Wednesday, June 07, 2006

Suara panggilan di subuh hari.

[Tiga]

Selepas memandu 3 jam maka sampailah di kampung halaman.

Nur Hannan, adik ipar lalu datang menerkam, memeluk, mencium. Bukan... bukan... bukan terkam aku, tak pasal-pasal lebam bijik mata, tapi dia terkam anak aku yang masih baby boy 6 bulan.

Mak mertua aku masak sedap. Masak lemak pucuk betik dengan ayam goreng. Ringkas tapi mantap wa cakap lu.Makan sedap menjadikan tidur lena. Lebih-lebih lagi di kampung rumahnya material daripada papan dan kayu. Peredaran udara malam dalam rumah memang selesa. Di kota rumah batu, malam memerangkap haba menjadikan panas kepam.

Masa itu hujan lebat sudah nak teduh.

[Dua]

Tiba-tiba mak mertua panggil dari dapur di tingkat bawah. "Labu! Labu! ada orang telefon!."

Aku berpisat-pisat bangun dan menuju ke tangga di mana telefon bimbit aku sedang melalak dengan nyaring. Mata aku yang susah nak buka nampak jam di dinding menunjuk angka 4 hampir ke 5.

"Siapalah call pagi-pagi buta ni... hello... hello.. HELLLLOOOOO!!!"

Senyap tak ada suara di hujung talian. Kacau. Sambung tidur.

[Satu]

Sarapan pagi. Nasi goreng panas dalam pinggan, ada asap putih halus naik ke udara.

Bapak mertua selepas menghirup air panas. Aku mengunyah sarapan lagi.

Bapak bersuara, "Labu, kalau henpon letak suara azan boleh tak? sampai masa saja dia azan."

Aku jawab, "Boleh pak, tapi tengoklah henpon jenis apa, henpon mahal sikit boleh merakam."

Aku menyambung, "Tapi kena letak dua jenis azanlah, azan subuh kan lain sikit."

Bapak tersengih memandang aku. Senyuman seorang imam yang amat bermakna dan manis, walaupun dah veteran.

Bapak pun bertanya, "Yang pagi tadi henpon bunyi-bunyi siapa telefon?"

"Itu bunyi alarm pak, bukan orang telefon."

Semalam aku dah set alarm henpon, lepas tu tertinggal kat tangga, bila dah bunyi alarm siap aku angkat pulak siapa call, bukan ingat nak mandi pergi bentang sejadah.

Orang tidur mati macam aku tak ada sebarang bunyi dapat mengejutkan. Taruklah alarm, taruklah kokok ayam, taruklah azan, hatta mariam tomong sekali pun.

Nanti sembahyang Zohor kita berjemaah di surau pak ye pak...

No comments: