Friday, March 27, 2009

Bukan Main Ayam

Aku ada hal kerja di Kuantan. Waktu makan tengahari aku ajak kawan aku makan di Ayamas. Kebetulan pulak restoran tu dekat dengan KFC. Dan signboard KFC tu sangatlah besar boleh nampak dari jauh.

"Aku tunggu kat depan KFC ya."

"KFC yang mana?", tanya kawan aku tu.

Aku jawab, "Yang dalam Parkson, East Coast Mall tau!"

Aku tunggu depan KFC sampai lapar gila menggeletar nak mampus.

"Kat mana?", aku tanya guna henpon.

"Depan KFClah.. kau mana? aku lapar menggeletar dah ni tunggu kau!!!"

Dipendekkan cerita aku belanja kawan-kawan makan ayam, ada yang pesan set kepak ada yang pesan set dada. Aku makan ayam seekor.

Dah licin dah makan ayam, siap jilat-jilat jari, kawan aku cakap "Ayam kat sini tak sedap, sedap lagi Kenny Rogers punya."

Masa tu aku rasa nak gigit orang.

Jadinya buat masa ni aku dah belajar Kuantan tu ada dua Parkson.

Thursday, March 19, 2009

Gigi Susu Aqilah

Bila habis cuti sekolah nanti, Aqilah akan melangkah masuk kelas dengan senyuman baru.

Anak aku, Aqilah enam tahun. Gigi bawahnya 'bertunas' dua batang. Gigi susu dah goyang. Dirahsiakannya.

Sekali pandang macam mulut predator sebab ada lebih gigi dua batang tu. Jadinya aku bawa ke klinik gigi untuk cabut gigi yang dah goyang tu.

Memandangkan ada dua gigi yang baru bertunas betul-betul di belakang gigi susu, maka dua batang gigi susu perlu dicabut. Doktor bagi krim dan dengan sedikit muslihat doktor berjaya suntik bius ke gusi Aqilah.

Masalahnya bila dah kebas budak ni tak nak bukak mulut. Jelas di wajahnya ada ketakutan. Doktor pujuk tak jadi, aku pujuk pun tak jadi. Masa terus berjalan. Nanti lama-lama bius hilang kena caj jugak.

Aku panggil awek masuk ke dalam. Awek aku cakap kalau dia pujuk lagilah tak jadi. Doktor pulak tanya macam mana encik?

Aku cakap,"Pembantu doktor pegang kepala, awek saya pegang tangan, saya pulak pegang kaki."

Wednesday, March 18, 2009

Aku Mesti Berhenti Minum Arak

Namanya Zolpidem Tartrate. Ia bukan nama kumpulan rock atau nasyid. Juga bukan dari jenis kuih tart.

Ia adalah salah satu ubat penenang yang pakar psikiatri aku suruh makan bila perlu.

Mungkin kerana kerja-kerja aku yang dah 'tak cukup tangan' nak aku selesaikan. Dalam masa terdekat ni pulak dua orang jurutera berhenti kerana masalah tekanan. Baru beberapa bulan kerja dah kena tekanan apa aku pun tak tahu.

Kerja berbelas-belas tahun pun susah nak ganti henpon baru. Bengkak hati tengok Bangla pakai Nokia N95.

Sekejap nak kena pergi Bahau, Negeri Sembilan. Sekejap nak kena pergi Kuala Pahang, penuh kereta dengan alatan kerja. Sekejap nak kena pergi Pulau Tioman sebab sub-kontraktor 'lari', pun katanya kena tekanan. Tekanan apa aku tak tahu.

Aku bukan tuhan tangan lapan, sudahnya jatuh sakit hampir seminggu. Bos telefon tak nak angkat, dapat SMS merayu-rayu, haha

Selagi henpon tak habis bateri, tak henti-henti call masuk pasal kerja. Awek aku pulak sibuk mengira pil kalau-kalau aku mencuba overdose.

Awek aku cuti sekolah tak dapat kemana-mana sebabnya dia demam, dah tu pulak dua orang baby pun demam. Satu keluarga jatuh sakit!

Bila dah sihat dah masuk pejabat. Aku 'bancuh' bos aku yang dua ekor tu, sebabnya aku tak puas hati pasal pembahagian kerja dan pasal gaji. Bertekak punya bertekak, akhirnya masa berpihak kepada aku. Hanya masa yang menentukan.

Apa yang pasti aku dapat projek baru dan gaji baru, yeay!

Saturday, March 07, 2009

Cuti

Aku rasa aku patut mengambil cuti barang seminggu-dua.



P/s: Rudy, aku jumpa gulai Patin Buah di R&R Temerloh, sepotong harga dia RM12. Sepotong tu lebih kurang setebal dua jari.

Wednesday, March 04, 2009

Nak Janda

Di hujung talian telefon bimbit yang suara sekejap terputus-putus... sekejap terputus-putus.

"Aku... kalau boleh nak janda.", katanya.

Macam bapak ayam pulak aku ni.

Friday, February 27, 2009

Super Dangdut Jalan Wong Ah Jang

Kelazatan gulai tempoyak ikan patin Kuala Pahang. Memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Lazat menyengat. Masih teringat-ingat dia punya lazat.

Kelazatan gulai tempoyak ikan patin Kuala Pahang. Memang tidak dapat dikatakan dengan gambar-gambar. Lazat menyengat. Masih teringat-ingat dia punya pedas menyengat. Pedas dia pijar ke lidah, pijar ke bibir.

"Makan pedas pandai mengaji", kata S, kawan aku yang gemuk tu.

Wednesday, February 25, 2009

Fantasi Orang Yang Beriman

Titik.

MC

Cuaca tak menentu sekarang ni. Pagi-pagi elok cerah, tiba-tiba hujan. Panas tengahari, sebelum petang hujan lebat mendadak. Di jalan raya kereta pun kemalangan mendadak.

Dalam pejabat ni sunyi sebab ada dua tiga orang dah ambil MC. Demam.

Semalam aku dapat SMS dari kakak bahagian akaun;

"Tommorow mc"

Baca SMS dia ada rasa ganjil sikit, baca balik dua tiga kali barulah perasan keganjilannya.

Satu lagi SMS dari budak engineer ;

"N*** sayang. demam s*** tak baik2 lg. bulan ni dah byk kali dah cuti.. Mase adik meninggal aritu.. Campur demam ni. risau plak ape bos kate nanti. tp Demam s*** kuat sangat2. Shah nk bgn pun tak larat.. N*** doakan s*** cepat sembuh yer.

Itulah penangan orang demam, ada yang eja salah dan ada yang hantar ke orang yang salah! Kantoi haha

Walau apa pun, aku harap dia orang cepat-cepatlah sembuh dan masuk kerja semula. Tak sabar nak tunjukkan balik SMS dia orang ni. Apalah gunanya lawak kalau tak boleh berkongsi gelak.

Monday, February 23, 2009

Emosi

Tak sedar air mata berguguran satu-persatu membasahi pipi.

Bukan. Bukan sebab kematian.

Berair mata sebab sedih pun ya, sebab kelakar pun ya. Penangan hari minggu menonton filem Tamil.

Wednesday, February 18, 2009

Nama Tempat

Pagi tadi aku nyaris bertumbuk dengan orang.

Dalam suasana cemas, awek aku mencelah, "Kenapa ni bang?".

Aku jawab takde apa-apa... salah faham sikit jer.

Takkanlah pasal lampu tinggi pun nak bertumbuk bagai, ye tak?.

"Kat kampung ni orang-orang dia memang terkenal samseng bang", kata awek aku.

Ceh! poodah... setahu aku tempat ni lebih banyak kes denggi daripada kes pukul orang. Tidur tak nak pakai kelambu, tak nak pakai baju... kalau badan tu hardcore takpe aaa jugak.

Wednesday, February 04, 2009

Bibik

Kakak ipar aku ambil orang gaji. Bibik tersebut diberi tanggungjawab menyelesaikan kerja-kerja rumah daripada menjaga anak, siram pokok bunga, memasak dan mungkin perlu memastikan remote TV tidak hilang.

Asal ada barang pecah, "Potong gaji."

Suatu petang kakak ipar aku dan suaminya balik dari kerja. Elok semua nasi dan lauk-pauk terhidang sedap. Tetapi mengapa anak-anak terbiar di luar?

Sepucuk surat nota di bawah pinggan menjelaskan segala-galanya. Bibik lari membawa bersamanya beberapa barang kemas (dan hatinya yang telah luka ah...).

Abang ipar aku pula, bibiknya yang ke 29 (kalau aku tak salah kira) telah melarikan diri pada waktu pejabat. Tak serik-serik berbibik, dalam masa 13 tahun ni bermacam jenis dah dicubanya dari yang muda, yang tua, yang Islam dan yang kapir, semua lari.

Awek aku pernah juga minta aku sediakan bibik. Kan aku dah kena libas hangar hari tu sebab nak bibik ratu jamu, jadinya aku cari alasan lain.

"Anak-anak kita nakal dan buas... jangan kan bibik lari, ayah budak pun lari."

"Anak nakal ikut perangai siapa? ya tak?".

Ini lebih pedas daripada libas!

Aku & Handphone


Handphone aku yang pertama ialah Motorola C160.

Aku baru bekerja masa tu, jadi kerani. Bila balik kampung jumpa kawan-kawan, dia orang punyalah kagum tengok aku dah ada handphone. Kawan-kawan aku masa tu masih belajar di universiti. Masa tu pulak budak U mana tau main handphone macam sekarang. Prepaid pun belum wujud! (di Malaysia tentunya). Mana adanya donlod-donlod ringtone. SMS pun belum ada masa tu.

Berlagak macam orang kaya aku masa tu. C160 ni kalau bateri kong, aku boleh masukkan empat biji bateri AAA. Bolehlah tahan 2-3 jam untuk kecemasan (kes balik kampung charger tertinggal).

Lepas tu handphone ni rosak. Aku beli lain tapi yang second hand. Banyak model secondhand yang aku guna, tapi dah lupa model apa. Yang aku ingat ada jenama Philips Twist, Bosch, Motorola T190, AMOI, Nokia 110i, Nokia 3315. Dari yang saiz tiga jari hingga yang saiz 'baling anjing boleh mati'.

"Zaman dah berubah...", kata iklan di TV. Kawan-kawan aku masing-masing dah mantap sekarang ni. Dua puluh tahun ke hadapan mereka meninggalkan aku. Ada yang dah berpengalaman bekerja di empat buah negara, aku ni Sarawak pun belum pernah pijak. Passport antarabangsa pun takde, malu kepada Bangla.

Sekarang budak-budak sekolah rendah pun dah reti simpan 3GP blowjob. Budak U jangan cakaplah...

Dalam banyak-banyak handphone yang paling berkesan ialah Nokia 3310. Bagi aku ia istimewa tapi tak tau kenapa. Handphone ini awek aku hilangkan.

Sekarang aku bawa dua handphone, satu Nokia 6020 yang company bagi dan satu lagi Nokia 3220 untuk peribadi. Dua-dua ni akan aku set untuk alarm bangun pagi.

Tuesday, February 03, 2009

Bersenam

Sekali aku buat tapai ubi, penuh tiga tupperware. Hahaha

Dah hampir enam tahun aku tinggal di *toot* Subang ni. Tengahari semalam aku sekeluarga jalan-jalan cari jajan di TESCO Shah Alam (yang dekat Pusat Akuatik tu). Belanja awek makan ikan bakar dan biarkan anak-anak melasak di taman permainan bersebelahan. Taman permainan diletak dalam pasaraya jadi taklah panas.

Aku melilau nak cari seluar trek sebab aku nak pergi jogging. Ya, aku nak pergi jogging. Susah jugak nak dapatkan yang saiz bapak kanak-kanak. Saiz kanak-kanak berlambak.

Rasa macam magik pun ada bila tiba-tiba dalam rak kasut aku ada sepasang kasut sukan! Selama ni ke mana kau menghilang wahai kasut?

Dah hampir enam tahun aku tinggal di *toot* Subang ni. Semalam kali pertama aku jogging mendaki dan menuruni Bukit Subang. Nak naik kemudian turun kemudian patah balik ke rumah aku kena redah dua tiga taman juga. Tiba-tiba rasa hensem bila orang pandang-pandang.

Sini ada banyak Subang, ada Subang Suria, Mutiara Subang, Subang Galaksi, Puteri Subang, di sebalik bukit ada Subang 2, Subang Bestari, depan jauh lagi ada Airport Subang. Selamat datang ke wilayah denggi.

Ada satu budak ni mungkin nak test, lari semacam je. Heh! tengok gaya dia hayun tangan pun dah tahu boleh lari ke tak boleh lari budak ni. Aku bagi dia jauh sikit, lepas tu aku pecut potong dia. Pancit budak tu haha. Kalau lima belas tahun nan silam, setakat 10km tu aku tak rasa apa.

Mendaki dan menuruni bukit tersebut dalam masa dua puluh minit, lain kali aku perlu pecut.

Tiga-tiga tupperware tu tapai ubi aku tak jadi. Semuanya masam!

Sunday, February 01, 2009

Kerana Tapai

Tahun itu tahun 1995. Gila apanya aku belajar komputer sampai ke Kapar. Kelas akan bermula pada pukul 8.30 pagi.

Jadinya aku akan keluar dari rumah pukul 6.00 pagi. Merentasi kawasan sawah yang saujana mata memandang. Dan dapat mata yang pedih-pedih dimasuki serangga sawah.

Letakkan motor di bawah pokok besar depan restoran (sekarang restoran tu dah takde). Ambil bas 7.00 pagi di Tanjung Karang menghala ke Kuala Selangor. Dari stesen bas Kuala Selangor (sekarang stesen tu dah takde, pindah tempat lain) naik bas Klang. Pastikan bas Klang yang melalui Kapar, kalau salah naik alamatnya tak sampai Kapar!

Selalunya jam 8.00 sampai kelas komputer di Kapar, bolehlah sarapan roti canai dua keping yang garing di restoran berhampiran kelas komputer tu (sekarang ada lagi ka restoran India tu?).

Suatu pagi yang malang aku naik bas yang bersesak-sesak dengan perempuan India yang ikat banyak bunga di rambut (dia orang nak pergi sesuatu acara ke?). Ada bau yang teramat tengik yang aku tak tahan mungkin bau minyak rambut.

Masa tu pening sikit kalau belajar komputer sebab guna DOS (sekarang ni bank harimau je yang masih pakai DOS, agaknya), takdenya klik-klik ikon guna mouse macam sekarang. Nak hafal step by step tu yang leceh tu.

Aku muntah sambil diperhatikan oleh seorang awek cantik yang duduk di sebelah aku. Semuanya tapai pulut hitam yang aku makan semasa menonton TV malam sebelumnya.

Lepas tu aku bertekad nak makan tapai ubi sahajalah.

Tuesday, January 27, 2009

Tapai

Salah satu makanan kegemaran aku ialah tapai ubi.

Tadi aku belajar buat tapai ubi. Sehari dua nanti barulah boleh dimakan tapai ubi tu.

Lepas tu nanti aku nak goreng tapai ubi tu. Lamanya tak makan tapai ubi goreng. Zaman dulu arwah bapak ada, dia suka makan.

Dalam keluarga aku mungkin aku seorang saja yang suka jajan ini, agaknya.

Wednesday, January 21, 2009

Kipas Keras Mati

Kalau Tok Rimau atau bang Naga, tak pun ND buat persembahan pentas yang best nak mampus. Harus peminat baling kutang (lalu tersangkut di telinga) Ya! bayangkan...

Mereka lelaki, manakala (kebanyakan) peminat mereka perempuan. Perempuan baling kutang.

Macam mana pulak kalau perempuan yang buat show best gila babi nak mampus (macam Joan Jett masa muda misalnya). Nak baling apa ya?...


Perhatian: new update ;- Tragedi Tali Kutang

Video - http://www.youtube.com/watch?v=XzOuIEDcPVQ

Lirik - http://ungguls.multiply.com/journal/item/85/Tragedi_Tali_Kutang_Be-Ha_Bra

Saturday, January 17, 2009

Cerita Hujung Minggu

Kalau mood aku baik. Hari minggu. Aku buat sarapan. Kadang-kadang mi goreng mamak. Kadang-kadang kuew tiaw goreng. Makaroni goreng pun boleh. Ada yang ketagih murtabak megi.

Kalau anak-anak aku yang tiga orang tu boleh makan masakan aku, kira oklah.

Satu lagi aktiviti hujung minggu ialah berlingkar depan TV. Kadang-kadang berebut remote dengan anak. Dia nak kartun aku nak cerita lain. Tapi tak tahan tengok dia menangis melalak meraung, aku mengalah.

"Apa yang penting... kerjasama!", kata Wonder Pet.

Bila dah jemu aku akan dapat balik remote tu. Aku tak memilih sangat program TV sama ada movie, cerita Cina, Inggeris, Tamil atau Hindi.

Tapi apasal ya? Setiap kali movie Tamil, heroin bukan main seksi cantik jelita, tapi heronya kalau tak misai ular sawa, boroi. Tentang misai tu boleh accept lagi, tapi boroi tu... ah terlalu seksilah.

Friday, January 16, 2009

Dada dan Telur

Kami berempat makan tengahari di sebuah gerai. Lewat kami makan hari ini. Kami baru balik dari Pekan, Pahang.

Pagi tadi bertolak dari rumah pukul 6 pagi, sampai Pekan pukul 9.30 pagi. Mesyuarat tak sampai sejam. Pergi melawat tapak lepas tu terus balik KL semula. Enam jam memandu menyebabkan badan terasa lunyai.

Datang cik adik manis tanya, "Nak makan apa?".

Kawan-kawan aku pesan nasi ayam. Masing-masing nak dada.

Aku pula pesan char kuay teow. Aku nak kerang dengan telur mata.

Selepas ambil pesanan makanan dan minuman cik adik tadi berlalu pergi.

Tak lama kemudian kawan aku bagi isyarat dan aku toleh ke tepi.

Cik adik tadi tanya lagi, "Abang nak dada ke.. telur?"

Nak aje aku jawab, abang nak dada sebab abang dah ada telur.

Kawan aku cakap, cik adik tu tanya sama ada kau nak telur mata atau telur dadar. Oh sorilah abang salah dengar!

Kawan-kawan aku lahap nasi ayam lauk dada dan teh o ais. Aku belasah char kuey teow kerang telur mata.

P/s: Malam tu aku cirit berulang-alik ke tandas sampai 3 pagi tak settle. Pagi-pagi bangun sambung lagi cirit. Aku syak gerai tu masak tauge rosak.

Thursday, January 15, 2009

Belajar IT Daripada Pencuri

Kawan aku ni pengajar subjek IT. Kau tanya saja dia pasal IT, komputer, perisian, networking, backup data ... Dah bidang kepakaran dia. Tarik kabel Cat 5e pun dia boleh buat.

Malam tadi kami sembang kedai mamak. Aku belanja dia, dia nak makan megi saja. Aku pula pesan nasi goreng kambing.

Sembang punya sembang, dia imbas kembali pasal kereta dia yang kena pecah cermin belakang. Kerana orang nak curi laptop, cermin kereta telah dipecah. Dalam laptop ada tesis.

Kawan aku ni backup tesis dia dalam portable harddisk. Satu lagi backup dia salin dalam thumbdrive.

Laptop, portable harddisk dan thumdrive dia simpan sekali dalam beg pakaian. Kerana pencuri boleh hidu dalam beg pakai ada laptop, beg pakaian telah mereka curi.

Laptop, harddisk, thumdrive boleh beli baru, tapi tesis yang telah dirangka hampir setahun. Kehilangan tesis tiada pengganti.

Pencuri tersebut telah memberikan kita semua suatu pengajaran...

Cerdik pandai jadi pakar IT pencuri tu kalau dia sempat baca tesis kawan aku yang ada dalam laptop, harddisk dan thumdrive tersebut.

Saturday, January 10, 2009

Yang Tidak Perlu Kau Fahami

Gincu patah muka berconteng merah
budak-budak kena libas hangar

sabun di bilik mandi kena ramas
budak ni dah mandi tapi rambut keras?

kemek di hujung tiub ubat gigi
menjadi kelahi

hari minggu basuh stokin
bila nak pakai "Honey! mana sebelah lagi?"

dah siap-siap hirup megi cerita best kat TV
berlingkar di sofa, tapi remote mana pergi?

boleh kalau nak gajikan bibik
tapi "Abang nak yang ratu jamu"

Zasssss... bapak budak pulak
yang kena libas hangar.

Friday, January 09, 2009

MB Kami Yang Pu*toot*

Katanya nak bagi air free,
tunggu punya tunggu tak mari,
dari tahun lepas sampai Januari,
tahun baru dah nak masuk Februari,
katanya bulan Jun nanti baru bagi,
tak tau bulan Jun tahun bila nanti,
tak banyak perubahan pun sejak beliau jadi MB,
kilang Calsberg masih tegak berdiri,
air free belum mari yang datang Camry,
MB kami memang pu*toot*.

Wednesday, January 07, 2009

Hensem Berkaca Mata

Bila menonton TV aku perasan perkataan-perkataan sarikata tu kabur. Bila baca buku atau majalah pun kadang-kadang tulisannya jadi kabur. Memandu waktu malam, bila bertembung kenderaan lain, silau lampu tu lain macam.

Sebagai solusi segera, aku tempah cermin mata. Tak banyak membantu pun cermin mata ni, lagi pening adalah. Hari tu terlanggar pintu tandas, terkangkang bingkai cermin mata tu nasib baik tak patah.

Padanlah cermin mata tak boleh membantu. Setelah diperiksa, berita baiknya ia bukan glaucoma, cuma aku ada parut pada kornea.

Kalau dulu aku kerap jumpa doktor sebab rawatan asthma. Kerana kerapnya kena asthma, sampai sekarang Doktor Ariffin tu dah macam kawan lama.

Lepas tu kerap jumpa doktor gigi dan ortodontis. Dalam tempoh satu setengah tahun ni dah berbelas-belas kali berulang ke klinik gigi untuk servis 'besi-besi dalam mulut' aku ni. Jangankan Doktor Marshitah, pembantu dia Cik Azie tu pun dah kerap berjenaka dengan aku.

Sekarang ni nak jumpa doktor mata pulak...

Bertambah ramai kawan aku yang diantaranya terdiri daripada kalangan engineer, guru, pensyarah, pereka kulit buku, polis dan kini doktor! Betapa elit! haha

Tuesday, January 06, 2009

Puzzle Yang Buat Aku Bengong


Aku jalan-jalan dalam sebuah pasaraya kemudian aku ternampak mainan ini dalam rak kaca.

Ada banyak jenis, dalam banyak-banyak tu ada jenis yang aku dah ada serta pernah selesaikan.

Aku cari jenis yang lain dan tertarik dengan sebuah ring puzzle.

Dua hari dua malam aku godek-godek menda alah tu... akhirnya dapat keluarkan ring tu.

Tapi... macam mana nak masukkan balik ring tu?

Monday, January 05, 2009

Kuda Bos Saya

Pepatah ada menyebut. Bahawa kita boleh membawa kuda ke air. Tapi kita tidak boleh paksa kuda tersebut minum.

Kita boleh bawa kuda jumpa awek dia, tapi kita tak boleh paksa dia...

Salah satu masalah yang aku sedang hadapi sekarang ialah, bukan sahaja kuda tu tak mau minum, nak bawak pergi ke air pun dia tak sudi.

Siapa suruh 'bela' kuda, bela ayam saja kan senang.

Bacaan tambahan; bagaimana mendorong kuda minum dan perbincangan mengenainya.

Sunday, January 04, 2009

Gathering Geng Jurnal


Semalam aku menyertai gath GJ di Taman KLCC, di Pondok Masjid as-Syakirin Nombor 2 (PMS No. 2) . Hujan bukan halangan.

Membawa sekotak hadiah yang disyaratkan untuk acara tukar-tukar hadiah. Dan berbekalkan perut yang agak lapar. Hujan pun pandai berhenti, tapi makan tak. Hujan bukan halangan, untuk makan. Tapi aku sampai agak lewat.

Waktu aku sampai di KLCC aku ditegur oleh Salji beserta isteri dan anak-anaknya, malangnya dia tak dapat join gath sebab hujan, bawak anak-anak kecil, susah.

Masa gath aku makan dan makan. Lepas tu main permainan Harimau Jadian yang pernah diperkenalkan oleh Tok Rimau masa Maskara yang lepas. Makan-makan, gelak-gelak, berseronok-seronok dengan kawan-kawan. Hujan bukan halangan untuk berseronok.

Yang aku ingat, aku makan dan makan, gelak dan gelak... makan lagi, lepas tu gelak lagi. Gila seronok. Tapi aku tiba-tiba insaf... bila sedar pada gath kali ini aku tak meyumbang apa-apa pun. Seribu apologi daripada aku.

Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung dan tak langsung untuk gath kali ni. Minta maaf juga atas segala salah silap terkasar bahasa serta minta halalkan makan minum saya sepanjang gath semalam. Well... kalau makanan tu tak dihalalkan masakan ia dibentangkan sedemikan rupa, iya tak?

Saturday, January 03, 2009

Awek Tak Bersayap

Aku suka pula layan perasaan sambil dengar lagu ni...

Dare mo hitori de
Ikite wa yukenu
Waratte anata wa
Sou itta

Ano koe wa ima mo
Mune ni hime
Kaerenu michi wo
Hitori yuku

Aoi sora wo
Midori no heiwa wo kudasai
Sore ga Sore ga dou sh!te mo
Hoshii no desu
Ai shiau hitori no tame ni


Terkenangkan zaman budak-budak dulu, balik dari sekolah terus mengadap TV. Ponteng sekolah agama petang. Kadang-kadang malam ponteng mengaji.

Lagu tu jugak membuatkan terkenang awek lama... tapi awek tak bersayap. Walau pun tak bersayap, lama dah dia terbang tinggi meninggalkan aku.

Friday, January 02, 2009

Resolusi Tahun Baru (1)

Aku bukan smoker. Kalau aku semoker sudah pasti salah satu resolusi aku berhenti merokok, lepas tu terus jugak merokok.

Oleh kerana aku ni food lovers, pencinta makanan (juga pecinta wanita). Hidup untuk makan, lepas makan terus tergolek keriangan, lama-lama perut pun boroi.

Resolusi tahun baru 2009 ialah untuk dapat six pack. Yeay!

Pencinta makanan kenalah diet makan. Makan roti dan epal.

Makan roti dan epal sekali selepas sarapan. Makan roti dan epal sekali selepas lunch. Makan roti dan epal sekali masa minum petang.

An apple a day can keep boroi away.

Tapi... kalau takde epal, pisang pun boleh kot.

Thursday, January 01, 2009

Resolusi Tahun Baru

Penatnya bekerja dan memandu kereta ke out-station. Dalam bulan ni saja dah berapa kali berulang alik Subang Jaya - Pekan Pahang, Subang Jaya-Bahau, Subang Jaya-Seremban, Subang Jaya-Seremban 2, Subang Jaya- Kuala Pilah... Tak habis-habis dengan meeting dan lawatan tapak, dengan TNB, dengan JKR, dengan JPS...

Aku merebah tubuh yang lelah. Lega dapat bantal beralas tilam empuk.

Awek aku tanya, "Apa resolusi tahun baru abang?"

Aku hanya tersengih. Perut aku diusap oleh telapak tangan aku sendiri. Betapa boroi. Perut yang boroi adalah resolusi tahun lepas.

Awek aku cakap, "Ada resolusi nak tambah baby lagi tak?"

Lantas aku jawab, "Nak tambah baby tu takde... tapi ada cadangan nak tambah emak baby... HAHA!"

ZAAASSSSSS

ADUH!

Telapak tangan menyapu-nyapu pangkal lengan yang kena libas hangar baju.

Thursday, December 25, 2008

Jalan Berpimpin Tangan

Bersiar-siar dalam kompleks membeli-belah One Utama bersama-sama keluarga. Banyak juga hiasan pokok krismas di siar kaki dan di kiosk-kiosk.

Anak-anak aku keseronokan berkejaran ke sana ke mari di celah orang-orang ramai. Tadi dah cemas sekali, bila Tuahdanish yang 3 tahun tu main sembunyi-sembunyi. Budak-budak ni kalau tak dipimpin tangan entah ke mana-manalah nanti.

Mak aku jalannya perlahan sebab tak berapa sihat sehari dua ni, bawak dia jalan-jalan ambik angin. Adik aku sedang bercuti lagi, 'ketuk' dia belanja kami makan. Kami makan di Johnny's Restaurant, kailan dia sedap gila babi nak mampos.

Semasa nak menaiki eskelator, anak sulung aku si Aqilah kelihatan berlari meluru ke arah selonggok permainan, entah apa dibelek-beleknya. Aku panggil anak aku tu sebab kami nak naik eskelator.

Aku pun jerit, "Kakakkk..!"

Tapi budak tu buat-buat pekak, buat dekk je. Tiba-tiba ada seorang perempuan dah tarik tangan dia...

"KAKAKKKKKKKKKK.."

Terus terdengar suara awek aku dari belakang, "Apa abang terjerit-jerit ni? Yang abang pegang tu kan tangan kakak".

Oh ya! Aku tengok Aqilah, dia terpinga-pinga merenung ayahnya.

Mak aku cakap, "Oo alah... budak tu pakai baju sama macam anak kau."

"Abang nak ke mana pulak tu?, awek aku separuh menjerit.

"Kejap.. kejap... nak tengok robot Transformers".

Sunday, December 14, 2008

Laporan Maskara Balak Malaya



Malam tadi aku meluangkan masa ke majlis Maskara Balak Malaya anjuran Sendiket Soljah. Majlis Maskara memang 'hot' dengan persembahan-persembahan, dengan makanan yang disajikan dan keramahan kawan-kawan.



Selesai Maskara, 14 orang dikalangan kami bermain permainan 'Harimau Jadian' kelolaan Tok Rimau, kami main sampai pagi. Aku pulang dengan hadiah cabutan bertuah, paling penting aku pulang dengan kenangan terindah.

Wednesday, December 10, 2008

"Merry Chrismast! Ho ho ho...", kata Santa Claus


"Orang Tanjong Karang pergi melawat taman padi kat Bukit Cherakah? Apa barang...", kata aku.

Kampung halaman aku memang dah tersedia dengan sawah yang terbentang luas saujana mata memandang. Kalau setakat nak pergi Bukit Cherakah nak pergi taman padi, memang kerja tak senonoh namanya.

"Alah... kita nak masuk rumah empat musimlah... musim apa ya sekarang", minta awek aku.

Secara ringkas, seronok juga jalan-jalan di tempat sendiri. Bukit Cherakah memang dah tak 'in' sekarang ni, tak macam 10 tahun dulu, siap buat rombongan lagi untuk pergi Bukit Cherakah.

Bukit Cherakah aka Taman Botani Negara.

Tuesday, December 09, 2008

Buta Agaknya

Malam raya aku layan TV. Kat kampung di rumah mertua cuma ada siaran TV percuma. Tak ada cerita yang menarik.

Ada stesen TV yang siar rancangan nyanyi-nyanyi, tapi lagu raya yang didendangkan ialah raya Aidilfitri. Tak sesuai nanyi lagu Syawal dibulan haji. Bodoh!

Sebentar-sebentar TV akan siarkan takbir raya. Kalau tak salah aku TV9 siarkan takbir yang salah eja, kat part Allah tu kalau tak silap diaorang taruk 3 lam. Buta agaknya. Tak perihatin langsung!

Pagi raya, selepas makan-makan, selepas sembahyang, kami sembelih lembu korban. Satu kejadian menarik telah terjadi bilamana lembu yang dah disembelih tiba-tiba berdiri kembali. Liat nyawa lembu ni, sukar menyerah kalah.

Ini video lembu kental ;
http://www.youtube.com/watch?v=Ctel7MNgUhk

Saturday, December 06, 2008

Hidup Suatu Perjudian

Kali pertama dalam hidup aku mendengar orang ditampar di tanah perkuburan.

Arwah sepupu aku meninggal kerana sakit buah pinggang. Dikebumikan di kampung halaman. Selepas jenazahnya siap dikambus tanah, barulah nampak suaminya muncul.

Seorang anak saudara yang badannya tegap menerpa ke arah pakciknya itu, lalu menampar muka pakciknya itu.

Menurut cerita sepupu aku ni dah lama menderita sebab suaminya kuat berjudi. Begitu baik keluarganya, begitu baik saudara-maranya, ada juga yang rosak. Macam setandan kelapa, kadang-kadang ada sebiji yang komeng.

Beberapa lama arwah di wad hospital, sekali tak pernah suaminya melawat. Nasib baik ada emaknya yang berjaga siang malam, emak mana tak sayang anak.

Benda ni dah lama, kami baru tahu. Padanlah setiap kali raya kecoh brother ni hilang, rupa-rupanya malam berjudi, siang tidur merata-rata.

Sepupu aku ni kiranya isteri yang kedua, yang pertama dulu diceraikan sebab lari. Jantan keji macam tu, isteri mana yang tak lari.

Berbalik kepada hal melempang tadi, kalau ikutkan hati panas memanglah puas, tetapi secara akhlaknya ia salah. Dan lagi, selepas ini mesti ada dendam susulan, itu yang susah.

Brother tu pula, susahlah nak berubah, dah tua dah, liat. Kalau sungai senang kita nak ubah daripada bengkok kepada lurus, manusia tak senang...

P/s: Salam takziah kepada bang Sinaganaga :-(

Thursday, December 04, 2008

Sungai Yang Berubah

Muara Sungai Tekek, Kg. Tekek, Pulau Tioman...

Gambar lebih setahun dahulu, dalam pembinaan.

Gambar terkini. Bulan November musim tengkujuh jadinya tak ramai orang. Sampai bulan Mac tahun depan barulah pulau ini rancak semula.


Wednesday, December 03, 2008

Tak Jauh

Pada suatu Hari Raya Adilfitri yang lalu, kami berkunjung ke rumah keluarga sepupu kami namanya Kak Intan. Dia ni kiranya sepupu kami yang rumahnya tak jauh dengan kawasan perumahan kami.

Emak aku ada empat adik beradik yang semuanya perempuan. Kami panggil mereka Mak Ngah, Mak Lang (arwah), Mak Uda manakala mak aku digelar Mak Utih. Kak Intan adalah anak Mak Uda, baik orangnya. Raya tahun sudah dimasakkannya kami mi goreng.

Sesampai di halaman rumah sewa tersebut, di dapati tiada orang. Mungkin pergi beraya, atau mungkin dah pindah. Nombor hensetnya pula kami tak ada.

Aku katakan kepada awek aku, "Raya Haji kan ada..."

Kami seterusnya beraya ke tempat lain dan balik ke rumah.

Raya Haji dah tak jauh. Minggu depan aku ambil cuti tambahan sempena Raya Haji, cadangnya nak balik kampung dan kalau ada peluang nak pergi jalan-jalan sekeluarga. Raya Haji biasanya bukan raya sangat pun (bagi orang lain mungkin berbeza), tak semeriah Raya Aidilfitri.

Selepas Isyak tadi adik aku telefon aku, "Kak Intan meninggal petang tadi... sakit buah pinggang".

Aku terasa tubuh aku macam berada di atas roller coaster yang sedang menjunam.

Tuesday, December 02, 2008

Dilanggar Todak

Abe Sanusi dan Kak Ida adalah pengantin baru. Inai masih merah di jari-jari Kak Ida. Tapi Abe Sanusi tak nak pakai inai, katanya.

Cerdik pandai maka berkatalah, rumah tangga itu umpama sebuah negara dimana suami umpama raja dan isteri (atau isteri-isteri) itu rakyatnya.

Jam pukul 5 petang, semua pekerja pejabat dan bahagian kilang masing-masing berbaris panjang untuk punch card.

"Awal balik abe..", satu suara mengusik.

"Malam ni Singapura dilanggar todak", jawab abe. 'Abe' tu maknanya 'abang'.

Lama sikit lepas tu baru aku faham maksud tersirat disebalik kata-kata abe.
Singapura dilanggar todak, rakyatnya berkubukan betis.

Tajam todak abe, jangan kata betis, peha pun kena.

... dan mungkin sesekali tercekik ikan todak. HA HA HA

Monday, December 01, 2008

Makan Kaw-kaw (2)

Stadium Shah Alam dari tingkap kapal angkasa.

"Aku asal Klang, tempat black area... macam Young and Dangerous.", jawab Encik N. Jari-jemari beliau ada cincin besi.

Encik N ni kiranya salah seorang bos besar dalam syarikat berkenaan. Aku entertain dorang ni makan seafood lagi.

Aku tanya dorang nak makan apa. Seorang jawab "Tak kisahlah... ayam pun boleh".

Ada yang nak ikan, udang, sotong, sup shark fin... "Sup sayur tak nak ya", kata seorang. Semalam sup sayur makan tak habis.

Aku tanya bos besar dorang nak makan apa.

Encik N jawab, "Aaa... bagilah telur dadar kicap".

Aku jawab, "Hahaha... tak kan Young and Dangerous order telur kicap!"

Dia membela diri "Telur kicap aaa baru betul-betul mantap... "

"Encik Young and Dangerous nak order susu?", aku.

Friday, November 28, 2008

Makan Kaw-kaw (1)

Gambar hiasan. Lelaki baik hiasan dunia, ewwahh.

Aku jemput hampir 10 orang makan semeja bulat. Restoran itu di tepi pantai, air laut menghempas pasir dan terpercik-percik ke lantai restoran.

Aku pesan set makan malam, jangan bimbang restoran Cina ni tak ada babi.

Aku pesan banyak seafood, ikan stim sos hitam, udang goreng nestum, squid cili kering, lobster...

Encik A buka dompet dan keluarkan sepapan pil halus-halus.

"Tu pil alergi tu, berapa kali makan?", aku menegur sebab setahu aku pil tu sebiji sehari ja makan.

Encik A jawab, "Aku bila terasa ja, aku makan, atau standby bila nak makan seafood".

Aku nasihat, "Jangan makan banyak, sesetengah ubat boleh merosakkan buah pinggang".

Salah seorang kawan Encik A menyampuk, "Biarkan je rosak, dia bukan pakai sangat pun buah pinggang dia".

Restoran itu di tepi pantai, air laut menghempas pasir dan terpercik-percik ke lantai restoran.

Tuesday, November 25, 2008

Berkayuh ke Pulau Jauh di Musim Tengkujuh

"Apasal lu tak mau naik flight?, naik flight lagi baik maa.."

Apa mimpi bos aku ni? Tiba-tiba tanya soalan macam tu?

"Bila masa saya cakap tak suka?... saya lagi suka maa kalau ada peluang naik flight".

Cadangnya nak ambil pakej, penerbangan pergi balik dengan penginapan 3 hari 2 malam. Tapi bagi aku menginap mana-mana pun boleh, jadinya tempah tiket kapal terbang sahajalah.

Hari ini ulangtahun kelahiran baby girl aku Dina, yang ke-dua tahun. Sebelas haribulan sebelas yang lalu pula ulangtahun baby boy aku Tuahdanish, yang ke-tiga tahun. Dua orang anak lahir dalam bulan yang sama.

Aku ni gayat. Bimbang jugak nak naik kapal terbang ni. Berjaya Air menggunakan Focker kalau tak silap, gila kecik anak punya kapal terbang, aku nak yang besar taklah goyang sangat - mother focker misalnya.

Aku selalu terbayang kalau kapal terbang rosak lalu terhempas. Gamaknya macam filem Cast Away, terkandas di pulau dan hari-hari ratah kelapa.

Penerbangan aku dijadualkan pada hari Khamis, balik hari Sabtu.

Hari minggu ni cadangnya nak buat majlis hari jadi baby-baby aku tu, buat serentak untuk memudahkan urusan-urusan tertentu.

Pergi ke pulau atas urusan kerja, ada meeting. Banyak dokumen dan lukisan nak dibawa. Minta tolong budak pejabat ni buat fotokopi.

Macam dah nak cukup dah pengalaman aku pergi ke pulau. Pergi naik bas dah, 7 jam. Naik feri dah, 3 jam. Naik feri kecik pun dah, 3 kali tidur, 3 kali muntah, 3 jam baru sampai. Naik kereta lalu MRR2 - LPT - Gambang - Pekan... 5 jam. Berkereta dari Mersing - Muazzam Shah - Bahau - Senawang... 6 jam. Kalau naik bas tu boleh gak tidur-tidur, tapi naik kereta sendiri memandu, kalau tidur alamatnya jumpa malaikat Munkar dan Nakir.

Kali ni naik flight, 45 minit je, aku mesti nak ambil gambar sayap kapal terbang dari tingkap seat aku nanti.

Mesin fotokopi pula rosak tersekat-sekat. Panggil mekanik tu baiki, adalah part yang patah-patah kat dalam tu.

"Dah ok ke bang mesin tu?", aku tanya.

Abang tu jawab, "Ok dah... cubalah test try tengok".

Apa bahasalah abang ni cakap, lebih teruk daripada kapalterbang rosak terhempas gamaknya.

Thursday, November 20, 2008

Kerja Kosong Di Premis Saya

Bos aku letak iklan kerja kosong dalam internet. Dua tiga jawatan kosong seperti Jurutera, Admin dan Kerani.

Resume dan butir-butir yang berkenaan boleh difax atau email melalui nombor dan alamat yang diberikan.

Berpusu-pusu resume masuk melalui mesin fax dan email. Telefon berdering-dering (atau bertoot- toot) bertanya tentang jawatan kosong. Ada yang dapat panggilan temuduga pun call, tanya lokasi premis di mana.

Ramai yang tak percaya bila dikatakan lokasinya di mana, kita kata kona kiri, dia pergi kona kanan.

"Awak dah betul dah tadi... jalannya memang rosak (jahanam) teruk".

Bukan saja jalannya yang teruk, malah premis ni pun teruk. Semalam Kak Suseela nyaris dipatuk ular ketika berjalan di belakang premis, perghhh... hulu santak mana premis kami ni?

Semalam ada budak perempuan call, nak confirmkan resume yang dia fax ada terima atau tidak. Dia tanya, "Boleh faxkan atau emailkan profil syarikat kepada saya tak?".

Apasal kau nak profil kami? Kau nak bagi kami projek ka?

Dahsyat budak zaman sekarang. Jemput datang temuduga dulu, tengok premis, jangan tengok sebelah mata sebab premis macam setinggan tapi bisnesnya jut jut tau.

Wednesday, November 19, 2008

Lelaki-lelaki Hensem Dari Kampung Sg. Sireh

Aku jumpa kawan lama aku melalui Facebook. Nama dia M bin M. Sebelum tu memang aku ada google nama dia, tak tau kenapa, saja-saja.

Kali terakhir aku bergambar dengan M ialah pada tahun 1985. Masa tu kami berumur 9 tahun dalam darjah 3.

Masa dulu kalau tak salah petang-petang kat TV ada siri alihbahasa Isaura. Lagu tema siri TV tu bertajuk ("Masih Belum Tamat") oleh Francisca Peter. Aku selalu minta M nyanyi lagu tu sebab dia hafal habis lagu tu, entah mengapa aku ni payah sikit bab-bab menghafal ni.

M ni budak pandai, selalu dapat nombor 1 dalam kelas. Aku pulak nombor 7 ka.. nombor 8 ka.. Adalah sesekali naik nombor 3.

Kami suka Jackie Chan. Lepas darjah 6, lepas dapat keputusan UPSR (kami 1st batch guna sistem UPSR ni kalau tak salah dulu nama lain), M dapat masuk asrama penuh yayasan Selangor. Masa cuti sekolah adalah berjumpa sekali dua.

Masa aku baru-baru kawin dulu aku bawak awek aku jalan-jalan ronda kampung aku. Suatu petang tu aku terserempak dengan M. Dia baru balik dari Britain, belajar kejuruteraan kat sana. Kalau tak salah gomen tanggung yurannya. Dia hitam dan kurus kering, dah pakai spek. Kami bertegur-sapa dan bersembang ala kadar.

Aku terasa rendah diri pula, maklumlah kawan tu dah grad dari oversea, sedangkan aku tengah berusaha gigih belajar PJJ. Tapi, aku dah kawin, dia belum.

Seingat aku, aku tak pernah pula bergaduh dengan M masa sekolah dulu. Tapi dia pernah buli adik aku, aku harap dia orang dah berbaik-baik.

Masa belajar (sekolah tingkatan 4) asyik teringat best nak kawin. Bila dah kawin barulah pulak teringat nak sambung belajar balik. Mana duit nak bayar yuran, mana duit nak bagi anak orang makan. Kadang-kadang tuhan tu datangkan rezeki dalam satu pakej, dapat bini dan tawaran ke universiti dalam satu masa. Dan dalam banyak keadaan tuhan tu datangkan dugaan dalam bentuk pakej juga...

Kalaulah kami nanti berpeluang face2face, mesti kami akan terkejut melihat perubahan kawan masing-masing. 100% berubah, dalam masa terdekat ni aku masih huduh berotodontik.

Di Facebook, M letak gambar lama dia. Dia juga letak gambar baru dia. Jauh beza lama dan baru, dulu misai melintang dengan badan kurus. Sekarang dah gemuk macam dugong. Aku dulu muda-muda pun bela misai jugak. Tapi sekarang aku dah tak bela misai, aku bela janggut. Tapi awek aku tak suka, jadinya aku maintain bulu idung je la.

Rezeki masing-masing. Dari kampung yang sama. Makan beras yang sama. Mandi air sungai yang sama. Belajar dari guru yang sama. Sama-sama anak Jawa. M belajar sampai UK, tapi aku masihlah dok ralit dalam Selangor lagi.

Tapi anak aku dah 3, M baru anak 2 orang.

Mungkin, aku bukan tersesat jalan. Cuma menemui jalan yang jauh lebih panjang untuk sampai destinasi jaya.

Shit! Jenuh korek youtube, masih tak jumpa lagu ("Masih Belum Tamat").

Friday, November 14, 2008

Ka$ih $ayang ?

Kami dapat projek baru kat Pekan, Pahang. Masyukkkk...

Ada kick-off meeting dan kami perlu hadir.

Berkereta melalui MRR2, masuk hi-way, masuk Gambang, tuju ke Pekan, masuk Kg. Kuala Pahang. Rata punggung.

Dua hari lepas aku berada di Mahsan, Bahau untuk meeting. Hari ni aku terpacak di Pekan pula, untuk meeting. Perghhh... berat mata memandang.

Sebagai seorang engineer yang cemerlang dan terbilang, tapak binaan tu masih kosong takde apa-apa, aku dah siap dah completion certificate dan test certificate. Betapa mantap.

"If you dont have any drawings and specification, then where this work programme come from?", Senior Resident Engineer yang bulat macam donat tu keluar tanduk. Haha

Kami punya partner ada problem besar, gila besar problem. Beriya-riya bawak kontena dari KL, tapi tak boleh bawak masuk ke tapak. Letter of Award belum keluar, kontena dah nak bawak masuk. Betapa komitmen!

Penduduk kampung dah block semua jalan masuk ke tapak, ada yang pasang fencing dan ada yang taruk kayu penghalang. So, amacam? Mahu try ini orang kampung?

Kami ni dah lah gaya masing-masing macam Cina Kepong dan Cina Jinjang, gaya samseng wo! Kalau tak samseng jangan harap aaa nak kerja construction!

Setelah diteliti, kontraktor utama ada buat taik kat orang kampung. Sub-kontraktor macam kami ni jugak aaa yang nak kena kawtim. Biasa ah ni... kat Pulau Tioman hari tu aku dah kena dah, harap je masing-masing muka samseng, aku ni jugaklah yang ke depan berunding-runding. Tapi untuk masalah yang ini, aku nak tengok je dulu, aku rasa dia orang boleh kawtim.

Petang tu jugak balik KL. Aku tak kisah sebab aku tak memandu, aku duduk belakang ke borak dengan engineer sorang lagi.

Pagi tadi keluar rumah pukul 6, anak-anak masih tidur. Balik dari out-station sampai rumah pukul 9 malam, anak-anak dah tidur. Bila masa aku nak ajar anak-anak aku mengaji muqaddam?

Thursday, November 13, 2008

Anak Makcik Leha Dijatuhi Hukuman Gantung

Mak aku cakap, jenuh juga Makcik Leha turun naik mahkamah untuk membuat rayuan. Jenuh juga turun naik pejabat 'orang-orang besar' untuk minta bantuan. Agar anak lelakinya itu dapat dibebaskan.

Pada suatu masa pernah Makcik Leha eksiden dengan bas gara-gara terburu-buru melintas jalan. Fikiran kacau mengenangkan anak hingga tak perasan ada bas ketika melintas jalan.

Kisahnya bermula di suatu majlis rewang kenduri kahwin. Di kampung aku tu dulu kalau kenduri kahwin mesti ada hiburan kugiran dan joget lambak. Ada seorang brother ni sedang berewang di belakang rumah pengantin. Tengah potong ayam katanya. Pada masa yang sama di halaman depan rumah geng kugiran tengah main. Anak-anak muda yang tak ke dapur layan joget lambak. Pada masa itulah datang suara-suara mencabar di belakang rumah tu.

Suara-suara mencabar dan menghasut itu datangnya daripada kawan-kawan brother tu juga. Dia orang 'cucuk' brother tu sebab tunang brother tu layan joget lambak dengan balak lain kat halaman depan.

"Kalau tunang akulah yang buat macam tu... lama dah...".

Terus menerus kawan-kawan brother ni 'masuk jarum'. Brother ni pun lama-lama naik panas terus meluru ke halaman. Liar mata mencari tunangnya dalam ramai-ramai orang dalam acara joget tu.

Dia nampak saja lelaki yang berdampingan dengan tunangnya tu, terus dia tikam lelaki tu dengan senjata di tangan.

Bapak brother tu sampai mati pun kes anak dia belum selesai lagi. Adik-beradik brother tu sampai ada yang dah berumahtangga kes dia belum selesai lagi. Merayu kepada Agong setiap kali hari keputeraan baginda, merayu kepada Sultan pun sama. Kalau aku tak salah sampai Agong bertukar 3 kali pun kes brother tu tak selesai.

Pada suatu hari yang cerah, brother tu bebas juga. Mak dia punyalah gembira tak terkata. Brother tu buka bisnes kecil-kecilan tak lama lepas tu kahwin. Masuk masyarakat balik.

Dengar khabar, kawan-kawan brother yang jadi batu api dulu sekarang ni hidup dia orang merempat. Bekas tunangnya tu mungkin dah nak menerima menantu!

Joget lambak, dah lama kena 'banned' kat kampung aku. Kugiran ada, tapi dah jarang-jarang. Aku kalau nak dengar S. Jibeng atau A. Ramlee atau Peracun Kalbu, buka ja di youtube.

Kalau nak cari prosedur hukuman gantung, google ja di internet. Meneliti kaedah hukuman mati pun seronok juga.

Minggu depan pula (bulan November dan Disember 2008) dah masuk musim cuti sekolah merangkap musim kawin-kawin. Selamat layan kugiran dan joget lambak bagi kawasan-kawasan yang tidak kena banned dan yang sewaktu dengannya. Ingat, jangan joget dengan tunang orang.

Tuesday, November 11, 2008

Ludah

Dulu masa di sekolah rendah. Aku ada seorang ustaz yang amat garang. Tahap zalim punya garang. Garangnya beliau bukan setakat rotan-rotan atau libas pembaris. Malah sampai tahap goncang-goncang kepada murid.

"Biar cair otak kamu tu!!!", katanya.

Aku berasa sungguh kecut setiap kali ustaz ni masuk mengajar ke kelas. Kalau nak berselisih pergi ke kantin, terus aku terberhenti kat situ jugak sampai nak terkencing.

Masa aku dalam tahun 4, kelas aku kat tingkat satu. Suatu tengahari aku terasa nak meludah.

Harrrrghhhhhh... Kaw kaw punya kahak dah ni. Aku ke koridor.

PTUIIHHHHHH!!! Aku halakan ke bawah.

"Allah...", aku terdengar suara kat bawah.

Rupa-rupanya kahak hijau pekat tu dah kena kat bahu baju ustaz. Ustaz tu pun kebetulan keluar dari kelas untuk meludah.

Ah! sudah...

Monday, November 10, 2008

Basri La Fea

Semalam aku pergi klinik gigi, buat kesekian kali. Janjitemu dengan ortodontis. Semasa aku baring di atas kerusi tu, terus mata aku terbukak jelas mendongak ke atas memandang awek pembantu doktor tu. Nama dia A, cumil gilak ah ding dong ah

Nampak tahi lalat di bawah dagu dia. Nampak err.. err.. takpelah...

Nampak lampu spot light, besar mentol tu, silau ah!

Hari ini, mulut aku yang penuh dengan 'peralatan' ortodontik ni, akan dapat 'sparepart' baru. Ada tukar getah, ada tukar donat, ada tambah dawai, alahai... Lepas tu dua batang gigi kena 'trim' dengan gerudi, perghh... Diperkukuhkan lagi dengan 'power chain', serta-merta gigi, gusi dan mulut terasa tegang semacam, nak makan pun sakit ni nanti.

Bila senyum memang huduh! Inilah namanya Basri La Fea ("Basri the Ugly").

"If you wanna be happy
For the rest of your life,
Never make a pretty woman your wife,
So from my personal point of view,
Get an ugly girl to marry you." - kata Jimmy Soul.

Well.. kalau korang gantikan tema lirik tu daripada 'wife' kepada 'husband' atau suami. Maka, sure korang akan dapat suami macam aku yang huduh tetapi hepi! Lalalala


P/s: Hari ni nombor plet kereta aku naik nombor satu, Magnum 8843.

Sunday, November 09, 2008

Friday, November 07, 2008

Koleksi Gambar Hensem Sepanjang Zaman

Pada suatu tengah malam. Aku bersembang YM dengan Rudy Bluehikari. Awek masing-masing tengah piyed, tu yang masing-masing mengadap PC atau laptop tu. Tengah boring-boring tu, Rudy bagi satu URL yang mantap untuk dicuba. URL untuk main-main gambar, memang siyal ah... Berikut hasilnya;-


Wakaka... gelak nak mati ah.

"Dah lama dah benda ni...", kata Rudy.


P/s: Aku tengah godek-godek gambar Sinaganaga, Tok Rimau, MJ,... mesti siyal habis nanti. Haha

Thursday, November 06, 2008

Demam

Baru balik dari klinik 24 jam. Baby yang 2 tahun tu demam. Padahal petang tadi elok ja terkam aku balik kerja kat muka pintu. Lari sana, lari sini dengan abang dia. Abang dia tu petang tadi kami bawa klinik sebab nak minta nasihat doktor pasal vitamin dan ubat cacing, tak ada sakit apa cuma nampak kurus. Jadinya dalam beberapa jam, sudah dua kali pergi klinik.

Musim demam dah ka? Ada kaitan dengan monsun agaknya. Entah. Tapi tadi di klinik, walau pun nak melepas angka 1 pagi, masih ada orang yang datang klinik. Dengan 'muka demam'.

Tadi ada seorang aunty India tu dengan anak perempuan dia baru keluar dari bilik doktor, dipanggil nama terus ke kaunter ubat. Ada beberapa botol ubat dihulurkan di tingkap kecil kaunter, kena bayaran beberapa puluh ringgit. Menggagau... Botol-botol ditarik satu-persatu masuk semula kekaunter. Aunty tu tinggalkan anak perempuan dia. Aku rasa aunty tu pergi cari ATM. Mungkin ATM Bank Ra*yat yang berdekatan.

Tengah-tengah malam pula dua-dua orang budak ni badan panas, demam serentak. Jadinya doktor bagi ubat dalam botol yang agak besar, boleh kongsi dua orang. Selepas jam 12 malam, doktor ada caj lebih sikit. Tengok bil anak demam, bapaknya pula terasa nak demam. Tapi, tak ada nilainya duit kalau anak-anak dah jatuh sakit macam ni.

Keluar dari klinik aku ajak awek makan. Pagi-pagi macam ni kami pekena saja roti canai dan teh 'o'. Si kecil tu pula nak makan sama, layan sajalah. Lepas tu kami pun berangkat balik.

Kami ternampak aunty India tadi baru parkir kereta depan Ma*bank, mungkin di ATM Bank Ra*yat tadi tak boleh 'jolok'. Makanya jarak di antara dua bank berkenaan ialah beberapa blok kedai! Dalam hati aku berharap ATM yang itu tidak akan menghampakan aunty tersebut. Dan kasihan anak perempuan aunty tu nanti kena menunggu lama.

Tuesday, November 04, 2008

Masakara Shorties dan Memori Masa Kecilku

Gambar Crowd Dari Flickr Saiful Nang, dicilok dari blog Tok Rimau;

Pengalaman ini mengembalikan aku nostalgia masa kecil, menonton wayang pacak di padang sekolah dan tepi jalan bersama arwah bapakku. Betapa memori!

Wayang pacak, projektor yang sprocket-nya berputar menarik hatiku, bunyi enjin daripada generator kecil, van Jabatan Penerangan, nyamuk-nyamuk, serangga kecil dari sawah padi, lecak di kaki, kepulan asap rokok, aroma kacang tanah rebus, pakcik-pakcik pakai kain pelekat... ah... tiba-tiba bermain di ruangan mata.

Kau boleh saja menonton filem-filem di ruang tamu, di meja makan, melalui laptop di mana-mana. Namun kau takkan rasa "feeling", semangat, serta "kehangatan" di tengah-tengah crowd tersebut.

Tayangan filem berharga percuma, namun memorinya sangat berharga.

Monday, November 03, 2008

Marah-marah

Pada suatu hari, seorang budak besar yang naif bertanya aku.

"Bang, sebenarnyakan apa makna P.M.S. tu ?"

Aku pun berilah jawabannya, dengan penghurainya yang panjang lebar itu dan ini.

Padahal... nak aje aku jawab, PMS tu singkatan untuk Pan*** Merah Sindrom.

Bodoh! Haha

+++

Web of the day ;

Nak tahu Basic Book Design?

Sesiapa yang meminati DIY terutamanya penulisan buku atau blook, download dari sini;

Sunday, November 02, 2008

Cerita Hari Minggu


Cadangnya, kami sekeluarga nak bersarapan di Seksyen 6, Kota Damansara. Di sana ada port nasik dagang kegemaran aku, dan nasik kerabu kegemaran awek aku.

Apa nak diharap pada lelaki ini? Yang masuk tidurnya pukul 5 pagi dan bangunnya terlajak meninggi hari.

Selepas sarapan di kedai mamak, cadangnya nak memenatkan diri di IKANO, tapi ubah rancangan nak ke One Utama.

Memenuhi makan kenduri kawin, nasik minyaknya kelas pertama!

Kemudian kami berpenat-penat di Econsave, beli barang dapur. Tetapi hari masih tinggi. Apa program?

Anak-baranak bergelimpangan menonton VCD yang original Fantastic Four, budak-budak suka, bapak budak pun suka :-)

Habis sudah VCD tu, masing-masing terlelap. Aku pulak pergi bancuh kopi panas makan rempeyek.

Pasang pulak VCD yang original bertajuk 'The Kite Runner'. Cerita itu sedap. Mantap!

Saya mengalirkan air mata setelah tamat menonton filem 'The Kite Runner' tersebut.

Awek aku cakap, "Hek elleh..... abang ni..".

Laporan : MASKARA Shorties Mantap Dalam Gelap

Meet Uncle Lan Hussin aka Sinaganaga pernah berkata, "Kami bukan underground, kami adalah indi." Kata-kata beliau adalah benar.

Projek indipenden yang diusahakan oleh Sindiket Soljah kali ini memang MANTAP! Tayangan filem pendek aka shorties yang cukup santai dan 'berisi'. Sebagai salah seorang kawan mereka, aku menumpang bangga.

Aku dapati semua filem pendek yang ditayangkan mempunyai teknik cinematografi yang best mantap tahap angkasa!

Dari segi teknik memang semuanya adalah terbaik pada aku, tetapi secara peribadinya mestilah ada rasa filem ini best sangat... filem itu macam tak best je... Normal-lah kan?

Aku paling suka 'Surat Seorang Ibu', ala-ala iklan Petr*nas gittewww! Dan sekali lagi, teknik cinematografinya cemerlang tahap angkasa.

Maaf, aku tak dapat review satu-persatu filem yang ditayangkan malam tadi, banyak, padat dan sendat wo! Muntah kau nanti! Aku tak muntah pun dah cukup baik.

Setiap kali hadir MASKARA, sebat sehelai poster adalah wajib.

Punyalah ramai orang datang menonton, kerusi tak cukup makanya bentang permaidani duduk bersila.

Filem mula main makin ramai penonton berpusu-pusu kerusi penuh, permaidani penuh, berdiri pun penuh!

Gambar antara karyawan yang terlibat.

Nida dan ND selaku petugas sukarela. Aku suka corak apron yang Nida pakai, tak macam pelangi tapi macam jalur skrin TV yang tergendala siaran. HAHA

Aku sempat bergambar dengan orang-orang kuat Soljah, orang kuat dalam industri filem dan industri mesin cetak buku, HAHA. Ikut putaran jam - Tok Rimau dengan halkum, Mat Jan, Naga, Jonos, Tuan Mamat Khalid dan lain-lain.

Juga ada pelancaran buku baru bertajuk Romlah Untold. Semasa sessi rehat orang ramai berpusu-pusu berebut membeli buku di kaunter terbabit.

Mungkin Mat Jan dan Tok Rimau ada shorties dalam shorties? Hehe...

Dugong Senyum dan donat senyum. Dalam buku tu ada cerpen aku satu. Betapa gembira!

Cik Nurul dah beli senaskah, beliau dah baca, best katanya. Ah... Nurul, betapa comel :-)

Nota: Aku tak jual ini buku, kalau terasa nak beli buku tu sila ke blog Sindiket Soljah. Kecuali jika kau jenis orang yang memang suka gigit jari bila buku dah habis!


Friday, October 31, 2008

Aku Hidup Dalam Heavy Metal

Encik ini sedang main autocad.

Kadang-kadang, hari minggu pun kena kerja. Kat rumah pulak tu... Salah satu sebabnya, minggu depan (Isnin pagi) ada meeting. Alahai...

Kalaulah aku ada monitor 30 inci cinema HD display. Betapa indah.

Walau apa pun tak kira heavy metal, tak kira slow rock mahu pun dangdut... layan! Haha

\m/

Thursday, October 30, 2008

Angin Bendang Sepat Belalang

Jalan Kg. Tali Air Satu Ban Satu, Sg. Burong, Tg. Karang.

Pada hari raya yang lepas aku balik kampung. Dengan sebuah kamera cap ayam dan kad 4 giga aku belasah snap sana-sini. Daripada berpuluh-puluh keping gambar yang ada, entah mengapa... aku suka yang ini.

Mengaplikasikan rule of thirds dengan jayanya! (hampir berjaya) Haha.

Wednesday, October 29, 2008

Nama Glamour

Dulu nama bos aku Yap Chong Choi (bukan nama sebenar).

Senior Engineer bernama Yap Kwok Way, anak bos namanya Yap Cwin Kwan, site supervisor namanya Yap Kwan Hwing (masing-masing bukan nama sebenar).

Sekali pandang macam bisnes keluarga Yap! Kerap kali penyambut tamu yang angkat telefon akan tanya semula, "Encik nak cakap dengan Mr. Yap yang mana satu?! sini ada baaaanyak Yap encik...". Haha.

Jadinya dia orang ni letak nama Inggeris aka Kristian kat depan, sebab nama keluarga aka surname ni boleh mengelirukan.

Nama Inggeris yang jadi pilihan seperti Allan, Albert, Howard, Johnny... digandingkan dengan surname.

Suatu hari bos aku tanya nama kristian aku. Bodoh. Orang Melayu aka Islam mana ada tambahan nama kristian (pengecualian untuk sesetengah artis dan budak sekolah menengah yang baru naik dan birah).

Kata bos, "Boleh saya panggil you John? Lu mau itu nama?".

"John apa bos? John Travolta? haha!".

...

Untuk blog ni, mana pulak aku dapat nama dugong???...


Bacaan tambahan : Nama mainstream.

Tuesday, October 28, 2008

Projek Buku dan Blook


Nampaknya tahun 2008 dah nak ke penghujung. Hanya dua buku yang aku mampu terlibat dalam tahun ini, 1) blook Dugong Senyum yang diterbitkan awal tahun dan 2) Romlah Untold, bersama Sindiket Soljah.

Romlah Untold akan dilancarkan pada 1 November 2008 nanti.

Blook Dugong Senyum pula ada lagi stok 2 - 3 naskah.

Blook Masuk Barisan (terbitan 2007), masih ada stok lagi, kalau kalian nak beli, butir-butirnya ada ada di blog rasmi www.masukbarisan.blogspot.com

Projek Tanah Seberang aku K.IV. kan dulu, belum ada stamina...

Jiwa Kacau (terbitan 2005), blook ni aku totally sold out.

Mungkin aku akan berhenti menulis di blog ini. Jadinya, kalau ada (kalau ada, aku bilang) yang rindu dendam dengan tulisan aku bolehlah baca blook-blook berkenaan atau ambil majalah Gangguan Teksual, sebab entri-entri silam aku ada dalam tu.

Oklah... jalan dulu.

Wednesday, October 22, 2008

Mereka : Tidak Seperti Dahulu

Aku, Juli dan Razak di rumah Juli.

Raya tahun ini aku berkesempatan ke rumah terbuka kawan lama masa sekolah dulu, Razak dan Izazuly aka Juli.

Beberapa minggu lepas aku sekeluarga dijemput oleh Razak ke rumah terbukanya. Katanya di Meru, habis aku pusing keliling... rupa-rupanya poskod Kapar!

Besarnya rumah Razak, besarnya Harier Razak... besarnya horse power air-cond rumah Razak! Tentu gaji Razak besar sekarang ni, dia kerja di syarikat telekomunikasi besar.

Minggu lepas pula aku sekeluarga memenuhi jemputan Juli, ramai juga kawan dia menjamu selera dan borak-borak bersama-sama.

Dua orang anak Juli montel-montel geram aku tengok. "Juli kau bagi anak kau susu badan ke?", soalan tu tak dijawab oleh Juli sebab sudah tentu bukan Juli yang bagi susu badan dia, tapi bini dia.

Lepas raya Juli akan ke United Kingdom, ada kerja testing kat sana. Tahun lepas, lepas raya pergi Taiwan. Tahun sebelum-sebelumnya Sidney, Jepun... dia kerja di anak syarikat automobil besar.

Mereka tidak seperti dahulu. Anak-anak yang berbasikal ke sekolah, yang dapat bantuan kerajaan untuk belajar, pinjaman buku teks misalnya. Mereka berbanding aku? Mereka sudah naik kapal angkasa, aku masih di celah semalu.

Juli anaknya dua, Razak anaknya dua, aku anak tiga orang, "Kalau macam tu aku menanglah! Yeay!!! HAHAHA".

Kamarul Arif, Aku, Hisham, Juli, Hairul dan Razak. Di majlis perasmian Kumpulan Tuisyen Hujung Minggu (KUNTUM), tajaan kerajaan, berbelas tahun nan silam.

Jangan siapa berani menafikan, kami hensem tidak seperti dahulu. Haha

Tuesday, October 21, 2008

Aku : Tidak Seperti Dahulu

Update : 24 Oktober 2008

Geng PJJSA, Ijazah UPM


Tingkatan 6 Atas 4, Sek. Men. Dato' Harun


Tingkatan 6 Rendah 4, Sek. Men. Dato' Harun
Aku duduk depan, dari kiri No. 5

Tingkatan 5 Sastera Hijau, Sek. Men. Seri Desa
Aku duduk depan, dari kanan No. 5


Tingkatan 4 Sastera Hijau, Sek. Men. Seri Desa
Aku berdiri baris kedua, dari kiri No. 5

Tingkatan 3 Dahlia, Sek. Men. Seri Desa
Aku berdiri baris belakang, dari kiri No. 5


Tahun 3, Sekolah Kebangsaan Seri Gambut
Aku ... , ... No. 5 :-)

Monday, October 20, 2008

Kopi

ubat luka dengan serbuk kopi??
mujarab ke..? tobat x penah dengar...
- paiseh

Demikian soalan seorang pembaca di ruang komen blog aku. Berkaitan entri nostalgia semalam.

Hasil google aku dapat satu artikel dari Kompas.com yang bertajuk "Obati Luka Dengan Kopi".

Selepas lebih 20 tahun peristiwa berdarah itu berlaku, baru malam ini aku dapat tahu kaedahnya kopi itu. Terima kasih kepada Paiseh yang menyoal.

Yang aku tahu arwah bapak tak sekolah tinggi, tapi pengalamannya superb!

Satu lagi soalan;

"Kalo kopinya pake kopi 3 in 1, kopi susu gula bisa ngak?"

Hahaha... you ni nakal auwww...

Sunday, October 19, 2008

Anak-anak Bendang

Dah besar tua bangka dah semua. Dari kiri; Basri, Berkat, Giyong & Zaki. Tiada dalam gambar Kak Biah yang beraya rumah mertua dia.

Seperti baru semalam main basikal lepas tu masuk parit, aku kayuh basikal tua, adik aku sorang duduk depan kat palang basikal, dua lagi kat belakang. Entah macam mana aku hilang kawalan terus meluru masuk parit. Kakak aku lagi teruk, bawak motor dengan aku aku sekali terhumban masuk sungai, kenyang aku minum air lumpur HAHA

Dulu kami kalau nak bergunting rambut, arwah bapak akan bawak ke kedai gunting Sahak. Pakcik Sahak ni kerja DID sebagai penebas rumput, part time dia kerja tebas rambut haha

Aku gemar dok perati pak cik Sahak asah pisau cukur, pegang ketamm, selimutkan orang, atau trim misai dia sendiri depan cermin.

Suatu hari aku main gunting-gunting rambut dengan adik aku, aku jadi Pak Cik Sahak, adik aku jadi pelanggan. Entah macam mana punya fantasi, habis aku toreh kepala adik aku dengan pisau cukur. Mak bapak cepat-cepat ubat luka dengan sebuk kopi, kakak pulak jadi batu api haha

Parut kat kepala adik tu masih ada sampai sekarang. Sampai sekarang jugaklah kalau kami berjumpa cerita pasal pisau cukur tu mesti keluar punya. Betapa nakal.

Saturday, October 18, 2008

Bersua Kali Pertama di Alam Damai Jasa

Kak Sri Diah dan Kak Tiny sedang bercakap-cakap.


Dapat jemputan rumah terbuka raya daripada Kak Tiny.

Kak Tiny salah seorang blogger, ada tulis komen kat blog aku, aku kadang-kadang singgah baca entri blog dia. Kami ni kawan saibe.

Kak Tiny jemput datang di ruangan komen blog aku, aku masuk blog dia dapatkan email. Dari email tu aku minta dia alamat sama peta.

Peta yang Kak Tiny bagi tu bukan main detail. Mesti dia gigih lukis peta itu. Rumah kat area Alam Damai Jasa, perghh... sure rumah area ni RM300k++ seketul ni!

Aku jumpa kak Sri Diah, kak Sri mula-mula tegur aku, lamanya tak jumpa.

Kak Tiny punya hidangan punyalah mantap! Mee Jawa sedap, manisan sedap, nasik himpit & rendang sedap, sirap sedap. Kenyang tersandar lemang kami semua haha

Aku tanya Kak Sri Diah, "Kak.. Kak Tiny ni satu tempat kerja dengan akak ke? lama kenal?...".

Kak Sri Diah jawab, "Taklah... ini baru first time jumpa!".


Tuah Danish tengah layan nasi himpit sama rendang. Tadi bad mood...


Betul ke mee Jawa? Kak Ungku cakap mee rebus. Entah! Walau apa pun terima kasih Kak Tiny sekeluarga.

Lepas makan, kami minta diri. Dalam perjalanan balik kami singgah rumah abang & kakak ipar kat Alam Damai Bakti layan popiah goreng panas-panas dengan milo, perghhhh... layan.

Wednesday, October 15, 2008

Seiras

Ramai orang cakap kami ni, "Ek eh... seiraslah...".

Orang cakap kalau anak perempuan seiras bapak, sejuk rumah tangga. Entah!

Monday, October 13, 2008

Awek Bunian

Kami sedang menonton TV, cerita Sumpah Orang Minyak (1958), lakonan hebat P. Ramlee.

Ada satu babak dimana Afida cantik jelita(lakonan Sri Dewi) sedang sembang-sembang dengan Si Bongkok yang dah hensem (lakonan P. Ramlee).

Dalam filem tersebut Afida adalah puteri bunian yang cantik jelita.

Tiba-tiba awek aku bersuara, "Abang tak nak ngorat awek bunian bang? Cantik...".

Aku pun jawab dengan spontan dan bersahaja,"Buat apa awek bunian, awek-awek di kalangan manusia sersepah-sepah... lazat-lazat pulak tu".

"Tak guna punya suami!...".

Saturday, October 11, 2008

Bertindik

Tengahari tadi selepas balik daripada rumah terbuka kawan awek aku, kami pergi ke kedai emas untuk menindik telinga Aqilah yang 5 tahun itu.

Sebelum raya itu hari kami belikan Aqilah dan Irdina sepasang subang setiap seorang. Orang kedai emas tu cakap kalau nak pakai subang tu tunggu selepas seminggu bertindik. Selepas bertindik mereka pasangkan sepasang subang sementara, cantik juga subang sementara tu. Melihat Irdina menangis semasa bertindik membuatkan Aqilah ketakutan dan sampai kesudah dipujuk-pujuk tak mau bertindik.

Sepanjang raya kami 'rasuah' Aqilah dengan baju-baju raya cantik dan pujuk dia supaya mahu bertindik, dan tengahari tadi kami berjaya. Kami tayang-tayang subang yang cantik itu depan dia, kalau tak nak bertindik subang tu bagi kat orang. Dua orang awek kedai emas itu menindik telinga Aqilah secara serentak. Aqilah menangis-nangis dan malalak meraung sampai kedai lain pun dengar.

Tuah Danish menangis-nangis sebab, "Adik pun nak tindik.. aaaaaaaa...". Kami ketawa dan pujuk Tuah sebab orang lelaki mana boleh tindik, nanti jadi macam gay.

Semasa Aqilah bertindik aku pergi kedai baiki TV kat sebelah, bukan nak beli TV tapi sebab tak sampai hati melihat anak kena tindik, takut wo!

Monday, October 06, 2008

SMS Raya

Aku ada dua henpon, satu peribadi satu lagi company bagi. Aku ini kan pekerja cemerlang... jangan kata henpon, kereta pun company bagi. Untuk raya hari tu bos hulur RM1000 lagi, perghhh...

Banyak juga aku menerima SMS raya daripada kawan-kawan, saudara-mara, kenalan, supplier etc.

SMS happy birthday adalah satu dua ketul...

Jadinya aku mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang sudi SMS aku. Misalnya, O.P., Attochman, Ilyas, Zaki Yahya, Mr. Yap Chin Fatt, Attokz, Jones, Daharie, Zhoulz, Radzi, Abdul Razak, Victor Pagadev, Lan, Yussak, Faisal & Suzita, Azzam Supardi, Wkdin, Ayob Kelubi, Kok Chuan, Ooi Poh San, Peter, Wing, Norhazliza, KC Kok, Mujid, Hairol, Kahlid ada Bean dan tak lupa "Cstmer en. basri yg beli blook dulu", Aimi.

Cumanya salah satu henpon aku tu pakai Celcom, apa pukimaknya aku tak tau, line tu takleh guna khidmat SMS masa raya hari tu.

Jadinya aku balas ucapan kalian tu (yang zahir atau secara batin) di sini, di entri blog aku ni ya.

Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin :-)

Ek eh... terkejutnya saya! apa bila mendapati dalam henpon saya ni SMS Raya tahun lepas pun ada tak delete lagi. Haha

Sunday, October 05, 2008

Lagi 8 Tahun Umur Aku 40 Masa Itu Mungkin Bertambah Gatal Balik

Hari ini 5 Oktober adalah hari ulangtahun kelahiran aku.

Potong kek hari lahir dengan kehadiran mak, adik-adik juga jiran aku. Lilin yang dibeli telah cair sebab kotak kek tadi diletakkan di belakang kereta dekat dengan cermin belakang. Kek buah tu pun mula nak mencair juga. Kek sedap dan habis licin. Terima kasih awek aku.

Awek aku juga belikan aku hadiah mainan jet boleh bertukar menjadi robot. Betapa gembira! Harga murah bukan jadi ukuran yang penting keikhlasan (lagi pun gaji awek aku berapa aja). Esok-esok kalau sayang dah kaya belikanlah abang Optimus Prime atau Gakken Mospeada Ride Armor bersaiz 12 inci atau ke atas ya?!.

Naik satu anak tangga lagi ke tangga tiga puluh dua. Aku berbangga dengan segala pencapaian aku, ada awek cun, ada anak-anak comel, ada rumah sendiri, ada kenderaan sendiri, kerja ja yang belum best lagi, aku impikan kerja kerajaan, tethop dan berpencen. Paling penting aku ada keluarga yang menyayangi dan disayangi.

Berkongsi tarikh lahir dengan aku ialah Tipah (Geng Jurnal). Seorang lagi senior di pejabat yang juga lahir 5 Oktober. OP dan Mulan menyambut ulangtahun perkahwinan mereka pada hari ini, tarikh yang sama.

Bulan Oktober juga adalah bulan kelahiran adik ipar aku, juga bulan kelahiran Khairy Jamaludin, manusia kebencian ramai itu.

P/s: Terima kasih Iwan atas ucapan, nanti kita raikan di 'tempat biasa'. Haha

Saturday, October 04, 2008

Babi Anak-beranak


Pagi tadi sewaktu aku sekeluarga dan ipar-duai sibuk berkemas sebab ada yang dah nak balik KL. Di dapur riuh-rendah kerana ada tetamu yang tak diundang. Pada pagi hari raya yang keempat ini ada babi anak-beranak terjengah di dapur sebelah reban ayam.

Mula-mula muncul ibu babi, tak lama datang lagi anak dia dua tiga ekor. Bapak mertua aku punyalah sakit hati, terus bapak capai senapang dan peluru. Tiga empat das tembakan dilepaskan. Ibu babi kena di kaki lalu lari lintang pukang. Seekor anak babi menggelupur di bawah rumpun pisang lalu tergelongsor masuk longkang dapur.

Habis longkang dapur tersumbat. Siapa nak pungut bangkai anak babi dalam longkang berlumpur busuk itu?

Abang-abang ipar dan adik ipar sepakat setuju vote aku pungut anak babi tersebut. Alahai!

Aku mintak cangkul dan tembilang daripada bapak, aku tolong cangkul lubang dan tanam bangkai anak babi berkenaan. Sengal juga bahu aku menjinjit anak babi tu, ada dalam 20-30 kilogram.

Ada seorang ustaz tu cakap,"Kita tak boleh ambil hasil dari jualan babi... tapi kalau cina tu nak bagi duit ambil jelah anggap tu duit beli peluru". Haha...