Saturday, December 26, 2009

Kawan Sekampung

Dari desa ke kota jauh sekolah
berbasikal merentas kebun dan sawah
dalam beg ada surat cinta
awek admire

Panjat pokok belimbing
pelam muda cicah kicap
jambu air cicah garam kasar
petang-petang main bola
senapang kayu peluru biji kopi
dalam saku ada batu
sarang burung
di ranting jambu batu

Keruh air di tali air
memancing berkubang
balik kuang seluar terlondeh
oh! kau pakai doktor aku mudim
mangsa cuti sekolah yang lalu

Aku kawin kau datang
kau kawin aku datang
jumpa cikgu lama
sembang panjang-panjang
parut di kepala seorang satu
masa sekolah dulu kena batu

Petang tadi balik ke kampung
tak ada lagi kawan aku berkubang
tak ada lagi kawan aku panjat belimbing
mencicip pelam muda masam
masin jambu cicah garam
berebut anak haruan
di mata pancing
basikal pun entah di mana

Mataku basah
di sisi pusaramu
yang merah.

-----

Al-Fatihah buat sahabatku almarhum Hairol Nizam bin Marhaban, 33, kembali ke rahmatullah pada 25 Disember 2009, jam 9 pagi. Kematian diakibatkan oleh jangkitan kuman pada otot peha yang kemudian menjangkiti organ-organ dan paru-paru. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.

Friday, December 25, 2009

Kalendar 2010

Biasanya pada hujung tahun begini, kita senang dapat kalendar percuma. Apabila kita membeli kek, beli barang di mini market, beli kasut, kita akan diberi kalendar percuma.

Di syarikat aku bekerja ni biasanya supplier kami akan memberi kalendar melalui salesman mereka. Ada kalendar besar, ada yang kecil, ada yang bergambar...

Aku paling suka kalendar 'lumba kuda'. Dalam tu boleh dikatakan lengkap dengan bulan Islam, bulan Cina, bulan India, semua cuti dan perayaan ditanda. Cuti sekolah di-highlight jelas.

Tapi kali ini amat berbeza... tak ada satu supplier pun yang bagi kalendar. Kami ada cuba telefon mereka, tapi jawapan mereka ialah kalendar dan planner tahun 2010 mungkin tak banyak dicetak. Tak apalah... tak ada rezeki.

Secara peribadi, aku masih lagi bergantung kepada diary dan planner versi off-line walaupun aku ada henpon canggih yang lengkap dengan kalendar juga (Mungkin kerana aku ni jenis yang gatal tangan suka menconteng atas kertas).

Aku pun dengan gigihnya meng-google kalendar percuma. Banyak. Tapi aku suka yang ini.

http://www.vertex42.com/ExcelTemplates

Di pejabat ada pencetak duplex dan segala kelengkapan stationary, inilah masanya aku nak buat projek DIY diary dan planner :)

Tuesday, December 22, 2009

Kisah telur yang keras dan roti yang lembut

Entri ni takde kena-mengena dengan tajuk. Sungguh!

Teringin nak makan roti bakar cicah telur tiga suku masak. Rebus telur, bakar roti. Sapu roti dengan kaya, bancuh kopi. Tak lama lepas tu telur pun siap.

Dah aku sapu roti dengan kaya, macam mana nak cicah lagi pada telur? hiyark!

Sebenarnya tadi... dalam masa menunggu telur tu masak, aku makan roti-roti bakar tu tadi. Roti dah habis makan, baru teringat balik nak cicah dengan telur. Mmmhhh!

Saturday, December 19, 2009

Selamat Tahun Baru (2)

Jika benarlah katamu ingin pergi
bawalah mentari bersama
kerana aku tidak lagi
memerlukan cahaya.



kredit gambar: blueridgeblog.blogs.com
kredit sajak: abdullahjones.blogspot.com

Tuesday, December 15, 2009

Friday, December 11, 2009

Mas Kahwin

Kalau nak kawin dengan puteri sultan Selangor mas kahwin dia RM2,500.oo Wow!

Wednesday, December 09, 2009

Mencarut of The Day

Rajagopal kena carut bos cina. Cina tu kata, "Lu memang *toot!". Tapi muka dia selamba dinding jer... tak tau maknalah tu.

"Bang, toot tu makna dia apa bang?"

"Ok... mak kau dulu lahirkan kau normal ka atau operate?"

"Saya lahir normal bang?... kenapa bang?".

"Toot tu makna dia tempat kau lahirlah."

"Ooo... makna dia hospital...", kata Rajagopal.

HAHAHA

Lepas tu Rajagopal kena carut dengan aku pulak kaw kaw punya.

Monday, December 07, 2009

Sehari Sebuah Buku


Sehari sebuah buku. Mungkin hobi ini akan aku pertimbangkan untuk digaris-garis dalam azam tahun baru nanti.

Buku yang baharu sahaja aku hadamkan sebentar tadi. Novel perang terbitan DBP. Platun Harimau dalam misi Hutang Darah Dibayar Darah. Karya Lt. Col. Mohd. Radzi Abd. Hamid.

Novel ini katanya kisah benar penulis yang pada masa aku menulis ini masih seorang perajurit dalam RAMD. Kisah berlatarbelakangkan zaman komunis mungkin sekitar penghujung 1980'an. Plot ceritanya amat menarik sehingga tidak sedar berada pada helaian terakhir novel. Rialiti dan sedikit fantasi dibancuh pekat dan likat dalam novel ini. Sepekat warna darah.

Aku teringat filem lama lakonan AR Badul cuma dalam filem tu salah seorang hero dia kudung kaki kena perangkap samar, yang dalam novel ni hero dia ehem ehem... hehe

Belilah buku novel ini. Bacalah buku novel ini. Kalau ada air mata kau jatuh pada mana-mana muka surat novel ini, tak apa itu namanya 'cool'.

Novel perang, kisah perang. Budak lelaki manalah yang tak suka kisah perang. Alahai...

Lagi istimewanya naskah ini ialah kerana ada autograf penulisnya sendiri. Penulisnya aku jumpa face2face semasa menghadiri Maskara 18 yang lalu. Tapi aku ni orangnya pemalu, jumpa terus terkedu. Ada tak ada itulah... sembang pasal cuaca hujan tak hujan, kerja mana...


Friday, December 04, 2009

Beban


Hari ini drebar lori kami cuti. Hari minggu ni kenduri anak dia kahwin. Cuti dia sampai minggu depan.

Site supervisor pun cuti. Anak saudara dia kawin kat Ipoh. Minggu depan baru balik.
Aku ambil beban menghantarkan pekerja-pekerja kami yang beberapa kerat ini ke tapak kerja. Pagi hantar mereka, lepas tu balik semula ke pejabat, buat kerja pejabat. Petang nanti kena amil mereka semula. Mereka ni tak payah disupervise pun, masing-masing dah tau nak buat apa. Sebelum supervisor cuti, dia dah 'set' anak-anak buah dia.
Air di pantry dah nak habis. Kena ambil tiga balang kosong untuk ditukar isi. Pergi masa makan tengahari. Hairan... lepas makan makin tak bertenaga nak angkat balang-balang air ni.

Thursday, December 03, 2009

Tuesday, December 01, 2009

Utamakan Keselamatan

Aqilah menunjukkan cara memakai PPE. Berapa umur dia masa ni ya?

Cuti sekolah dah bermula. Nak balik kampung, nak berkelah, nak pergi bercuti, hati-hati, berkereta jangan lupa tali pinggang keledar. Jangan lupa pakai helmet.

Cuti sekolah hujung tahun adalah musim hujan. Cuti sekolah juga adalah musim mengawan di Malaysia. Pakai kondom ya.

Sunday, November 29, 2009

Kerja Profesional dan Kerja Makan Hati

Kawan aku KC pernah berkata, kerja profesional ni macam peguam. Katanya, katakanlah peguam bela, dia tak kisah siapa client dia. pembunuh ka, perompak ka, perogol ka... asalkan mampu bayar dia akan bela.

Sama macam kita kerja jugak, ada bos perangai haram. Asalkan dorang bayar gaji, buat sajalah kerja. Makan gaji pun ye, makan hati pun ye jugak. Selain bos, terdapat juga senior-senior, supervisor, pekerja-pekerja bawahan seperti bangla. Dorang ni pun tak kurang jugak haramnya. Selagi kita dibayar gaji, buat jelah kerja. Makan gaji pun ye, makan hati pun ye.

Aku pulak kata, kerja profesional ni macam doktor. Kadang-kadang takde pesakit datang. Boleh rilek sikit. Kadang-kadang berduyun-duyun datang naik panik dibuatnya.

Ada pesakit datang jalan kaki. Tak serius, bagi ubat suruh balik.

Ada pesakit datang disorong dalam kerusi roda. Kena tolak masuk wad.

Ada pesakit disorong dalam stretcher pulak. Rawat punya rawat putus nyawa... tolak masuk peti ais.

Kerja yang diserahkan kepada kita tu kena tengok prioritinya. Nak urgent ka, top urgent ka.. atau KIV je dulu. Kalau dah kritikal sangat elok panggil doktor pakar cepat!

Boleh je kalau nak bandingkan kerja profesional ni dengan kerja cikgu. Tapi cikgu zaman sekarang ni tahu bagi laptop pada anak-anak untuk dipijak-pijak... laptop harga tujuh lapan ribu bagi anak pijak-pijak... leceh ah.

KC dah berhenti dan bekerja di kasino di Singapura, tak tahan dah makan hati hari-hari.

Thursday, November 26, 2009

Pengalaman Itu Guru juga

"Encik... kat universiti saya tak ada belajar benda ni lah...".

"Kat universiti dulu belajar lain... kerja kat sini lain."

"Apasal calculation dia lain encik?"

Dan banyak lagi soalan-soalan yang lebih kurang sama malas aku nak tulis. Setiap jurutera baru yang baru masuk bekerja di sini akan dapat 'kejutan'.

Mungkin bagi sesetengah orang, habis je belajar di universiti dah tak perlu belajar lagi dah. Kerja cari duit. Contohnya jurutera bidang elektrik, tak kiralah elektrik kuasa atau elektrik elektronik. Diaorang ingat bila masuk kerja duduk dalam bilik air-cond lepas tu main internet, petang je balik, cukup bulan dapat gaji.

Bos bagi tugasan kecik dah panik pening kepala. Merusuh-rusuh, tak lama berhenti kerja.

Bidang elektrik ni luas. Tapi kalau salah masuk bidang, pening jadinya. Sebaik-baiknya jurutera-jurutera ni masuklah level pengurusan (tapi kalau suka belajar dari bawah takde masalah). Lagi satu kalau lulusan universiti ni eloknya pergilah kerja kat consultant ka, main contractor ka. Kerja kat syarikat kontraktor ni yang sesuainya yang dari Giat, IKBN, ILP...

Kat universiti memanglah jarang diajar cara tarik kabel, cara bengkokkan besi conduit.

"Encik... lampu f l u o r e s s s c e n t.. tu apa?"

Sekolah dah tinggi sangatkan...

Sunday, November 22, 2009

Buku & Beg Sekolah

Awek aku bawa balik buku teks tahun satu untuk anak aku. Semua murid dapat merasa skim buku teks. Aku dapati ada lima belas buku teks. Banyaknya :P

Mak bapak zaman sekarang pastinya akan 'menjadualkan' anak masing-masing. Baca buku, buat latihan, tusyen, mengaji... penuh aktiviti sehari.

Budak sekarang kalau balik dari sekolah akan kata boring. Apa cikgu ajar kat sekolah sama je macam yang emak dan ayah dah ajarkan. Kenalah terangkan kat budak tu, yang baca kat rumah tu persediaan nak masuk kelas, yang kat sekolah tu untuk lebih pemahaman dan mendalam. Cikgu akan ada banyak ruang untuk memberikan penerangan lebih lanjut. Dirumah baca teks untuk persediaan, esok masuk sekolah tak terpinga-pinga, balik rumah buat ulangkaji.

Aku dulu pagi nak pergi sekolah tergagau-garau bawah katil, bawah tangga...

Tap!

Yang aku gagau kat sini buat apa, beg aku semalam tak ambik pun kat raga basikal bawah rumah.

Lawatan hari ini - buku teks best [Link]

Thursday, November 19, 2009

Selangor Maju (?)

Ooo.. korang kata Selangor Maju ye?

Mari datang Semenyih pergi restoran Mau***

Pesan rojak taruk telur. Lagi tanya telur tu nak goreng ke? Penuh kuah kacang dengan mee kuning.

Tadi kata nak mi?

Hua hua... bila masa.

Budak lelaki belum habis tingkatan buat roti bakar. Dia lepas kencing basuh tangan tak?

Budak perempuan gemuk tu ambik order, nak air tin, bawak air tin, nak milo bawak milo, nak teh tarik, bawak teh tarik... kalau sekali order kan senang.

Jalan berlubang-lubang jangan kata lori balak, gajah pun boleh panik.

Lagi nak kata Selangor negeri maju. Harkkk petuih!

Wednesday, November 18, 2009

Segelas Teh Tarik

Suatu hari aku buka email. Dapat pesanan seseorang ingin tambah akan sebagai kawan di Facebook. Aku teruja. Kawan ini ialah kawan lama aku masa sekolah rendah dulu. Adalah dalam 11 tahun tak jumpa. Kawan sekolah rendah pun ya, kawan sekampung pun ye.

Kami borak-borak dalam ruangan komen gambar. Tanya khabar, tanya kerja mana, anak berapa, bini dah berapa...

Aku minta nombor phone tak lama dia SMS aku. Aku terus dail nombor dia. Hampir sejam bersembang.

Dia, "Aku google dan search nama kawan-kawan tapi tak jumpalah. Aku add Musa tapi dia tak add aku lagi. Kat ruangan friend tu nampak nama Basri, ah! kenal sangatlah ni!"

Aku, " a..."

Dia, "Aku rasalahkan... mungkin kawan-kawan ni guna nama lain dalam internet tu pasal tak jumpa."

Kalaulah dia tahu aku guna nickname dugongsenyum mesti dia mati dalam gelak.

Tuesday, November 17, 2009

Ironi

Dia kawan baik aku. Sarapan bersama. Makan tengahari bersama. Menghabiskan hujung minggu bersama. Malam-malam pergi kelab main pool.

Suatu hari bulan puasa dia nak beli kereta. Kereta raya katanya. Aku jadi penjamin pinjaman bank beli kereta.

Seminggu kemudian bos panggil aku masuk bilik. Aku disyaki bersubahat pecah amanah. Tercabut rasa jantung. Kote jadi kecut habis. Rupa-rupanya aku jamin kawan beli kereta, duit dia kebas dari syarikat buat beli kereta.

Tak lama dia dibuang kerja. Kesalahan memalsukan cek. Meniru empat orang punya tandatangan. Tandatangan pengarah-pengarah dan pengurus.

Datanglah khabar dari kawan-kawan lain, dari jiran-jiran lama dia, dari adik-beradik dia, dari kawan-kawan lama dia. Dia sebenarnya bekas banduan. Dulu curi motor. Dua orang anak dia tu anak luar nikah. Gigi palsu yang dia pakai tu sebab dulu kena hempuk buntingkan anak orang. Berapa ramai awek kelililing pinggang sampai sekarang.

Lama aku tak jumpa dia. Dengar khabar dah kawin. Bisnes dah kencang. Duit yang dia curi dah bayar balik, kawtim tanpa laporan polis dan tak bawak ke tengah.

Khabar terbaru dia telah diikat jamin oleh isterinya dimahkamah. Atas tuduhan menggunakan kekerasan untuk merogol. Sekarang dia lepas tapi tak bebas.

Minggu lepas jumpa dia. Anak dia satu sekolah dengan anak aku.

Saturday, November 14, 2009

Alam Baru

Hari ni pergi mendaftarkan anak masuk Tahun 1. Memori-memori masa lalu terbayang-bayang di ruangan mata. Teringat arwah bapak yang memanja-manjakan aku dulu. Kalau seorang bapak yg kerjanya bendang, kerjanya kebun, kerjanya buruh boleh mendidik anaknya sampai ke menara gading. Bolehkah aku yg katanya bapak moden masakini konon, membuat lebih baik? masa akan menentukan...

Lencana sekolah tu sekali imbas macam logo hippis pun ada.

Thursday, November 12, 2009

Buku-buku dan kafein

Baru habis baca komik novel 'Ibu Robotku Sayang' (huhuhu... sedihnya citer), buku 'Gila-gila di Langit Biru' (penulisnya bekas peramugari... best giler), komik Korea 'Ikhtiar hidup di Kawasan Gunung Berapi' (7 juta nashkah terjual di Korea... best komik ni).

Wednesday, November 11, 2009

Crayon Birthday Boy 11/11


Apa agaknya yang ada dalam fikiran budak umur 4 tahun?

Arghhh... dinding ruang tamu, dinding bilik, belakang pintu semua dah kena conteng dah.

Awek aku dah marahkan dah budak ni sampai menangis-nangis, mengadu kepada aku tentang kenakalan anak-anak, mungkin nak mintak aku 'tangankan' sama.

Apa aku buat, aku capai XM5800 aku dan suruh budak boboi ni berpossing dengan hasil seninya.

"Karang... tak pasal-pasal anak dengan bapak sekali kena rotan!!! Kita suruh dia tegur, dia pulak lagi macam menggalakkan."

Sunday, November 01, 2009

Maskara Shorties 2009

Twinkle little stars.


Avoid absenteeism, we miss you if you not here.


Doggie style's stone.


Bertukarrr!!!

Ada awek retro kat belakang tu.

Nota: Aku terpaksa balik awal aaa... sakit mata.

Friday, October 30, 2009

SENI untuk AIDS

ARTWORK No 86
Nama: Dugongsenyum
Saiz: 10.5" x 13.5"
Media: Digital
Tajuk: Not small in size (ii)
Tahun: 2009

Aku hantar tiga lukisan dan dah diterima ketiga-tiganya (terima kasih tuan penganjur). Aku berasa seronok kerana dapat juga meramaikan suasana. [ link ]

Tarikh tutupnya esok, katanya.

Not small in size

Thursday, October 29, 2009

Sepandai-pandai tupai melompat

Bilik Suiz Utama, tanda amaran jelas kelihatan.

Tangannya ghairah nak mencapai earth busbar, tapi mungkin tak sengaja 'tercium' incoming supply 415 volt.

Memakai jaket sebuah organisasi (mungkin pernah buat latihan industri di sana). Di dalam beg kepunyaan mangsa kami menemui puluhan sijil kemahiran, mungkin baru balik dari temuduga kerja dan fedup tak dapat kerja, nak cari duit dia mencuri. Wallahua'lam...


Remaja umur 20'an ni mati tak berbaloi. Hanya kerana nak curi sebatang busbar yang harganya beberapa puluh ringgit tu ia rentung. Kejutan elektrik menyebabkan badan kita terhidrat, macam air kena sedut dari badan.
Kejadian ni berlaku dalam tahun 2006 yang lalu. Dapat satu panggil daripada bahagian maintenance pangsapuri yang mana kami adalah kontraktor elektriknya. Walaupun kejadian tak ada kena-mengena dengan kami, tapi mereka takut untuk on semula power supply.
Tak ada apa-apa kerosakan yang serius. Remaja tu mungkin dah mati semalaman. Group maintenance terkejut jumpa mayat dan off-kan power supply sebelum memanggil pihak berkuasa. Kalau tak ada orang masuk ke bilik tu sampai bila-bila pun takkan tahu ada orang mati, sebab insiden pada incoming dari TN* ni tak menyebabkan trip.

Tuesday, October 27, 2009

Kolaj

Dah terbengkalai berapa lama dah ni, sibuk kerja. Ada tujuh hari dalam seminggu, tapi aku dah tak tahu yang mana antara tujuh hari itu adalah hujung minggu. Alahai...

Monday, October 26, 2009

Sunday, October 25, 2009

Kisah Cermin Yang Jernih

Suatu malam aku singgah di sebuah stesen minyak berhampiran. Aku letak kereta di salah satu pam yang ada kemudian masuk ke kaunter untuk buat bayaran.

Aku sebut nombor pam aku hulur duit, juruwang tu pulangkan baki beserta resit. Sambil berjalan ke pintu aku buka dompet, lipat duit kertas, lipat resit dan selitkan ke dalam dompet.

Sedang asyik membelek-belek dompet...

GEDEGANGGGG!!!

Terus nampak bulan bintang. Aku terlanggar pintu kaca yang bersih jernih tu.

"Uh!?...", muncul muka terkejut seorang pelanggan di muka pintu yang baru nak masuk ke kedai tu.

Aku jalan terus buat muka selamba. Dalam kereta aku tekap telapak tangan ke dahi, "Aduh.. duh... duh... sakitnya *@%&*@$#%"

Boleh saman ke stesen minyak tu? Kerana pintu cermin terlalu jernih.

Wednesday, October 21, 2009

Angkara Iblis Dan Syaitan

S: Bolehkah AIDS berjangkit dengan menggunakan tandas awam, telefon, dan kenderaan awam?

J: AIDS tidak boleh dijangkiti dengan menggunakan kemudahan awam di atas oleh kerana ia tidak merebak melalui air, udara, makanan, menyentuh dan memegang barang-barang kepunyaan pesakit AIDS.

Sumber DI SINI

Tuan / Puan mungkin menyukai INI

Saturday, October 17, 2009

Ronggeng Kuantan

Pada 16hb Oktober 2009, aku sekeluarga bertolak dari rumah jam 5 pagi. Kami nak ke Kuantan.

Aku ada urusan kerja pada hari itu, keluarga aku tinggalkan di hotel. Orang hotel tengah hias lantai hotel, "Aok dah hilang satu huruf aok". Dah namanya satu-Malaysia, orang hindu raya kita pun mesti sibuk nak raya jugak.

Kasihan keluarga aku boring duduk je dalam hotel sejak pagi tadi. Tengahari tu aku balik hotel sekejap dan bawak keluarga makan tengahari di TAJ, lepas tu pergi kerja balik. Habis kerja petang tu aku sekeluarga ke Teluk Cempedak.

Orang tersangat ramai kerana ada event dan gerai-gerai. Kami sekadar bersiar-siar menghirup angin petang. (Ada perlawanan bola sepak pantai kategori gadis-gadis-betis-bunting-padi-peha-putih alahai.....) Melayan kerenah anak-anak yang bermain pasir dan berkejaran ke sana-sini. Sempat juga diganggu beruk Teluk Cempedak yang agak nakal itu. Dalam perjalanan balik kami singgah di Taman Gelora aka Tanjung Api dan pusing-pusing sekitar bandar Kuantan.

Selepas itu kami ke East Coast Mall saja nak cuci-cuci mata. Teringat anak lelaki aku yang tertinggal seluar di rumah, kami belikan dia sehelai jeans. Kalau tak nanti pelik pulak sebab pakai t-shirt belang-belang hijau, tapi pakai seluar (untuk baju melayu) yang warna oren.

Makan malam di luar hotel kami iaitu Hotel Continental. Betul-betul di depan hotel tu ada restoran Sara Thai Kitchen Wan Seafood dan Tom Yam.

Aku cakap kau dia punya nasik goreng seafood memang mabelessss


Kari hijau memang sedap kaw-kaw gila babi nak mampus.

Udang goreng tepung dia boleh buat jadi gila bayang sedap gila babi nak mati.

Lepas makan balik ke hotel buat projek kejap... eh silap balik ke hotel mandi-manda dan melayan anak-anak menonton TV. Pada masa yang sama aku telah SMS tuan Abdullah Jones sebab aku teringin sangat mampir galeri lukisannya. Tapi Kuantan hujan lebat malam tu, kami tunggulah hujan reda.


Bermula pertemuan di kedai mamak TAJ betul-betul di belakang hotel.

Aku jalan kaki je meredah gerimis malam nak jumpa kawan punya pasal.

Bersua dengan AJ dan Acai, berborak-borak tentang diri masing-masing.

Kemudian AJ bawa aku ke galeri lukisan Rajawali di Cenderawasih. Di sana aku berpeluang berkenalan dengan tuan Abu Yusof, pelukis juga.

Melepak di galeri tu sambil cuci mata, berborak-borak sampai pagi.

Tabik aku kepada hasil kerja dia orang ni, lagi satu gila babas punya tekun dan gigih bila buat kerja tak kira siang malam pagi petang hujan panas lapar kenyang.

Lepas tu AJ hantarkan aku pulang ke hotel, InsyaAllah hujung bulan ni kami akan ketemu di KL pula di acara Maskara.


Pada pagi Sabtu aku sekeluarga bersarapan di hotel sahaja memandangkan pakej yang dibooking ada sarapan pagi sekali. Sarapan pagi aku adalah sarapan seorang juara.

Selepas sarapan aku bawa keluarga aku ni bersiar-siar di tepi sungai Kuantan dan pusing-pusing lagi bandar ni.

Seterusnya aku memandu terus ke Tanjung Lumpur yang terkenal dengan port ikan bakar tapi aku belum sempat nak merasanya lagi. Dari Tanjung Lumpur kami ke Kuala Sungai Pahang di Pekan. Aku nak tunjuk rumah Najib kepada awek aku. Selain itu aku nak ke tapak projek sebab ada kerja sikit nak buat.

Dari Kuala Pahang kami terus jalan ke Gambang. Sampai Gambang kami berehat sebentar sambil membeli hadiah untuk pengantin kawan online Geng Mak Itam dulu namanya Ketam Merah. Dia dapat laki orang Bentong, anak orang berpangkat ada pingat AMN, PJK etc. Melihat peta kad undangan tempatnya di Temerloh, alah celah gigi je tempat ni (sebab aku ada GPS).

Sampai Temerloh kami singgah R&R dan aku belanja awek aku Patin Buah. "Ni kalau mertua lalu pun tak perasan ni", kata awek aku.


Bajet apa yang anda makan, makan apa yang ada bajet.

Gulai tempoyak patin buah kat sini memang tak mengecewakan.

Pedas dan lazat nak mati gila babi punya lazat.

Mampus ah dalam GPS aku tak ada Kampung Sanggang Seberang. Hampir satu jam gila babi sesat di antara Hospital Haji dengan JKR. Berapa kali ulang-alik berapa kali pusing, simpang tak jumpa-jumpa. Aku tak putus asa, kalau Ketam boleh sampai rumah aku takkan aku tak boleh sampai rumah dia (Ketam, Koyeng dan Banai pernah berkunjung ke rumah kami dulu masa mula-mula kenal di online chatting) Setelah buat call beberapa kali akhirnya ketemu juga.

Di rumah kenduri ni dihidangkan pula dengan masakan kampung yang salah satunya memang favourate aku iaitu gulai lemak umbut.


Pergghh..... sedap gila babi nak mampus ah. Bergambar dengan pengantin, memang pantang kamera kalau pengantin lebih hensem daripada aku dia akan habis bateri. Dan dan tu jugak habis bateri, hampeh punya kamera hargkhh petuih! Kamera henpon? Pun tak boleh harap, gambar gelap.

Meredah semula hutan belukar dan jumpa monyet-monyet di simpang jalan. Kami masuk semula ke lebuhraya menghala ke KL. Hujan selebat-selebatnya mengiringi kami sampai ke KL. Sebelum sampai ke rumah kami singgah di Paya Jaras untuk makan malam.

Sampai di rumah kepenatan sangat.

PS: Terima kasih kepada Attokz atas bantuan yang tak akan aku lupakan jasa baikmu itu.

PSS: Terima kasih Sinaganaga atas bantuan yang tak akan aku lupakan jasa baikmu itu.

PSSS: Terima kasih tuan Abullah Jones kerana sudi melayan tetamu tak diundang ini dan juga atas lukisan 'yang-harga-boleh-runding' itu. Terima kasih juga kepada Acai dan Abu Yusof kerana sudi meluangkan masa.

PSSSS: Terima kasih kepada keluarga Ketam kerana tolong pandu arah.

Saturday, October 10, 2009

Salam Ziarah : Melaka (Bahagian 1)


Dalam setahun kebelakangan ini kerap sangat aku kerja out-station. Sekejap ke Pekan, Kuantan, sekejap ke Bahau, sekejap nanti terbang pula ke Pulau Tioman, lepas tu ke Alor Gajah pula. Semua atas urusan kerja syarikat, sama ada lawatan tapak, mesyuarat atau memenuhi janjitemu.Jadinya keluarga aku kerap kena tinggal, day trip, sehari dua, kadang-kadang sampai seminggu.


Suatu hari awek aku teringatkan Kak G di kem KLD, Jasin, Melaka. Entah apa mimpi dia aku tak tau. Jadi aku aturkan satu perjalanan dimana kami akan menziarahi keluarga kem KLD seterusnya nak pusing-pusing Melaka. Berhajat juga nak merasa cruise menghirup udara sepanjang Sungai Melaka.

Di kem KLD, kami dilayan mesra oleh Kak G dan suaminya Pak Let ssekeluarga (sorang aku panggil kak sebab nampak muda, sorang aku panggil 'pak' sebab nampak err.. er.. matang!) Dijamu dengan nasik beriyani dan lauk-pauk yang lazat. Tak lama kemudian sampai pula Attokz sekeluarga, bertambah meriahlah kami. Aku, Attokz dan kawan-kawan Geng Jurnal boleh tahan lasak dan nakal juga dulu masa buat Projek Basah di KLD, iaitu pada Julai 2005. Bila dikenang-kenangkan balik, macam budak-budak pun ada.

Berhempas pulas kami makan nasi beriyani dan lauk-pauk. Selepas itu kami berborak-borak sambil mengimbas kenangan beberapa tahun lalu kami berkubang di tasik Tebat bersebelan kem tersebut. Kami dibawa meronda-ronda kawasan sekitar yang diredupkan pepohon hijau. Angin sepoi-sepoi bahasa dari tasik menyapa kehadiran kami.

Banyak juga perubahan dan kemaskini yang berlaku di kem KLD ni. Pelantar tempat dimana aku pernah terjun tiruk dan berdugong-duging dengan kawan-kawan sudah tiada. Diruntuhkan demi keselamatan kata Kak G.

Perut kami tak sempat lapar, tekak kami tak sempat dahaga, mata kami tak sempat nak mengantuk dihidangkan makan-minum dan teh tarik.

Sebelum balik Kak G beri hadiah cenderamata yang aku tak sangka-sangka, terlalu gembira. Anak-anak kami diberinya ang pau, yang bila dibuka amaunnya sungguh lumayan yang biasanya dapat untuk keluarga terdekat sahaja. Lepas rindu pada KLD. Awek aku pun mungkin lepas rindu kepada Kak G.

Bilalah agaknya aku dapat peluang untuk melepas rindu pada air tasik? Nak saja aku terjun meniruk berhempas-pulas badan didalamnya.

Kami mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga kem KLD semoga bisnes terus berkembang, badan terus sihat, keluarga sejahtera selamanya.

Yang pasti lambaian tanganmu, lambaian Kem Lambaian Danau bukanlah lambaian terakhir dariku. Aku pasti datang lagi! InsyaAllah.