Tuesday, August 12, 2008
Sekeping Lukisan Sebuah Kemarahan dan Seuntai Memori Tersimpan Rapi Dalam Kotak Ingatan
Kanak-kanak suka memerhati. Suka meniru. Suka menunjuk-nunjuk. Ingin perhatian. Anak-anak aku suka conteng dinding. Bertuah kalau dapat crayon. Dapat 'artline marker' dah kira bonus bagi mereka.
Marah pun tak guna. Marah sekali buat lagi. Sebatlah dengan hanger baju, tak ada serik punya. Jadinya aku kutip kertas-kertas terpakai dari pejabat, untuk anak-anak aku buat conteng-conteng, jenayah terbabit terus lenyap. Cuba memahami hati seorang kanak-kanak.
+++
Aku berasal dari Kampung Seri Gambut, Tanjong Karang, Selangor. Dahulu rumah kampung terletak di tengah sawah, kemudian bapak tanam kelapa sawit. Jalan masuk ke rumah kampung ini boleh jadi macam border di antara kampung ini dengan Kampung Sungai Sireh.
Berkubang dalam sawah, bermain lintah. Kalau aku cakap 'kuku kambing', sebahagian kalian akan tanya aku balik, binatang apa tu?
Semasa aku kecik dulu aku suka duduk di beranda rumah. Kadang-kadang aku adik-beradik bersidai di tingkap. 'Menonton' jentera penuai padi. Pada suatu masa ada orang-orang MARDI buat testing jentera baru. Jentera penuai mini, comel warna merah. Aku amat teruja melihatnya. Batang-batang padi yang menguning itu rebah di mata tuai, butir-butir padi keemasan memenuhi kampit-kampit guni yang digantung pada sisi jentera, dan jerami menghujan di 'bontot' jentera bertaburan macam rambut disodok mesin.
Aku asyik petang itu.
Lalu aku capai pensel-pensel LUNA dari kotak yang lusuh. Aku cabut buku tulis bahagian tengah-tengah.
Aku lukis jentera penuai padi mini yang comel warna merah menyala. Tayar jentera berantai aku lukis detail-detail. Kemudian aku gunting lukisan itu mengikut outline. Aku pergi dapur mendapatkan nasi. Nasi itu aku tenyeh-tenyeh rata di belakang lukisan.
Abadilah sebuah karya tertampal di dinding. Suatu kepuasan. Seorang kanak-kanak yang paling gembira di dalam dunia walaupun dia belum mengenali Mona Lisa dan Leonardo Da Vinci.
Esok aku lihat hanya tinggal kesan putih terguris-guris sisa-sisa kertas koyak melekat di dinding.
"Buat menyemaaakk je... macam cantik sangat!", kata kakak tiri aku.
Hati seorang kanak-kanak telah terguris...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment