Tuesday, September 09, 2008

Kerana Malu

Masa aku sekolah rendah. Mak aku tak pernah pun paksa kami puasa. Lagi tak ada siapa pun nak menawarkan ganjaran material kepada kami macam sebahagian budak-budak lain.

Malah masa aku balik dari sekolah mak aku siap hidangkan nasik, lauk sama teh o lagi. Budak-budak belum wajib, kata mak.

Bagi aku bulan puasa tu bulan yang boleh jadi koboi. Mana tak terasa koboinya kalau dah pistol di tangan, mercun dijadikan bom. Habis ranap pangkal daun betik kena letup. Ulat mentadu hijau di ranting limau pun habis jadi mangsa mercun, tinggal cebisan hijau je kat pangkal ranting.

Mak aku selamanya tak setuju dengan emak-emak orang yang bangga riak takabbur anak dorang tahun ni "Dapat nam ploh hengget! Puasa penuh anak saya tahun niiiii".

Mak aku kata mana sama nyawa anak dengan kemegahan dan wang ringgit, dah besar sikit nanti barulah sesuai dilatih-latih.

Aku mula berpuasa semasa darjah 3 itu pun sebab kena paksa ustaz Ismail. Garang woo.. kecut aku. Semasa aku darjah 3, adik aku yang darjah satu tu berjaya puasa beberapa belas hari, aku dalam tahun tu berjaya puasa sehari.

Aku mula serius berpuasa dalam darjah 4. Suatu peristiwa aku dan adik-adik sedang sarapan pagi. Tiba-tiba sepupu aku anak-beranak datang berkunjung terpacul di muka pintu.

"Eee.. tak puasa.. dah besar tak malu." kata anak sepupu perempuan setahun jagung.

Terus stop makan. Nasik rasa macam tanah liat jadinya. Basuh tangan basuh mulut basuh pinggan. Perghh... jatuh terus aku punya maruah, muka tak tau nak letak mana. Malu semalu-malunya. Budak-budak pun tahu malu!

Aku bersumpah mulai saat itu aku akan puasa penuh! Lepas tu kalau balik sekolah mak aku suruh makan minum terus marah-marah. Arghh... aku nak puasa aku nak puasa! Mak cakap pasal minum je terus nak tutup telinga lari masuk sawah terjun palung.

Di dunia terkantol depan manusia dah macam tu punya penangan malu impak maksima, esok-esok di sana terkantol depan tuhan... amacam?

No comments: