Friday, September 19, 2008

Petang Ramadhan Dengan Bateri Yang Lemah

Selesai mesyuarat di tapak terus aku memandu balik ke rumah. Tak perlu berpatah balik ke pejabat, nanti perjalanan jadi dua kali. Boleh jimat minyak, jimat mileage. Kalau keluar dari pejabat lewat petang di bulan puasa ni, akan kena berjuang dalam jalan yang sesak.

Kadang-kadang dapat call, kadang-kadang dapat SMS. Dari awek. Minta belikan santan, atau bawang, atau bunga kantan. Sesampai di rumah kalau rasa tak ada apa dah nak ditolong aku akan capai MP3 player sama earphone, pergi baring-baring, selalunya terlelap sekejap.

UUWWWAAAAA!!!

Mata yang terasa berpasir aku gagahkan buka mata. Budak perempuan kecik berlari mendapatkan aku terus tekup muka dia yang basah comot tu ke dada aku. Usap-usap badan dia pujuk-pujuk bagi diam. Sah, abang dia dah bantai dia. Tangis dan sedu-sedan dah reda dia sambung main dengan abang dan kakak dia. Aku sambung tidur...

PRRANNGGGG!!!

Bunyi hingar-bingar dari dapur. Aku bingkas bangun. Kaca berwarna-warni bertaburan di lantai. Empat buah mug pecah sekali gus. Budak lelaki umur 3 tahun tu tadi panjat kabinet. Si kakak tuduh si adik, si adik tuduh si kakak. Tak reti penat budak-budak ni... ada je aktiviti. Dah siap kemas, suruh budak-budak tu main kat ruang tamu. Lepas tu aku pergi baring...

KLETAKKKK!!!

Kaca apa pulak yang terhempas tu? Bergegas aku ke ruang tamu. TV aku bunuh diri dengan terjun dari kabinet ke lantai dengan wayar berselirat terbelit di di leher? Kental jugak nyawa TV aku tu tak pecah setelah terlangkup ke lantai semen. Tak ada yang mengaku. TV tu hidup keluar suara je. Ketuk-ketuk sikit barulah keluar gambar, lepas tu perlahan-lahan hilang gambar, ketuk-ketuk lagi barulah keluar gambar... Awek aku dah tak terkata, penat. Bagi dia orang botol susu seorang satu, suruh tidur. Aku sambung mimpi...

GGREKK... GREKK... GRIKKK... GRRIKK... GRIKK... GREEKKK.. GREEEEEK...

Binatang apa pulak ni? Aku meniarap memeluk bantal. Beratnya mata nak buka. Aku menoleh ke tepi. Nampak budak comel Irdina setahun lebih sedang tekun gigih. Di tangannya comel menggenggam pensel comel dari IKEA. Menconteng dinding bilik.

"HHOOIIII!!!", aku sergah budak kecik tu. Terus dia terpelanting ke belakang. Matanya bulat terkejut. Bingkas bangun dan lari mendapatkan ibunya.

Adui... penat balik pejabat, nak lelap sekejap pun susah.

Itulah kisah tiga orang baby yang keletah. Tiga orang anak dari isteri pertama.

***

"Bang...", panggilan manja.

"Mmm..", sahutan manja.

"Sinki... sumbat lagi."

Aduii....

No comments: