Friday, October 31, 2008

Aku Hidup Dalam Heavy Metal

Encik ini sedang main autocad.

Kadang-kadang, hari minggu pun kena kerja. Kat rumah pulak tu... Salah satu sebabnya, minggu depan (Isnin pagi) ada meeting. Alahai...

Kalaulah aku ada monitor 30 inci cinema HD display. Betapa indah.

Walau apa pun tak kira heavy metal, tak kira slow rock mahu pun dangdut... layan! Haha

\m/

Thursday, October 30, 2008

Angin Bendang Sepat Belalang

Jalan Kg. Tali Air Satu Ban Satu, Sg. Burong, Tg. Karang.

Pada hari raya yang lepas aku balik kampung. Dengan sebuah kamera cap ayam dan kad 4 giga aku belasah snap sana-sini. Daripada berpuluh-puluh keping gambar yang ada, entah mengapa... aku suka yang ini.

Mengaplikasikan rule of thirds dengan jayanya! (hampir berjaya) Haha.

Wednesday, October 29, 2008

Nama Glamour

Dulu nama bos aku Yap Chong Choi (bukan nama sebenar).

Senior Engineer bernama Yap Kwok Way, anak bos namanya Yap Cwin Kwan, site supervisor namanya Yap Kwan Hwing (masing-masing bukan nama sebenar).

Sekali pandang macam bisnes keluarga Yap! Kerap kali penyambut tamu yang angkat telefon akan tanya semula, "Encik nak cakap dengan Mr. Yap yang mana satu?! sini ada baaaanyak Yap encik...". Haha.

Jadinya dia orang ni letak nama Inggeris aka Kristian kat depan, sebab nama keluarga aka surname ni boleh mengelirukan.

Nama Inggeris yang jadi pilihan seperti Allan, Albert, Howard, Johnny... digandingkan dengan surname.

Suatu hari bos aku tanya nama kristian aku. Bodoh. Orang Melayu aka Islam mana ada tambahan nama kristian (pengecualian untuk sesetengah artis dan budak sekolah menengah yang baru naik dan birah).

Kata bos, "Boleh saya panggil you John? Lu mau itu nama?".

"John apa bos? John Travolta? haha!".

...

Untuk blog ni, mana pulak aku dapat nama dugong???...


Bacaan tambahan : Nama mainstream.

Tuesday, October 28, 2008

Projek Buku dan Blook


Nampaknya tahun 2008 dah nak ke penghujung. Hanya dua buku yang aku mampu terlibat dalam tahun ini, 1) blook Dugong Senyum yang diterbitkan awal tahun dan 2) Romlah Untold, bersama Sindiket Soljah.

Romlah Untold akan dilancarkan pada 1 November 2008 nanti.

Blook Dugong Senyum pula ada lagi stok 2 - 3 naskah.

Blook Masuk Barisan (terbitan 2007), masih ada stok lagi, kalau kalian nak beli, butir-butirnya ada ada di blog rasmi www.masukbarisan.blogspot.com

Projek Tanah Seberang aku K.IV. kan dulu, belum ada stamina...

Jiwa Kacau (terbitan 2005), blook ni aku totally sold out.

Mungkin aku akan berhenti menulis di blog ini. Jadinya, kalau ada (kalau ada, aku bilang) yang rindu dendam dengan tulisan aku bolehlah baca blook-blook berkenaan atau ambil majalah Gangguan Teksual, sebab entri-entri silam aku ada dalam tu.

Oklah... jalan dulu.

Wednesday, October 22, 2008

Mereka : Tidak Seperti Dahulu

Aku, Juli dan Razak di rumah Juli.

Raya tahun ini aku berkesempatan ke rumah terbuka kawan lama masa sekolah dulu, Razak dan Izazuly aka Juli.

Beberapa minggu lepas aku sekeluarga dijemput oleh Razak ke rumah terbukanya. Katanya di Meru, habis aku pusing keliling... rupa-rupanya poskod Kapar!

Besarnya rumah Razak, besarnya Harier Razak... besarnya horse power air-cond rumah Razak! Tentu gaji Razak besar sekarang ni, dia kerja di syarikat telekomunikasi besar.

Minggu lepas pula aku sekeluarga memenuhi jemputan Juli, ramai juga kawan dia menjamu selera dan borak-borak bersama-sama.

Dua orang anak Juli montel-montel geram aku tengok. "Juli kau bagi anak kau susu badan ke?", soalan tu tak dijawab oleh Juli sebab sudah tentu bukan Juli yang bagi susu badan dia, tapi bini dia.

Lepas raya Juli akan ke United Kingdom, ada kerja testing kat sana. Tahun lepas, lepas raya pergi Taiwan. Tahun sebelum-sebelumnya Sidney, Jepun... dia kerja di anak syarikat automobil besar.

Mereka tidak seperti dahulu. Anak-anak yang berbasikal ke sekolah, yang dapat bantuan kerajaan untuk belajar, pinjaman buku teks misalnya. Mereka berbanding aku? Mereka sudah naik kapal angkasa, aku masih di celah semalu.

Juli anaknya dua, Razak anaknya dua, aku anak tiga orang, "Kalau macam tu aku menanglah! Yeay!!! HAHAHA".

Kamarul Arif, Aku, Hisham, Juli, Hairul dan Razak. Di majlis perasmian Kumpulan Tuisyen Hujung Minggu (KUNTUM), tajaan kerajaan, berbelas tahun nan silam.

Jangan siapa berani menafikan, kami hensem tidak seperti dahulu. Haha

Tuesday, October 21, 2008

Aku : Tidak Seperti Dahulu

Update : 24 Oktober 2008

Geng PJJSA, Ijazah UPM


Tingkatan 6 Atas 4, Sek. Men. Dato' Harun


Tingkatan 6 Rendah 4, Sek. Men. Dato' Harun
Aku duduk depan, dari kiri No. 5

Tingkatan 5 Sastera Hijau, Sek. Men. Seri Desa
Aku duduk depan, dari kanan No. 5


Tingkatan 4 Sastera Hijau, Sek. Men. Seri Desa
Aku berdiri baris kedua, dari kiri No. 5

Tingkatan 3 Dahlia, Sek. Men. Seri Desa
Aku berdiri baris belakang, dari kiri No. 5


Tahun 3, Sekolah Kebangsaan Seri Gambut
Aku ... , ... No. 5 :-)

Monday, October 20, 2008

Kopi

ubat luka dengan serbuk kopi??
mujarab ke..? tobat x penah dengar...
- paiseh

Demikian soalan seorang pembaca di ruang komen blog aku. Berkaitan entri nostalgia semalam.

Hasil google aku dapat satu artikel dari Kompas.com yang bertajuk "Obati Luka Dengan Kopi".

Selepas lebih 20 tahun peristiwa berdarah itu berlaku, baru malam ini aku dapat tahu kaedahnya kopi itu. Terima kasih kepada Paiseh yang menyoal.

Yang aku tahu arwah bapak tak sekolah tinggi, tapi pengalamannya superb!

Satu lagi soalan;

"Kalo kopinya pake kopi 3 in 1, kopi susu gula bisa ngak?"

Hahaha... you ni nakal auwww...

Sunday, October 19, 2008

Anak-anak Bendang

Dah besar tua bangka dah semua. Dari kiri; Basri, Berkat, Giyong & Zaki. Tiada dalam gambar Kak Biah yang beraya rumah mertua dia.

Seperti baru semalam main basikal lepas tu masuk parit, aku kayuh basikal tua, adik aku sorang duduk depan kat palang basikal, dua lagi kat belakang. Entah macam mana aku hilang kawalan terus meluru masuk parit. Kakak aku lagi teruk, bawak motor dengan aku aku sekali terhumban masuk sungai, kenyang aku minum air lumpur HAHA

Dulu kami kalau nak bergunting rambut, arwah bapak akan bawak ke kedai gunting Sahak. Pakcik Sahak ni kerja DID sebagai penebas rumput, part time dia kerja tebas rambut haha

Aku gemar dok perati pak cik Sahak asah pisau cukur, pegang ketamm, selimutkan orang, atau trim misai dia sendiri depan cermin.

Suatu hari aku main gunting-gunting rambut dengan adik aku, aku jadi Pak Cik Sahak, adik aku jadi pelanggan. Entah macam mana punya fantasi, habis aku toreh kepala adik aku dengan pisau cukur. Mak bapak cepat-cepat ubat luka dengan sebuk kopi, kakak pulak jadi batu api haha

Parut kat kepala adik tu masih ada sampai sekarang. Sampai sekarang jugaklah kalau kami berjumpa cerita pasal pisau cukur tu mesti keluar punya. Betapa nakal.

Saturday, October 18, 2008

Bersua Kali Pertama di Alam Damai Jasa

Kak Sri Diah dan Kak Tiny sedang bercakap-cakap.


Dapat jemputan rumah terbuka raya daripada Kak Tiny.

Kak Tiny salah seorang blogger, ada tulis komen kat blog aku, aku kadang-kadang singgah baca entri blog dia. Kami ni kawan saibe.

Kak Tiny jemput datang di ruangan komen blog aku, aku masuk blog dia dapatkan email. Dari email tu aku minta dia alamat sama peta.

Peta yang Kak Tiny bagi tu bukan main detail. Mesti dia gigih lukis peta itu. Rumah kat area Alam Damai Jasa, perghh... sure rumah area ni RM300k++ seketul ni!

Aku jumpa kak Sri Diah, kak Sri mula-mula tegur aku, lamanya tak jumpa.

Kak Tiny punya hidangan punyalah mantap! Mee Jawa sedap, manisan sedap, nasik himpit & rendang sedap, sirap sedap. Kenyang tersandar lemang kami semua haha

Aku tanya Kak Sri Diah, "Kak.. Kak Tiny ni satu tempat kerja dengan akak ke? lama kenal?...".

Kak Sri Diah jawab, "Taklah... ini baru first time jumpa!".


Tuah Danish tengah layan nasi himpit sama rendang. Tadi bad mood...


Betul ke mee Jawa? Kak Ungku cakap mee rebus. Entah! Walau apa pun terima kasih Kak Tiny sekeluarga.

Lepas makan, kami minta diri. Dalam perjalanan balik kami singgah rumah abang & kakak ipar kat Alam Damai Bakti layan popiah goreng panas-panas dengan milo, perghhhh... layan.

Wednesday, October 15, 2008

Seiras

Ramai orang cakap kami ni, "Ek eh... seiraslah...".

Orang cakap kalau anak perempuan seiras bapak, sejuk rumah tangga. Entah!

Monday, October 13, 2008

Awek Bunian

Kami sedang menonton TV, cerita Sumpah Orang Minyak (1958), lakonan hebat P. Ramlee.

Ada satu babak dimana Afida cantik jelita(lakonan Sri Dewi) sedang sembang-sembang dengan Si Bongkok yang dah hensem (lakonan P. Ramlee).

Dalam filem tersebut Afida adalah puteri bunian yang cantik jelita.

Tiba-tiba awek aku bersuara, "Abang tak nak ngorat awek bunian bang? Cantik...".

Aku pun jawab dengan spontan dan bersahaja,"Buat apa awek bunian, awek-awek di kalangan manusia sersepah-sepah... lazat-lazat pulak tu".

"Tak guna punya suami!...".

Saturday, October 11, 2008

Bertindik

Tengahari tadi selepas balik daripada rumah terbuka kawan awek aku, kami pergi ke kedai emas untuk menindik telinga Aqilah yang 5 tahun itu.

Sebelum raya itu hari kami belikan Aqilah dan Irdina sepasang subang setiap seorang. Orang kedai emas tu cakap kalau nak pakai subang tu tunggu selepas seminggu bertindik. Selepas bertindik mereka pasangkan sepasang subang sementara, cantik juga subang sementara tu. Melihat Irdina menangis semasa bertindik membuatkan Aqilah ketakutan dan sampai kesudah dipujuk-pujuk tak mau bertindik.

Sepanjang raya kami 'rasuah' Aqilah dengan baju-baju raya cantik dan pujuk dia supaya mahu bertindik, dan tengahari tadi kami berjaya. Kami tayang-tayang subang yang cantik itu depan dia, kalau tak nak bertindik subang tu bagi kat orang. Dua orang awek kedai emas itu menindik telinga Aqilah secara serentak. Aqilah menangis-nangis dan malalak meraung sampai kedai lain pun dengar.

Tuah Danish menangis-nangis sebab, "Adik pun nak tindik.. aaaaaaaa...". Kami ketawa dan pujuk Tuah sebab orang lelaki mana boleh tindik, nanti jadi macam gay.

Semasa Aqilah bertindik aku pergi kedai baiki TV kat sebelah, bukan nak beli TV tapi sebab tak sampai hati melihat anak kena tindik, takut wo!

Monday, October 06, 2008

SMS Raya

Aku ada dua henpon, satu peribadi satu lagi company bagi. Aku ini kan pekerja cemerlang... jangan kata henpon, kereta pun company bagi. Untuk raya hari tu bos hulur RM1000 lagi, perghhh...

Banyak juga aku menerima SMS raya daripada kawan-kawan, saudara-mara, kenalan, supplier etc.

SMS happy birthday adalah satu dua ketul...

Jadinya aku mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang sudi SMS aku. Misalnya, O.P., Attochman, Ilyas, Zaki Yahya, Mr. Yap Chin Fatt, Attokz, Jones, Daharie, Zhoulz, Radzi, Abdul Razak, Victor Pagadev, Lan, Yussak, Faisal & Suzita, Azzam Supardi, Wkdin, Ayob Kelubi, Kok Chuan, Ooi Poh San, Peter, Wing, Norhazliza, KC Kok, Mujid, Hairol, Kahlid ada Bean dan tak lupa "Cstmer en. basri yg beli blook dulu", Aimi.

Cumanya salah satu henpon aku tu pakai Celcom, apa pukimaknya aku tak tau, line tu takleh guna khidmat SMS masa raya hari tu.

Jadinya aku balas ucapan kalian tu (yang zahir atau secara batin) di sini, di entri blog aku ni ya.

Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin :-)

Ek eh... terkejutnya saya! apa bila mendapati dalam henpon saya ni SMS Raya tahun lepas pun ada tak delete lagi. Haha

Sunday, October 05, 2008

Lagi 8 Tahun Umur Aku 40 Masa Itu Mungkin Bertambah Gatal Balik

Hari ini 5 Oktober adalah hari ulangtahun kelahiran aku.

Potong kek hari lahir dengan kehadiran mak, adik-adik juga jiran aku. Lilin yang dibeli telah cair sebab kotak kek tadi diletakkan di belakang kereta dekat dengan cermin belakang. Kek buah tu pun mula nak mencair juga. Kek sedap dan habis licin. Terima kasih awek aku.

Awek aku juga belikan aku hadiah mainan jet boleh bertukar menjadi robot. Betapa gembira! Harga murah bukan jadi ukuran yang penting keikhlasan (lagi pun gaji awek aku berapa aja). Esok-esok kalau sayang dah kaya belikanlah abang Optimus Prime atau Gakken Mospeada Ride Armor bersaiz 12 inci atau ke atas ya?!.

Naik satu anak tangga lagi ke tangga tiga puluh dua. Aku berbangga dengan segala pencapaian aku, ada awek cun, ada anak-anak comel, ada rumah sendiri, ada kenderaan sendiri, kerja ja yang belum best lagi, aku impikan kerja kerajaan, tethop dan berpencen. Paling penting aku ada keluarga yang menyayangi dan disayangi.

Berkongsi tarikh lahir dengan aku ialah Tipah (Geng Jurnal). Seorang lagi senior di pejabat yang juga lahir 5 Oktober. OP dan Mulan menyambut ulangtahun perkahwinan mereka pada hari ini, tarikh yang sama.

Bulan Oktober juga adalah bulan kelahiran adik ipar aku, juga bulan kelahiran Khairy Jamaludin, manusia kebencian ramai itu.

P/s: Terima kasih Iwan atas ucapan, nanti kita raikan di 'tempat biasa'. Haha

Saturday, October 04, 2008

Babi Anak-beranak


Pagi tadi sewaktu aku sekeluarga dan ipar-duai sibuk berkemas sebab ada yang dah nak balik KL. Di dapur riuh-rendah kerana ada tetamu yang tak diundang. Pada pagi hari raya yang keempat ini ada babi anak-beranak terjengah di dapur sebelah reban ayam.

Mula-mula muncul ibu babi, tak lama datang lagi anak dia dua tiga ekor. Bapak mertua aku punyalah sakit hati, terus bapak capai senapang dan peluru. Tiga empat das tembakan dilepaskan. Ibu babi kena di kaki lalu lari lintang pukang. Seekor anak babi menggelupur di bawah rumpun pisang lalu tergelongsor masuk longkang dapur.

Habis longkang dapur tersumbat. Siapa nak pungut bangkai anak babi dalam longkang berlumpur busuk itu?

Abang-abang ipar dan adik ipar sepakat setuju vote aku pungut anak babi tersebut. Alahai!

Aku mintak cangkul dan tembilang daripada bapak, aku tolong cangkul lubang dan tanam bangkai anak babi berkenaan. Sengal juga bahu aku menjinjit anak babi tu, ada dalam 20-30 kilogram.

Ada seorang ustaz tu cakap,"Kita tak boleh ambil hasil dari jualan babi... tapi kalau cina tu nak bagi duit ambil jelah anggap tu duit beli peluru". Haha...