Tuesday, May 30, 2006

Isteri Tropika Yang Kita Sayang

Aku menghirup kopi panas. Semasa hujan baru teduh pagi itu. Rambut masih sedikit basah mandi di kedinginan subuh tadi.

Di atas meja ada kuih-kuih dan mee hoon goreng. Pisang goreng yang awek aku goreng juga.

"Dia orang tak setuju kawin misyar." Aku.

"Misha Omar? Cantik tu.. takkan tak setuju." Awek.

HA HA HA Blur betul awek sorang ni. Dia mintak penjelasan, tapi aku tak ada mood nak jelaskan.

Aku cuma jawab, "Kawin misyar ni kiranya suami buat anak saja, lain-lain isteri tanggung."

"Dilawat pada musim panas sahaja."

"Ceh! sukalah lelaki." Awek.

Nota 1 - Di Malaya kawin jenis ini tak sesuai kata menteri, di sini kita kawin (mengawan) tanpa musim.

Nota 2 - No wonder Malaya tak hantar wakil ke Piala Dunia, nanti kalau kalah maruah pasukan akan terjejas dan boleh mencederakan telur-telur mereka.

Nota 3 - Satu-satunya Persatuan yang sering mewakili Malaya ke pentas dunia ialah Persatuan Bulan Sabit Merah, Syabbbasss

Teh Ais.

Teh Secangkir. Secangkir teh.

Kalau aku demam atau jatuh sakit. Bapaklah biasanya akan tanya, "Ri, kau nak makan apa?."

Dengan menggigil, dalam selimut yang tebal, aku jawab, "Ketam."

Maka bergegaslah bapak membeli ketam. Emak masak lemak.

Ketam masak lemak itulah kegemaran aku dari budak-budak sampai jadi bapak budak.

Bila emak ajak makan. Aku gagahkan bersila. Selimut masih lekat di badan dan diselubung ke kepala.

Kuah ketam aku curah ke nasi. Satu suap. Aku tolak pinggan. Tawar. Tak ada selera. Aku pun ke tempat pembaringan dan menarik selimut. Mak, bapak sama adik-adik sambung makan. Itu pun mak tinggalkan semangkuk bawah sangai. Kalau-kalau aku nak makan kemudian nanti.

Ada seorang tauke bapak bernama Ah Chu. Pernah sekali mak sama bapak pergi jumpa tauke Ah Cu di jetinya di bagan Parit 6, Sekinchan. Bila bapak nak beli ketam untuk anak demam, terus Ah Chu bagi sebuntil. Percuma. Sampai sekarang aku tak lupa budi tauke itu. Tapi dah lama tak jumpa.

***

Bapak pulak jatuh sakit.

"Pak... nak apa pak?."

"Teh ais." Sambil bersandar pada kepala katil wad hospital.

"Tapi bapak sakit mana boleh minum ais."

Gerai-gerai depan hospital tu banyak. Aku belikan bapak horlick.

Bapak hirup... "Panas air ni Ri."

"Ala... pak biarlah sejuk dulu." Kata aku.

"Kan bapak cakap tadi nak teh ais." Bapak letakkan bungkusan air ke dalam cawan.

Aku tak berlama sebab esok kena balik kota, kerja.

Tidaklah aku menyangka. Teh ais itulah permintaan bapak untuk terakhir kalinya.

Bapak hanya dapat bertahan hingga dua Selasa berikutnya.

Janda lagi mak aku.

Thursday, May 25, 2006

Don't dream and drive

SMS.

019-DUG "Doktor2 sini cantik jelita.

016-OPX " Kau kt mana? Dr gigi.

019-DUG "Malam tadi doktor gigi. Pagi ni doktor kaki. Tertiarap di selekoh tadi."

016-OPX "Ler bestla kau dr pegang2 kaki.

Satu suntikan di pangkal lengan kiri yang ubatnya menyelinap satu badan. Sengal.

Pegawai perubatan itu celup kapas dalam ubat kuning. Kemudian sental pada tapak tangan aku yang dah disagat jalan.

SSSHHHHHHIIIIIIIIIIII....

Aaa.. pedih.Pedih. PEDIH.

Lutut yang calar. Kaki yang terkelupas kulitnya. Pedih...

Bapak aku pernah cakap, kita ni orang bertuhan sentiasa bernasib baik.

Macam aku tadi nasib baik jatuh sorang-sorang, kalaulah tengah bawak Lin atau Aqilah mesti dia orang pun luka juga.

Beberapa detik tadi aku di atas motor. Sekelip mata motor dah ada di atas aku. Yang tertiarap.

Nasib baik masa aku jatuh kat belakang tak ada lori atau kereta.

Terima kasih kepada insan-insan yang sudi menolong aku tadi.

Terima kasih tuhan sebab bagi lagi seinci nafas untuk senyum.

Nasib baik jari tak patah, boleh lagi menulis ini.

Tuesday, May 23, 2006

Main hamjadah ini


Aku nak selesaikan ini. Keluarkan HATI itu tanpa kekerasan, tanpa memotong dawai. Lepas keluar, masukkan semula tanpa kekerasan, tanpa memotong dawai.

Monday, May 22, 2006

Minggu

Minggu yang tak berapa sedap hati.

Walaupun pergi KLCC semalam, tapi...

Sebabnya mak cik meninggal.

Adik pulak masuk wad malam tadi. Suspek denggi.

Minggu depan cuti sekolah, awek aku cuti. Harap-harap minggu depan aku dapat berehat sama.

Thursday, May 18, 2006

Namnam '93

Mengayuh basikal di lorong kebun koko. Jalan pintas bertanah merah. Gedabu di belakang. Sampai di simpang itu Gedabu ajak berhenti. Dua-dua basikal satu besar satu kecil diletakkan di tepi jalan.Menyusup kami ke balik semak lalang. Terbongkok-bongkok. Pokok namnam itu rendah dan rendang. Di perdunya buah bersusun-susun.

Gedabu, "Bismillah..." dipetiknya satu. Dua. Tiga. Empat...

Di dada kami ada lencana sekolah. Baju kami putih. Seluar kami hijau. Rambut kami hitam. Kami menghafal Isabella dan Wind Of Change.

Sebelah tangan memegang handle, sebelah pegang buah. Mengayuh basikal balik ke rumah dengan mulut mengunyah buah. Namnam. Masam-masam manis.

Redup petang itu atas jalan ada bayang-bayang daun-daun koko.

Aku, "Kebun bapak kau tu Gedabu?."

Gedabu, "Bukan... ntah siapa punya, aku ambik je."

PTUIHHH!!!

Pasal kau baca bismillah.

Tuesday, May 16, 2006

Hari Guru

Masa aku jadi Guru Ganti dulu. Pada hari guru aku dapat banyak hadiah sabun mandi. Mentang-mentanglah aku bujang, dalam maknanya sabun tu.

Aku bawakan kalian siaran ulangan pasal hari guru. Sila-sila http://dugongsenyum.blogdrive.com/archive/98.html

P.s. : Besarnya kuasa Allah Yang Maha Agung, putus cinta aku dengan guru dijodohnya aku dengan ustazah. Juli? dia kawin dengan jururawat.

Monday, May 15, 2006

Gigi

Gigi aku digerudi. Tengok mata gerudi tu pun dah kecut kote.

Sebelum tu, sebakul aku punya carutan dan makian dalam hati. Sebabnya pembantu-pembantu klinik tu dah hilangkan kad aku. Jenuh aku menunggu. Pada hari ini telah habislah sudah semua gadis jelita, yang tinggal si hodoh menjaga kaunter. Dah lah awek tak cun, kad aku hilang, kena menunggu dekat sejam! Hampeh punya klinik. Dasar Melayu berniaga!

Dua batang gigi kapak ni dah mati. Dah lama mati kata doktor. Aku kira akibat jatuh basikal 16 tahun nan silam. Baik punya wheelly... last last meniruk mencium jalan. Yang aku ingat muka aku tersagat dan berparut berbulan-bulan. Bahu pulak berparut sampai sekarang. Pasal gigi ni aku tak pasti, tapi kebelakangan ni aku perasan ada retakan.

Tak sakit, tapi ada jangkitan dan liquid produk (nanah) kata doktor. Digerudi buat lubang. Masukkan besi sebesar jarum korek-korek bersihkan saraf-saraf dalam gigi. Kemudian dua-dua batang gigi yang dah berlubang ini ditusukkan jarum. Kemudian di-xray. Dalam filem tu aku nampak jelas jarum-jarum tu tertusuk sedalam 2cm lebih!

Masalahnya aku bawak duit separuh je, jadinya doktor pun buat kerja separuh. Sumbat lubang dengan kapas dan buat tampalan sementara. Tampalan tu rasa cengkih. Doktor suruh datang lagi 5 hari. Dengan duit baki tentunya!

Secara teknikalnya gigi kapak aku ni dah tak ada saraf, dah mati. Macam gigi palsu gamaknya. Doktor tu kaya duit aku RM250, sudahnya aku tak merokok dan tak makanlah bulan ni.

Kem Lambaian Danau

Pergi ke Kem Lambaian Danau, Chinchin, Melaka.

Pergi dengan Attokz, Tok Tin, isteri dan anaknya. Menumpang van Tok Tin yang dipandu oleh Attokz.

Solat Jumaat di masjid itu, ah! memang nostalgia.

Dari rumah memang hati berbelah bagi sebab projek ke KLD tak jadi. Tapi bila sampai di KLD rasa best tu semacam. Jumpa Kak G, jumpa Pak Let, jumpa Fendi dan fasi-fasi yang lain. Mengimbau kenangan 1 tahun yang lalu di sini.

Walau pun projek tak jadi, inisiatif face2face dengan tuan punya tanah itu amat penting.

Aku macam biasa, nampak air tenang tasik yang tak ada buaya. Sanggup pinjam seluar dan baju basahan. Berdugong-duging.Anak Tok Tin takut air, boya yang dah dipakai pun nak ditanggalkan sebab tak nak terjun. Namun bila tengok dugong meniruk budak ini terjun sama. Lama-lama dia pun berani melompat dari pelantar. Sampai mak dia berkali-kali suruh anak dia naik. Suami dia? Berendam sama aku jugak. Lama. Kami berbasahan, berendam sampai sejuk. Sampai petang.

Masa nak pulang Kak G ajak makan dulu.

Bersembang dengan Kak G dengan Pak Let. Sembang-sembang sampai malam. Banyak perkara kami bualkan. Banyak input aku dapat, terutama tips-tips berniaga. Aku rasa seronok, rasa macam balik kampung menziarah saudara pun ada.

Terima kasih fasi-fasi, terima kasih Pak Let, terima kasih Kak G untuk buah tangan dan melayan kami. Buat susah-susah saja.

Terima kasih Attokz dan bossnya itu, tanpa van korang tak merasalah aku menjejak kaki ke kem ini lagi.

Yang aku pasti, ini bukan yang terakhir kali. InsyaAllah.

P/s : Gengjurnal, Kak G pump duit tambahan untuk tampung hosting. Selamat hosting kita.

Thursday, May 11, 2006

Drama Kerajaan

Biasa kita tonton drama swasta. Mulai sekarang biasakan diri anda menonton drama kerajaan.

STOP! Ini tiada kaitan dengan senjata api. Cuma orang parlimen bertikam lidah menghunus jari.

Wednesday, May 10, 2006

Sampai mamak tu kata "Megi habis suda..."

Petang semalam aku lepak kedai mamak selepas melawat tapak binaan di K-Avenue berhadapan KLCC.

Lepak di Restoran Fathima, Bangsar. Lepak dengan Naga, OP & Mulan, Jigo dan Bukunota. Sambil lepak kami berbincang pasal projek Bible kami. Penganut-penganut fahaman blogger aka jurnal akan merujuk surah-surah dalam bible ini nanti. Perbincangan sangat hangat, rugi Tok Rimau tak datang.

Borak punya borak... sedar sedar dah malam.

Pada masa yang sama Naga berpesan, "kau tulis blog pendek-pendek je jangan panjang-panjang."

Hari ini aku tulis ini sahaja. Pendek.

Dah.

Puisi sebaris malam tadi : Pinggan sama kuning, megi lain-lain.

Monday, May 08, 2006

Tapi aku bukan sapi.

3 haribulan enam 1996;

Melapor diri kerja jadi kerani.

Kerja. Kerja. KERJA. Kerja sampai jadi pegawai, sampai jadi sapi.

6 haribulan lima 2006;

Company sudah kaw-tim, bahana ramai client tak bayar hutang, company bergolok bergadai. Akhirnya kena resign juga.

Ketika engkau membaca baris ini, aku sudah tiada di sini. Aku sudah berada di company baru.

Tapi.

Company baru, bos lama, kawan lama, komputer lama, ... lama ...

Company cuma tukar nama. Yang lain semua sama, semua yang lama.

Alahai.

Saturday, May 06, 2006

commenting and trackback have been added to this blog.

Friday, May 05, 2006

Mengapa Dugong ?

Sebab lelaki, kalau perempuan kita panggil duyong.