi ubat dalam botol yang agak besar, boleh kongsi dua orang. Selepas jam 12 malam, doktor ada caj lebih sikit. Tengok bil anak demam, bapaknya pula terasa nak demam. Tapi, tak ada nilainya duit kalau anak-anak dah jatuh sakit macam ni.

Keluar dari klinik aku ajak awek makan. Pagi-pagi macam ni kami pekena saja roti canai dan teh 'o'. Si kecil tu pula nak makan sama, layan sajalah. Lepas tu kami pun berangkat balik.

Kami ternampak aunty India tadi baru parkir kereta depan Ma*bank, mungkin di ATM Bank Ra*yat tadi tak boleh 'jolok'. Makanya jarak di antara dua bank berkenaan ialah beberapa blok kedai! Dalam hati aku berharap ATM yang itu tidak akan menghampakan aunty tersebut. Dan kasihan anak perempuan aunty tu nanti kena menunggu lama.

Tuesday, November 04, 2008

Masakara Shorties dan Memori Masa Kecilku

Gambar Crowd Dari Flickr Saiful Nang, dicilok dari blog Tok Rimau;

Pengalaman ini mengembalikan aku nostalgia masa kecil, menonton wayang pacak di padang sekolah dan tepi jalan bersama arwah bapakku. Betapa memori!

Wayang pacak, projektor yang sprocket-nya berputar menarik hatiku, bunyi enjin daripada generator kecil, van Jabatan Penerangan, nyamuk-nyamuk, serangga kecil dari sawah padi, lecak di kaki, kepulan asap rokok, aroma kacang tanah rebus, pakcik-pakcik pakai kain pelekat... ah... tiba-tiba bermain di ruangan mata.

Kau boleh saja menonton filem-filem di ruang tamu, di meja makan, melalui laptop di mana-mana. Namun kau takkan rasa "feeling", semangat, serta "kehangatan" di tengah-tengah crowd tersebut.

Tayangan filem berharga percuma, namun memorinya sangat berharga.

Monday, November 03, 2008

Marah-marah

Pada suatu hari, seorang budak besar yang naif bertanya aku.

"Bang, sebenarnyakan apa makna P.M.S. tu ?"

Aku pun berilah jawabannya, dengan penghurainya yang panjang lebar itu dan ini.

Padahal... nak aje aku jawab, PMS tu singkatan untuk Pan*** Merah Sindrom.

Bodoh! Haha

+++

Web of the day ;

Nak tahu Basic Book Design?

Sesiapa yang meminati DIY terutamanya penulisan buku atau blook, download dari sini;

Sunday, November 02, 2008

Cerita Hari Minggu


Cadangnya, kami sekeluarga nak bersarapan di Seksyen 6, Kota Damansara. Di sana ada port nasik dagang kegemaran aku, dan nasik kerabu kegemaran awek aku.

Apa nak diharap pada lelaki ini? Yang masuk tidurnya pukul 5 pagi dan bangunnya terlajak meninggi hari.

Selepas sarapan di kedai mamak, cadangnya nak memenatkan diri di IKANO, tapi ubah rancangan nak ke One Utama.

Memenuhi makan kenduri kawin, nasik minyaknya kelas pertama!

Kemudian kami berpenat-penat di Econsave, beli barang dapur. Tetapi hari masih tinggi. Apa program?

Anak-baranak bergelimpangan menonton VCD yang original Fantastic Four, budak-budak suka, bapak budak pun suka :-)

Habis sudah VCD tu, masing-masing terlelap. Aku pulak pergi bancuh kopi panas makan rempeyek.

Pasang pulak VCD yang original bertajuk 'The Kite Runner'. Cerita itu sedap. Mantap!

Saya mengalirkan air mata setelah tamat menonton filem 'The Kite Runner' tersebut.

Awek aku cakap, "Hek elleh..... abang ni..".

Laporan : MASKARA Shorties Mantap Dalam Gelap

Meet Uncle Lan Hussin aka Sinaganaga pernah berkata, "Kami bukan underground, kami adalah indi." Kata-kata beliau adalah benar.

Projek indipenden yang diusahakan oleh Sindiket Soljah kali ini memang MANTAP! Tayangan filem pendek aka shorties yang cukup santai dan 'berisi'. Sebagai salah seorang kawan mereka, aku menumpang bangga.

Aku dapati semua filem pendek yang ditayangkan mempunyai teknik cinematografi yang best mantap tahap angkasa!

Dari segi teknik memang semuanya adalah terbaik pada aku, tetapi secara peribadinya mestilah ada rasa filem ini best sangat... filem itu macam tak best je... Normal-lah kan?

Aku paling suka 'Surat Seorang Ibu', ala-ala iklan Petr*nas gittewww! Dan sekali lagi, teknik cinematografinya cemerlang tahap angkasa.

Maaf, aku tak dapat review satu-persatu filem yang ditayangkan malam tadi, banyak, padat dan sendat wo! Muntah kau nanti! Aku tak muntah pun dah cukup baik.

Setiap kali hadir MASKARA, sebat sehelai poster adalah wajib.

Punyalah ramai orang datang menonton, kerusi tak cukup makanya bentang permaidani duduk bersila.

Filem mula main makin ramai penonton berpusu-pusu kerusi penuh, permaidani penuh, berdiri pun penuh!

Gambar antara karyawan yang terlibat.

Nida dan ND selaku petugas sukarela. Aku suka corak apron yang Nida pakai, tak macam pelangi tapi macam jalur skrin TV yang tergendala siaran. HAHA

Aku sempat bergambar dengan orang-orang kuat Soljah, orang kuat dalam industri filem dan industri mesin cetak buku, HAHA. Ikut putaran jam - Tok Rimau dengan halkum, Mat Jan, Naga, Jonos, Tuan Mamat Khalid dan lain-lain.

Juga ada pelancaran buku baru bertajuk Romlah Untold. Semasa sessi rehat orang ramai berpusu-pusu berebut membeli buku di kaunter terbabit.

Mungkin Mat Jan dan Tok Rimau ada shorties dalam shorties? Hehe...

Dugong Senyum dan donat senyum. Dalam buku tu ada cerpen aku satu. Betapa gembira!

Cik Nurul dah beli senaskah, beliau dah baca, best katanya. Ah... Nurul, betapa comel :-)

Nota: Aku tak jual ini buku, kalau terasa nak beli buku tu sila ke blog Sindiket Soljah. Kecuali jika kau jenis orang yang memang suka gigit jari bila buku dah habis!