Dari desa ke kota jauh sekolah
berbasikal merentas kebun dan sawah
dalam beg ada surat cinta
awek admire
Panjat pokok belimbing
pelam muda cicah kicap
jambu air cicah garam kasar
petang-petang main bola
senapang kayu peluru biji kopi
dalam saku ada batu
sarang burung
di ranting jambu batu
Keruh air di tali air
memancing berkubang
balik kuang seluar terlondeh
oh! kau pakai doktor aku mudim
mangsa cuti sekolah yang lalu
Aku kawin kau datang
kau kawin aku datang
jumpa cikgu lama
sembang panjang-panjang
parut di kepala seorang satu
masa sekolah dulu kena batu
Petang tadi balik ke kampung
tak ada lagi kawan aku berkubang
tak ada lagi kawan aku panjat belimbing
mencicip pelam muda masam
masin jambu cicah garam
berebut anak haruan
di mata pancing
basikal pun entah di mana
Mataku basah
di sisi pusaramu
yang merah.
-----
Al-Fatihah buat sahabatku almarhum Hairol Nizam bin Marhaban, 33, kembali ke rahmatullah pada 25 Disember 2009, jam 9 pagi. Kematian diakibatkan oleh jangkitan kuman pada otot peha yang kemudian menjangkiti organ-organ dan paru-paru. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment