Monday, March 19, 2007

Lupa

Gerai itu bukanlah jauh sangat dari rumah aku. Kalau berjalan kaki 2-3 minit boleh sampai. Tiap-tiap minggu pun aku memang berjalan kaki saja kalau mau beli nasi lemak atau karipap atau bingka atau mee hoon goreng atau mee goreng, untuk sarapan.

Tapi pagi itu aku malas, jadi aku pandu kereta memang mengada-ngada. Aqilah empat tahun pula nak mengikut, memang dia pantang bila nampak aku bersiap-siap berpakaian, " Ayah!... ayah nak pergi mana?"

"Kedai."

"Nak ikuuuutttt..." Terkedek-kedek budak ketot empat tahun ni meluru ke arah aku seterusnya ke rak kasut mendapatkan dan menyarung selipar kegemarannya.

Nasi lemak daun pisang dua, karipap dua, apam dua, keria dua, "Empat ringgit" kata brother yang berniaga sekeluarga dengan van, agaknya dah bertahun berniaga tanpa lesen. Laris gila gerai dia ni, kalau datang pukul 8.30 kau dapati dia dah kemas dah meja gerai dia, licin!

Selepas beli makanan kami singgah di kedai runcit bersebelahan, aku nak beli kopi tiga dalam satu - Ali Cafe. Lepas tu kami balik.

Aqilah ni belumlah pandai sangat bercakap walau pun kadang-kadang keletahlah juga. Aku rasa kalau dia pandai bercakap, tentu lebih kurang begini cakapnya ;

"Ayah... bukankah tadi kita pergi kedai berkereta, mengapa bila balik kita berjalan kaki dan tinggalkan kereta?"

Ya Allah! kereta aku! Segera kami berpatah balik dan meluru ke arah kereta yang elok terletak di depan kedai runcit tadi.

Dari hujung mata sempat aku menyambar renungan dan senyuman sinis brother nasi lemak tadi, dalam hatinya mungkin berkata, "Mamat ni nak sedekahkan kereta dia ka? Dia boleh claim insuran, aku boleh jual ke scrap haha."

No comments: