Friday, June 30, 2006

Orang yang solat itu

Selesai saja imam memberi salam kedua selesailah solat Jumaat hari itu.

Kelaziman aku daripada masa muda lagi. Tak akan berganjak selagi pak imam tak habis baca doa. Dan aku bersama-sama jemaah yang lain meng-aminkan sajalah.

Semasa berpusu-pusu dengan orang banyak ke muka pintu masjid itu. Untuk mengambil stokin dan kasut. Aku terdengar suara kuat seorang mengangkat takbir.

ALLAHU AKBAR!... ALLAHU AKBAR!... Laju benar dia sembahyang.

Solat sunat barangkali. Tapi mengapa kuat sangat. Melepasi orang-orang berpusu-pusu itu nampaklah oleh aku orang yang sembahyang sunat tadi. Kuat sekali bacaannya. Jadi tumpuan orang sekeliling, dengan pandangan sinis.

Dia pakai uniform coklat yang lusuh (Aku tak pasti uniform firma apa). Dia solat membelakangkan kiblat pula.

"Orang gila pun ingat nak mendirikan solat Jumaat." kata aku dalam hati.

Monday, June 26, 2006

xx

Laporan Projek BeLALANG

Pada 24 Jun 2006 yang lepas aku pergi berkelah di Bagan Lalang (BeLALANG) untuk sambutan Weblogger's Day 2006 peringkat Geng Jurnal. Ketuanya Amyz.

Sebenarnya, pada awalnya, dalam jemputan di forum aku tak tulis nama sebab tak pasti boleh datang atau tidak. Akhir masa baru aku dapat peluang. Lepas habis waktu pejabat, terus aku meredah sampai tol Nilai.

Itulah janji Melayu, kata mula pukul 1.30, aku tunggu sampai 2.30 pun belum ada orang ekekeke

Makanan paling sedap ialah laksa kalau bukan nuget atau kek brownies, bantal Saloma, dan lain-lain. Ada beberapa layer makanan dalam perut aku petang itu. Terima kasilah kepada pembawa-pembawa makan minum aka potluck terbabit.

Aku? Aku cuma bawa pewut luck hehehe

Cabutan malang best kan? Kita semua sporting kan? Cayalah!

Antara perkara-perkara menarik :-

1. Tiada yang dipaksa merayap bawah Produa Kembara.
2. TIada yang dipaksa telan biji rambutan.
3. Tiada lelaki cium lelaki.
4. Tiada yang diurut dalam khemah.
5. Tiada yang pulang kelaparan ekekeke

Lagi cerita kat forum : http://www.jurnal.biz/forum/viewtopic.php?p=69192#69192

Akan datang : gambar-gambar Projek BeLALANG.

Friday, June 23, 2006

Orang macam aku pun ada secret admire ?

1995.

Masa tu memang panas terik. Aku dan kawan-kawan sekumpulan di tangga masjid. Kami baru lepas Zohor. Aku baru memakai stokin dan mengenakan kasut kanvas hitam.

Masa nak bergerak itulah seorang junior dengan baju dan seluar putih serta kasut kanvas hitam datang mengalas beg di bahu kiri. Junior ni dari kumpulan yang aku raging beberapa minggu lepas semasa minggu silaturrahim pelajar tingkatan enam bawah. Minggu tu memang aku sibuk, maklumlah jadi pengerusi 2 kelab, jadi pengawas dan ketua tingkatan dalam satu musim.

"Ada orang bagi untuk abang." Katanya sambil menghulurkan sampul warna putih.

Aku capai dan terus buka. Oh! kad hari lahir rupanya.

"Siapa yang bagi. ?" Aku tanya dia.

Dia tersengih, "Dia cakap jangan bagi tau abang."

"Baik kau cakap!."

"Err.. nama dia Halimatus Saadiah bang..."

Aku mendongak memandang menara masjid sambil mengusap misai nipis. Bulu kening terangkat sebelah. Tiba-tiba aku teringatkan susu. Susu badan. Ha ha. Entah mengapa nama itu membawa ingatan aku kepada susu badan pula mmm... nyam nyam

"Siapa Halimatus Saadiah?."

"Abang tak kenal dia, tapi dia kenal abang."

Orang macam aku pun ada secret admire ?

Perkara ini kalau Siti Z tahu nahas aku. Aku ni setia kepada awek yang seorang.

Orang macam ni pun ada awek? HA HA HA

Tuesday, June 20, 2006

Rambut pendek macam rekrut tapi nak pinjam hair dryer

Ketika aku menulis ini, aku sebenarnya baru sahaja menghidupkan PC. Sebelum itu punch card.

Ketika aku menulis ini aku sedang memulakan hari di pejabat. Aku duduk di sisi jendela kaca yang kelihatan hitam dari luar tapi lut sinar dari dalam. Dari dalam sini aku nampak rintik-rintik hujan di luar. Lopak-lopak air pada jalan berturap simen kelihatan seperti cermin-cermin yang ada bayang pokok dan kenderaan. Aku nampak langit masih kelabu dan awan masih mendung. Nampaknya matahari pagi akan malas keluar hari ini.

Ketika aku menulis ini perut aku kedinginan kerana ada satu tompok basah pada kemeja kelabu yang aku pakai. Mungkin tompok basah ini terjadi akibat kebocoran pada baju hujan yang aku pakai tadi.

Ketika aku menulis ini aku sebenarnya berada dalam bilik berhawa dingin 17 darjah celcius.

Aku sebenarnya berkaki ayam sekarang ini.

Kasut yang aku pakai menakung air hujan dan stoking pula boleh diperah. Kalau aku di pejabat Abang Naga sekarang mahu saja aku pinjam hair dryer daripada Abang Naga.

"Bang, pinjam hair dryer bang, saya nak keringkan kasut."

“Hair dryer tak ada, tapi you wanna gum, sol-jah?” Jawab Abang Naga. Agaknyalah.

Friday, June 16, 2006

Baju T Yang Mahasiswa Suka



Kalau pelajar-pelajar universiti duduk bincang-bincang. Mereka ambil jurusan Pentadbiran Perniagaan contohnya. Kita panggil mereka, pelajar universiti itu, yang kebanyakannya muda belia lagi. Kita panggil mereka MAHASISWA.

Malam tadi beberapa ahli Geng Jurnal duduk berbincang (lebih kepada berborak) di Restoran Fathima, Bangsar. Di moderate oleh Jigo dengan kehadiran Naga, Mat Jan, Amir, Mulan, OP, Spyz dan Dug. Mereka berbincang juga pasal perniagaan (kecil-kecilan) dengan jiwa yang besar, tentunya.

"Nak projek yang menjana (duit)." Kata Mat Jan.

Mat Jan sebenarnya masih belajar, tapi dah mula bekerja.

"Aku nak sambung belajarlah." Kata Naga, yang dah berbelas tahun bekerja.

Mat Jan belajar sambil bekerja. Naga nak bekerja sambil belajar.

Mereka yang dah otai, baru nak belajar berniaga. Kalian gelarlah mereka MAHASITUA.

"Kau grad universiti mana?" tanya seorang.

"Aku belum grad, masih MAHASITUA Universiti Of Geng Jurnal."

Hah! Profesor Madya Doktor Naga?

KRINCHINGGG!!!

Seberkas kunci jatuh terus dari poket seluar ke lantai simen.

Thursday, June 15, 2006

Anak-anak piala dunia.


Anak-anak piala dunia, siang mengantuk malam berjaga :P

Tahun 1998 aku tinggal di rumah bujang dengan Abe (Kelantan), Amir (Kedah), Zai (Perak) dan Ayob (Perak). Piala dunia main malam-malam dan pagi-pagi. Tahun itu menyaksikan kehampaan aku bila Brazil dikalahkan Perancis. Tak berbaloi rasanya bersengkang mata. Rumah bujang tak ada TV, aku bertandang rumah kawan pagi-pagi, Abang Wahid (Terengganu).

Piala Dunia 2002 pula permainannya siang-siang. Brazil menang. Aku berbaloi rasanya MC itu hari.

Tahun ini 2006. Piala dunia main malam-malam atau awal pagi.

Sekarang aku bukan aku yang dulu. Kalau baring atas tilam akan ada dua baby bawah ketiak. Seorang 3 tahun, seorang lagi 6 bulan.

Walau pun aku tak nak bangun awal pagi untuk piala dunia, aku kena bangun juga awal pagi bila budak dua orang ni melalak.

Air mata tangis tak seberapa, tapi dia punya volume mengalahkan siren, berdesing telinga.

Terutama yang kecil ni, Waaa! Waaa! Waaa! (Mata pejam, suara gegak gempita sampai menggegarkan apartment 5 tingkat, suara boleh dengar sampai rumah jaga, dengan kaki menunjal-nunjal perut boroi aku).

Budak kecil ini tidur dalam berbagai posisi, melintang menyerong. Kedudukan juga berubah-ubah menjelang siang, ada ketikanya seakan-akan mengambil tendangan sudut.

5 skop susu campur 1 skop nestum beras biar kenyang. Untuk kakaknya pula 5 skop susu. Tapi kerja ni kami buat bergilir-gilir, malam ini aku, malam esok dia.

Tahun 1994. Sekolah menengah masa tu, aku belum minat bola. Kawan-kawan sibuk memperkatakan tentang penjaga gol "Kala Jengking" yang beraksi awal pagi itu. Aku cuma ternganga-nganga sebab aku tak menonton, aku tidur.


MARI BACA BAPAK-BAPAK PIALA DUNIA : -
Bluehikari
Tok Rimau

Wednesday, June 14, 2006

Sehari selembar benang

Hari ini sambutan hari penulis blog 2006.

Aku mula menulis blog pada Mei 2003 kalau tak salah.

Aku penulis blog, jadi aku pun sambut juga perayaan ni. Walau pun mungkin yahudi yang asaskan sambutan ini. Mungkin.

Macam mana aku boleh jadi blogger pulak ye?

Mula-mula tersesat dari search engine. Kemudian terbaca, lepas tu baca-baca. Dah berani sikit turunkan komen. Lepas tu view source website (blog) tengok coding yang best. Lama-lama terikut-ikut dengan gaya penulisan orang. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Aku guna Geocities, Freewebs, Brinskter dan host percuma yang lain. Kemudian aku kawan dengan OP, dia guna Blogdrive aku pun ikut. Melihat kejayaan Naga Origami, aku mengikut langkah dia pula, guna blogspot. Fail-fail tertentu aku simpan dalam host berbayar seperti makitam2u dan kroni.biz

Kalau nak buat sesuatu sebaik-baiknya belajarlah. Dalam dunia blog aku berguru secara tak langsung (dan secara langsung) melalui Sera, Bluehikari, Tok Rimau, Mat Jan, Saharil, Nettbiru, Fajar, Elaira dan kemudian muncul begitu banyak nama dalam kepala aku.

Kemudian terserempak Gengjurnal. Aku mendaftar di sana dan tidak dijenguk pun selama 5-6 bulan. Selepas gath Geju yang ke-3 baru aku aktif sikit, sampai sekarang.

Semasa aku baru kenal dunia blog, sudah ada penulis yang terkehadapan sedikit yang buat e-book. E-book ini adalah asalnya entri-entri penulis yang di compile menjadi satu dokumen PDF. Yang pertama aku download hasil Tok Rimau, kemudian Mat Jan (Jongkang Jongket), Bluehikari, Cerbung dan Izalatif.

Aku download kemudian print, bawa balik, baca di rumah. Lagi pun pada masa itu di tempat aku belum pasang streamyx. E-book sebegini lebih menjimatkan bil berbanding berjam-jam mengadap internet. Dari e-book ini aku belajar macam-macam jurus mengendalikan blog.

Selepas berapa lama e-book yang aku ada sudah pun diterbitkan menjadi buku. Macam Mat Jan masih mengekalkan Jongkang Jongketnya, manakala Tok Rimau pula bergabung dengan Naga melahirkan AKB.

Inilah klimaksnya menjadi penulis blog, apa yang kita tulis akhirnya kita bukukan. Teringat aku kata Bukhari, "Kerajaan Malaysia berkempen menggalakkan membaca, tapi kita maju lagi selangkah dengan menulis pula."

Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain.

Tuesday, June 13, 2006

Kesal

Dengan dua ringgit kau boleh dapat lebih sekilo gula.

Tapi kelmarin di Suria KLCC nak berak pun kena bayar dua ringgit.

Untuk mencipta suasana berak yang nyaman, pihak pentadbir jamban bakar lilin wangi. Di depan cermin ada botol-botol pencuci tangan, krim, bedak, pewangi, vitamin E.

Tapi masalah yang aku dapat, masa buka paip air terpercik ke muka aku.

PTUIHHHH!

Friday, June 09, 2006

Gila gula. Gula gila.

"Abang... balik kerja nanti beli lampin baby, susu sama gula. Duit balance bagi balik tau." Awek aku hulurkan RM50.

Dalam pasaraya barang-barang susun teratur. Tapi di mana gula? Pembantu pasaraya itu pula buat-buat tak dengar saja. Maka aku carutkan dia di dalam hati.

Sampai di rumah aku serah resit belanja RM54.50 kepada awek aku.

Aku cakap, "You bagi lima puluh saja lepas tu nak mintak balance konon, tengok resti ni.."

"Oh! tak cukup ye? hi hi hi hi." Apabila awek kuketawa.

"Tapi gula tak ada."

Tak puas hati kami mendukung baby pergi ke kedai runcit berdekatan. Lepas satu, satu kami bertanyakan gula. Tapi gula tak ada.

Baby yang didukung semakin berat terasa sebab tidur melakap di bahu rupanya. Penat aku.

Aku tanya abang itu. Si tuan punya kedai. "Bang, apahal satu Subang tak ada gula?"

"Bukan satu Subang, tapi satu Shah Alam tak ada gula."

"Ada komplot nak naikkan harga gula ka?" Aku dah mula menyinga.

Nak menipu pun beragak-agaklah sikit. Shah Alam tak ada gula? Jadi apa guna kilang gula di Batu 3 Shah Alam itu? Ia sudah bertukar jadi kilang baja ka?

Sarapan nasi lemak dengan air kosong, di depan TV terpasang. Ada siaran cakap-cakap dengan wakil FOMCA. Isu bekalan gula. Tempat lain di Malaya ini pun ada masalah untuk mendapatkan atau membeli gula rupanya. Aku tonton siaran cakap-cakap itu separuh jalan sebab aku bergegas untuk ke pejabat.

Hati aku berdetik, ada komplot di kalangan orang tertentu untuk menyorokkan gula. Kemudian apabila permintaan gula meningkat bolehlah mereka main harga. Bila harga naik, maka pada masa itulah mereka tontonkan gula ke khalayak.

Bodoh! Macamlah dunia ni selebar daun pudina. Kau nak jadi ladybird lari pusing-pusing atas daun? Hahaha

Akhirnya awek aku dapat beli gula sebungkus. Sekilo sahaja. Dari kedai mamak sebelah.

"Tapi orang kedai tu tak ada duit pecah, dia bagi Aqilah gula-gula."

Ibu dapat gula, anak dapat gula-gula, ayahnya pulak dapat penat-penat huhu...

Wednesday, June 07, 2006

Suara panggilan di subuh hari.

[Tiga]

Selepas memandu 3 jam maka sampailah di kampung halaman.

Nur Hannan, adik ipar lalu datang menerkam, memeluk, mencium. Bukan... bukan... bukan terkam aku, tak pasal-pasal lebam bijik mata, tapi dia terkam anak aku yang masih baby boy 6 bulan.

Mak mertua aku masak sedap. Masak lemak pucuk betik dengan ayam goreng. Ringkas tapi mantap wa cakap lu.Makan sedap menjadikan tidur lena. Lebih-lebih lagi di kampung rumahnya material daripada papan dan kayu. Peredaran udara malam dalam rumah memang selesa. Di kota rumah batu, malam memerangkap haba menjadikan panas kepam.

Masa itu hujan lebat sudah nak teduh.

[Dua]

Tiba-tiba mak mertua panggil dari dapur di tingkat bawah. "Labu! Labu! ada orang telefon!."

Aku berpisat-pisat bangun dan menuju ke tangga di mana telefon bimbit aku sedang melalak dengan nyaring. Mata aku yang susah nak buka nampak jam di dinding menunjuk angka 4 hampir ke 5.

"Siapalah call pagi-pagi buta ni... hello... hello.. HELLLLOOOOO!!!"

Senyap tak ada suara di hujung talian. Kacau. Sambung tidur.

[Satu]

Sarapan pagi. Nasi goreng panas dalam pinggan, ada asap putih halus naik ke udara.

Bapak mertua selepas menghirup air panas. Aku mengunyah sarapan lagi.

Bapak bersuara, "Labu, kalau henpon letak suara azan boleh tak? sampai masa saja dia azan."

Aku jawab, "Boleh pak, tapi tengoklah henpon jenis apa, henpon mahal sikit boleh merakam."

Aku menyambung, "Tapi kena letak dua jenis azanlah, azan subuh kan lain sikit."

Bapak tersengih memandang aku. Senyuman seorang imam yang amat bermakna dan manis, walaupun dah veteran.

Bapak pun bertanya, "Yang pagi tadi henpon bunyi-bunyi siapa telefon?"

"Itu bunyi alarm pak, bukan orang telefon."

Semalam aku dah set alarm henpon, lepas tu tertinggal kat tangga, bila dah bunyi alarm siap aku angkat pulak siapa call, bukan ingat nak mandi pergi bentang sejadah.

Orang tidur mati macam aku tak ada sebarang bunyi dapat mengejutkan. Taruklah alarm, taruklah kokok ayam, taruklah azan, hatta mariam tomong sekali pun.

Nanti sembahyang Zohor kita berjemaah di surau pak ye pak...

Friday, June 02, 2006

Salah lorong

Aku tersalah masuk lorong tol pagi tadi.

Senyuman lelaki berkumis nipis itu tidak menceriakan pagi aku pun.

Di lorong sebelah sana para pemandu amat gembira menghulur tangan kepada awek domestik. Digenggamnya duit baki dan dapat bekal senyuman manis madu.

Aku patut masuk lorong sana tadi. Mereka tak patut pasang cemin hitam gelap pada kaunter.

Mereka patut pasang papan tanda begini...

Dari jauhhhh.. dah boleh buat pilihan nak masuk lorong mana :-)