Friday, April 04, 2008

6 hari 5 malam (Bah. 2 episod Tioman Yang Indah)

Belum ada kesempatan untuk menurunkan catatan perjalanan lantaran kekangan tugas, jadinya terimalah beberapa keping gambar daripada aku ;


Salah satu pandangan di pantai Hotel Berjaya semasa aku berjaya menyusup masuk ke sana.
Papan tanda ke lokasi tempat popular iaitu ABC (Air Batang Chalet) dan Taman Laut yang banyak ikan jinak.


Jambatan Kg. Tekek yang pasti menjadi 'landmark' kampung tersebut. Jambatan besi yang menghubungkan jeti dengan lapangan terbang.


Kawasan bertangga dihiasi lampu lanskap, cantik waktu siang indah waktu malam.


Kg. Juara, aku sampai ke sini melalui trek jalan kaki dari Kg. Tekek. Jalan raya mendaki 1km, trek hutan ada yang 45 darjah 2km, trek konkrit mencerun sakitkan peha 7km. Pergi 2.5 jam balik 2.5jam.

Sebuah pulau yang aku nampak semasa di dalam feri. Nama pulau aku tak tahu.

Tuesday, April 01, 2008

6 hari 5 malam (Bah. 1 episod intro)


Aku baru balik dari Pulau Tioman. Ke sana atas urusan syarikat, tengahari bos panggil cakap-cakap sikit malam tu terus naik bas dari KL ke Mersing.

Penat belum hilang, maklumlah tadi dari Tioman naik feri 2 jam ke Mersing. Dari Mersing naik bas 7 jam ke KL. Dari KL 20 minit ke Sg. Buloh dengan komuter...
Yang pastinya aku rentung.

Sunday, March 23, 2008

Baby

Satu-satunya anak lelaki aku (buat masa ini) yang dah mula pandai menyebut tiga suku kata.

Nama dia Tuahdanish, umurnya baru nak masuk 2 tahun setengah.

Nakalnya boleh tahan. Salah satu kegemaran dia ialah memanjat badan aku, lebih-lebih lagi masa aku tengah sedap-sedap melepak menonton TV. Kalau aku baring budak nakal ni kadang-kadang duduk atas perut aku sambil melompat-lompat macam koboi, sakit juga dibuatnya.

Aku tengah sedap baring, dia datang duduk sebelah aku.

"Pek! pek! pek!..", tiga kali tangannya yang kecil itu menampar-nampar perut aku.

Bukan main lebar senyumannya, "..da baby...".

Kurang asam punya anak!

Thursday, March 20, 2008

Kabinet Baru

Aku baru beli kabinet baru.

Warna hitam 5 row. Kabinet lama tu aku nak buang atau bagi kat awek aku, kalau dia nak.

Aku dah letak kabinet baru ni pada salah satu sudut bilik aku ni.

"Abang tu dah lagi bajet aaa... tu.", awek aku membuka mukaddimah bebel.

Apa taknya, cadangnya nak beli seketul lagi dumbbell. Jenuh mencari dumbell, dari one utama Damansara, membawa ke Tesco, sampai Giant Shah Alam, semuanya tak ada stok! Kalau ada pun komponennya tak lengkap.

"Bukan abang sorang je yang nak bina badan...", komen awek aku.

Ya, zaman kini boroi bukanlah lagi simbol kemakmuran. Kalau aku jumpa Ilyas, aku akan bersembang dengan dia akan hal ini.

Sunday, March 16, 2008

Saman

"Haiya! kena saman ka?!", sahabatku K mencapai kertas kecil yang terselit pada viper kereta Hondanya itu.

"Berapa puluh kali makan kedai mamak ni, tak pernah kena pun.", aku merungut tak puas hati.

Dipendekkan cerita, kami terus ke pejabat majlis perbandaran untuk menyelesaikan saman parkir tersebut.

"Kalau you tak bayar, nanti dia orang hantar surat pergi rumah, surat putih, lepas tu surat hijau, lepas tu merah, surat mahkamah."

"Boleh kawtim ka?", dia bertanya aku.

"Nanti sampai sana, you jumpa itu amoi Melayu kat kaunter, you cakap assalamualaikum... saya chinese muslim... lepas tu you kawtimlah!"

"Ha ha ha... nanti dia tanya saya punya IC apa macam?".

"Ha ha ha."

Dia dapat diskaun 50% serta-merta. Untuk makluman, amoi Melayu di kaunter tersebut cantik orangnya. Tak sia-sia kawan aku kena saman. Selesai membayar saman, aku minta kertas saman tu dan belek-belek.

"Ini kawasan, itu parti sudah menang, tak ada kasi mansuhkan saman ka, macam Penang?"

"Ha ha ha.", aku ketawa buat kesekian kalinya.

Di sebelah belakang saman ada beberapa maklumat tentang kesalahan dan saman.

Cuba kalian tengok senarai kesalahan tersebut, kesalahan apa yang paling mahal samannya? Apa interperetasi kalian?

Saturday, March 15, 2008

Koleksi

Di antara barang-barang yang aku suka selain buku ialah barang-barang mainan seperti model-model kereta.

Alhamdulillah... koleksi model Ferrari dengan bunyi enjin dinamik, telah lengkap jua seperti gambar di atas. Kali ini dijual bersama bateri! Mulanya tak sabar nak buka kotak dan try.

Koleksi sebelum ini dengan dua kelajuan. Tanpa bateri.

Persamaan ketara antara buku komputer dan buku nafkah batin, ialah selepas baca kita tak sabar-sabar nak try.


Well... tak semua perkara boleh di-try and error :p

Friday, March 14, 2008

Dalil-dalil Mengapa Dompet Saya Tidak Boleh Jadi Tong Sampah


"Apa ada dalam dompet kau - kasi keluar!", sergah Abang Naga pada suatu hari.

Malangnya pada hari tersebut aku berlibur di kampung halaman dan tidak sempat online. Hari ini barulah aku berpeluang online dan akur arahan Abang Naga tersebut.

Sebuah dompet jenama LENO yang dihadiahkan oleh awek aku. Asalnya dompet ni satu set dengan tali pinggang dalam sebuah kotak yang cantik. Dompet besaiz 4.5"x3.5". Ketebalan bergantunglah... antara 4 hun - 1 inci haha

A-KAD IDENTITI
1-Kad Pengenalan. Perhatikan gambar dulu pakai spek.
2-Kad Hijau CIDB.
3-Kad Perakuan Nikah
4-Lesen Memandu & Slip pembaharuan
5-Kad Keahlian Shuang Hor
6-Kad Twenty Cent Water (Kad prepaid untuk beli air bertapis)
7-Kad Bonus Link
8-Kad Kurnia Auto Assist (Expired)
9-Kad ATM Public Bank
10-Kad ATM Maybank (Akaun aku)
11-Kad ATM Maybank (Akaun awek)

B-KAD PERUBATAN
12-Kad Klinik Gigi Rohaya

C 13-DUIT RM78
Duit sebanyak ini cukup tak untuk untuk ajak berdating pensyarah kolej komuniti yang comel itu?

D 14-GAMBAR Awek

E-KAD NAMA
15-Salesman Proton
16-Cakarama Productions - Tok Rimau
17-Dunamis Aluminium
18-Taxi Servis (pergi Kedah hari tu)
19-Hotel Taman Berjaya (Kedah)
20-Perkhidmatan Bas Sekolah
21-EDA Transport
22-MJ Snow Car Wash (bukan Mat Jan)
23-Hendry Butcher
24-Casablanca Bistro Hotel (Kedah)
25-Hornbill Resort (Pulau Pangkor)
26-Waiz Malaysia
27-Thermodyne (India)

F-SENARAI CONTACT
28-Buku kecil (telefon, h/phone, no akaun bank, etc)
29-Cebisan kertas ada nombor telefon kedai buku POPULAR
30-Keratan akhbar book printing - print on demand
31-Keratan akhbar contact Pusat Propolis KL
32-Senarai nombor telefon bos-bos dan officemate
33-Senarai nama dan email AJK GengJurnal 2005/06
34-Cebisan kertas ada result SPM, STPM dan CGPA. Aku selalu lupa CGPA aku. List ni guna masa isi borang online di mana-mana cc.
35-Cebisan-cebisan kertas untuk akuan email, akaun hosting, password etc

G-RESIT-RESIT KEWANGAN
36-MEPS Cawangan Maybank
37-MEPS Cawangan Bank Rakyat
38-MEPS Cawangan Ambank

H-RESIT SHOPPING
39-Mydin (beli alat tulis, mainan kanak-kanak)
40-Econsave (ikan, beras, sayur, tempe)
41-Pasar Kecil Subang Permai
42-The Store (beli spender)
43-99 Speedmart (susu anak, lampin)
44-Giant
45-Ginshop
46-Billion
47-Resit kedai runcit (megi, telur, fishball)

I-RESIT PENGANGKUTAN
48-Stesen Minyak Shell (paling banyak, cuba teka mengapa?)
49-Petronas
50-Resit top-up Touch 'n Go

J-RESIT-RESIT ISTIMEWA / KENANGAN
51-Beli Gudang Garam 14, 1 karton di Duty Free Shop, Kg. Tekek, Pulau Tioman
52-Resit beli kasut kulit jenama Lois - Soon Huat Jeans Centre
53-Resit Zakat Fitrah. Setahun sekali.
54-Resit Bayaran Kursus Pendek Kolej Komuniti Sabak Bernam (Kursus Penebitan Buku dan Penulisan Novel)
55-Tandas Suria KLCC. Sekali masuk RM2
56-Tiket naik feri pergi Pulau Pangkor pada hari pertama Tahun Baru China. Jeti sesak gila masa tu.
57-Keretapi Tanah Melayu (Pergi Kedah itu hari, 11 jam wo!)
58-Resit Hotel Casablanca (Kedah)

K-RESIT MAKAN MINUM
59-Oldtown White Coffee
60-KFC Kota Damansara
61-Maju Ahmad Bistro

Kekerapan makan minum di tempat sedemikian akan membuat kau cepat jahanam.

L-TIADA DALAM GAMBAR
62-Keratan tiket wayang TGV (10,000 BC dan Duyung)
63-Slip withrawal duit kat BSN Kg. Tekek, Pulau Tioman (hilang agaknya)
64-Jarum jahit luka dari klinik gigi (boleh buat mata kail)
65-Daun limau purut yang kering
66-Siling 1 sen
67-Kalendar saiz kad kredit
68-Kit Ikhtiar Hidup

Well, korang pun tahu mana barang yang aku reka-reka. Aku tak ada kad kredit. Dalam sekali sebulan aku akan bersihakan dan nipiskan dompet aku ni.

Thursday, March 13, 2008

Wayang

Aku ponteng kerja hari ni, aku cakap emergency leave.

Bawak awek sama Aqilah ke One Utama tengok wayang. Pagi tonton wayang 10,000 BC. Perghhh... cerita ni memang best! Puas hati!

Tengahari layan Duyong lakonan Saiful Apek dengan Maya Karin. Tak best sangat, tapi... apasal aku asyik gelak-gelak jer ye tadi?

Masa tengah belek-belek alat senaman kat Parkson aku perasan poket seluar belakang aku kosong. Sah! dompet aku tercicir.

Mungkin masa menggeliat-geliat kat kerusi panggung tadi dompet tu terkucil. Meluru aku ke kaunter masuk tu... belum habis aku cakap, budak India tu terus bukak kabinet, capai dompet itam, serah terus kat aku. Langsung tak cakap banyak. Baik betul budak India tu. Cayalah TGV! Korang punya makcik cleaner dan penjaga panggung memang jujur dan amanah. Terima kasih!

Wednesday, March 12, 2008

Awek

Dah lama juga aku belek-belek dia melalui web. Cantik. Lagi-lagi bila senyum.

Macam ni punya cantik rugi kalau tak ngorat.

Lama cari peluang nak jumpa dia tapi tak berkesempatan lagi.

Sampailah semalam, jumpa dia. Ambil masa lama sikit lepas tu pergi dekat dia.

Tegur dia.

Dia agak gemuklah. Bontot lebar.

Monday, March 10, 2008

Kuning

Baru aku ingat.

Semasa aku melangkah masuk ke perkarangan sekolah rendah tersebut, aku nampak ada sekumpulan orang yang memakai t-shirt dan topi kuning.

"Hari Sabtu pakai kuning", kata BERSIH. Apa orang BERSIH buat kat sini? Semasa orang sibuk-sibuk nak memangkah ni?

Bukan orang BERSIH. Mereka orang SPR rupanya.

Mereka bukan orang bersih.

Friday, March 07, 2008

Aku Nak Jadi Hensem

Aku terfikir perkara ini baru-baru ini. Tentang dumbbell. Bukan apa... aku kerap pening-pening sejak kebelakangan ni, nak jumpa doktor malas lak. Takut ada darah tinggi je.

Aku ada satu rancangan...
1. Menetapkan kesihatan adalah perkara nombor SATU.

2. Memilih untuk membuat senaman yang mudah, jadi belilah DUA ketul dumbbell. Belilah yang jenis plate dengan starlock collars, biar nampak stylo :-) Nota: Dumbbell aku beli empat tahun lepas sudah naik bersawang.


3. Bersenam TIGA kali dalam seminggu, secara selang-selang hari agar tak sakit badan haha


4. Bersenam selama lebih kurang EMPAT puluh minit atau lebih. Setiap sessi senaman mulakan dengan warm-up, kemudian barulah main dumbbell, lepas tu diakhiri dengan warm-down, supaya otot atau perut tak krem :P


5. Tetapkan satu jangka pendek dulu, LIMA bulan misalnya dan bersenam secara konsisten. Sila tetapkan jadual dan tampal kat dinding, letak cermin besar kat dinding tu biar boleh tengok muka sendiri merah meramas mesra dumbbell tu nanti.


6. Selepas itu kita boleh merasa perubahan pada diri kita, yang didapati lebih sihat dan riang. Juga berbangga kerana kita ada otot-otot yang lebih besar dan pejal, paling penting kita dapat ENAM pack (six pack) kat perut HAHA (InsyaAllah).

Tak perlu jaminan wang dipulangkan 30 hari, kerana program ni kau yang bangunkan sendiri wakaka

Good luck to me.

Wednesday, March 05, 2008

Minuman percuma

Coca-cola Zero



Pagi tadi bos bawa sekotak besar Coca-cola Zero. Dalam kotak tu ada puluhan botol minuman ringan tersebut. Bos bawa dari Singapura, free kawan dia bagi. Dalam kereta bos ada lagi beberapa kotak, agaknyalah!



Aku baca label, "real coca-cola taste, zero sugar". Menurut wikipedia, minuman ni baru dilancarkan di Singapura pada bulan Feburari 2008 yang lepas.



Laman web : http://www.coca-cola.com.sg/home/home.asp



Aku google tadi, aku dapati design label minuman ni berbeza sedikit daripada negara lain.

Tuesday, March 04, 2008

Wednesday, February 27, 2008

Penatnya Pergi Lawatan Tapak

Semalam penat betul aku. Memandu kereta berjam-jam lamanya. Memandu keluar dari rumah jam 6 pagi terus ke Sungai Long untuk ambik bos. Lepas tu terus keluar tol Kajang. Tekan pedal minyak sampai satu lima satu enam, maklumlah Iswara 1.3 jer mana boleh lawan Volvo yang lari dua ratus. Masuk tol Senawang, lepas tu terus layan selekoh-selekoh kat Bukit Putus berhampiran Air Terjun Ulu Bendul. Terus sampai Terachi, Juasseh, Kuala Pilah, Bahau, Mahsan...
Bos aku tidur.
Tapak binaan yang kami pergi ialah projek stesen janakuasa elektrik, Bahau Empty Fruit Bunch (EFB) biomass based power generation (10 MW). Dikenali juga sebagai SREP. Site ni simpang masuk dia betul-betul bertentangan dengan SMK Bahau 2.

Kata Pusat Tenaga, "The Biomass Power Plant,located in Bahau, Negeri Sembilan, will have a capacity of 13 MW and will utilize EFBs as fuel. The plant will sell 10MW ofelectricity to TNB for 21 years at the agreedREPPA price of between RM0.17/kWh RM0.21/kWh." Kayo pakcik kayo! HAHA


Peta laluan dari Senawang ke Mahsan.




Pintu masuk ke SMK Bahau 2, Mahsan.








Outside of turbine generator building & boiler.





Empty Fruit Bunch (EFB) shed area.






Control Building. Dua tingkat, yang atas pejabat manakala yang bawah sub-station.







Bergambar bersama 3.5MVA Stepdown 11kV-415V Transformer dalam sub-station (tingkat bawah control room).







Yang macam tangga tu automatic ash removal at envirocycler (tempat bakar hampas kelapa sawit).


Sebahagian daripada boiler.









Salah satu tayar kereta aku, well jalan kat site kau tahu ajelah, lagi lagi lepas hujan.








Bos besar (COO) belanja kitorang makan kat Era Hotel Bahau. Ada lauk rusa, sayur-sayuran, tauhu ayam, udang, etc.





Tengahari tu Chief Of Operation kami belanja makan tengahari kat hotel. Mantap giler lauknya. Aku pulak tengah lapar sebab tak sarapan pagi pun tadi. Udang tu harga dia RM29.50 seekor!!! Memang bos aku kopak ratus-ratus hari tu HAHA. Lepas makan bos besar pergi tempat lain, manakala aku dan bos pergi TNB Bahau sebab ada hal sikit. Lepas tu aku jadi drebar balik, penat giler ah nak memandu lagi 2-3 jam. Bos aku tidur.

Wednesday, February 20, 2008

Melukis Logo Syarikat



Aku kemukakan idea baru. Hari tu buat pertandingan, logo yang menang tu saling tak tumpah macam logo Batman, jadinya bos adjust-adjust logo tu dan suruh aku lukis. Tapi aku ambil kesempatan tu untuk kemukakan idea baru. Aku harap bos-bos besar setuju dengan logo baru ciptaan aku ni.

Logo untuk syarikat Makin Timur Sdn. Bhd.

Tuesday, February 05, 2008

Yammmmmmmmmmm Sennngggg


Masa annual dinner hari tu. Chinese set dinner. Dapat cabutan bertuah. Lepas tu ada pertandingan cipta logo company aku menang nombor 3 je, anak bos kebas nombor 1, aku menang satu hamper. Ada mungkin ke lukisan autocad kalah dengan crayon? Sah kroninya pasal!

Dapat limau dua kotak. Supplier bagi ang pau, sub-con bagi ang pau, bos bagi ang pau. Naik gaji sikit dan ada bonus sebulan. Boleh lenjan kereta company balik kampung.

Sewaktu korang baca tulisan ini, aku sedang menikmati bunyi kuat letupan mercun kat belakang kilang opis aku ni.

Tahun ni ada baik sikitlah dari tahun yang lepas-lepas. Tu yang buat aku happy tu. Harap korang semua pun happy jugak ini tahun.

Oklah, aku cabut dulu, bos panggil kitorang pergi lunch. Aku cuti sampai 12 haribulan tau. Jumpa lagi, bye :-)

Sunday, February 03, 2008

Hari Yang Pelbagai Rasa


Gambar oleh En. Sufian Abas yang mantap.

Malam tadi aku perform open mic dalam Maskara 6 kat Rumah PENA. Aku baca salah satu entri dari blook aku 'Bukan Dugong Biasa'. Ramai gak yang datang, seronok tengok orang lainnya persembahan, ada nyanyi-nyanyi, ada silap mata, ada baca puisi (?), ada silap mata dan ada cakap-cakap. Ada jualan CD ada jualan buku-buku, ada buku free jugak. Aku pun tumpang sekaki jual buku kat sana.

Kejutan untuk aku! Ada hadirin kawan sekampung. Keciknya dunia sebab kita jumpa kat Maskara.

Sebelum tu masa petang aku dan E1 pergi kenduri kahwin Attokz dan Kaseh. Ada ramai jugak kawan-kawan GJ yang datang. Tahniah Attokz dan Kaseh semoga berbahagia hendaknya.

Tengahari tu aku masih kat opis, nampaknya aku kena 'goreng' dengan bos 1 dan bos 2. Berasap bontot. Apa boleh buat... kita ni kuli jer...

Malam tu masa balik Maskara kereta aku masih meragam macam tengahari tadi - aircond tak seejuk, signal tak hidup, power window sebelah kanan sangkut lak.

Ada SMS dari awek aku, "Bang tolong beli sardin kecik."

Hari ini baca blog sol-jah.blogspot ada blasungkawa. Al-Fatihah dan takziah daripada aku.

Tautan-tautan yang berkaitan :-

http://www.solj-jah.blogspot.com

http://www.flickr.com/photos/sufian_abas/sets/72157600200846267/



Saturday, February 02, 2008

Siri Bercakap Dengan Ah Heng (Bah. 3)

Kawan-kawan aku terutama yang bangsa China, memang pandai makan. Semalam ada kawan bawak sebalang kerepek. Wah sedap kerepek ubi tu lain macam.

"Ada pakai minyak babi ka?, sedap bukan mainlah." Aku gatal mulut bertanya. Sekali buka balang krup krap krup krap krup krap makan tak ingat punya sedap.

Rupa-rupanya ini bukan kerepek biasa. Tetapi dari sejenis sengkuang yang kalau kita tengok banyak kat pasaraya sekarang ni rupa dia macam bawang busuk tu. Kau beli dalam RM2 sekilo, lepas tu kupas kulit dia, rendam dalam air garam sikit, sagat, goreng. (Baca: salah satu hobi aku ialah mencuba memasak).

Anak lelaki aku umur 2 tahun, "Uwek!" katanya meludahkan kerepek yang aku goreng. Cess budak ini. Kerepek orang kuning cantik, akunya coklat hangus haha

"Minyak mau panas, api mau perlahan." Kata Mr. Ah Heng.

Sengkuang tu di sebut sebagai 'nga ku'.

Gong Xi Fa Chai !

Friday, February 01, 2008

Ulasan Buku K-Eight


Secara peribadinya, aku menyukai K-Eight kerana isinya yang semua dalam satu. Dari kisah lawak jenaka kasar laki bini, kisah hantu, budak main basikal BMX, hinggalah cerita kucing betina hamil luar nikah. Senario sehari-hari yang biasa kita lihat dan dengar di blok rumah pangsa misalnya. Yes, kisah kucing betina itu adalah kritik sosial paling pedas, pada pendapat aku. Misalnya, orang zaman sekarang ni buat zina macam korek hidung je, langsung tak rasa bersalah.

Kalau kau suka cerita lawak, bacalah buku ini. Kalau kau suka misteri, baca buku ini. Kalau kau suka berfikir, bacalah. Jika kau suka berfantasi... well, tak kisahlah apa pun asalkan kau sukakan buku.

K-Eight. K-8. Kumpulan 8. Lapan orang penulis berkumpul (bukan untuk gangbang tentunya), berbincang, berpakat-pakat, tong-tong duit poket. Demi nak menjayakan projek buku terbitan sendiri. Inilah hasilnya, kisah yang berlatar belakangkan satu blok rumah pangsa (kononnya), padahal bila kau dah habis baca pendapat kau boleh jadi lain. (Perhatikan betul-betul... ada lapan penulis termasuk Sharpi).

Aku sangat suka dengan elemen 'twist' yang diselitkan di dalam hampir semua cerita dalam buku ini. Mula-mula bercerita tentang seorang watak atau sesuatu situasi, BOOM!... tiba-tiba cerita berakhir dengan benda lain. Elemen twist itu pula walau pun sederhana menyegat namun tidak pula mudah dilupakan. Elemen 'twist' itulah yang menjadikan buku ini lain dari yang lain serta berbaloi untuk rak buku anda, itu pun kalau kau ada rak buku macam aku haha.

Perhatikan muka surat akhir yang ada elevation view blok K-8. Didapati ada lagi 11 rumah tak berpenghuni. Berfantasilah bahawa kau menghuni di salah satu rumah tersebut lalu meneruskan hidup. Namun pada suatu hari... BOOM! kau dapat twist, mana tahu kau dapat menyiapkan manuskrip untuk K-8 yang satu lagi pula.

Untuk yang belum tahu, penulis-penulis buku ini adalah juga merupakan blogger-blogger tersohor (dan picisan) Malaysia. Aku perkenalkan kawan-kawan aku ini iaitu Jigo, Sinaganaga, Mat Jan, Vovin, OP, Samurai dan Tok Rimau. Diorang ni dulu pernah bersama-sama aku menjayakan projek blook Jiwa Kacau dan Masuk Barisan. Merupakan key person dalam Geng Jurnal. Kini mereka mengaktifkan komuniti kecil tapi tegap bernama Sidiket Sol-Jah.

Selain menulis, mereka juga kini aktif menjayakan aktiviti bercakap-cakap di Rumah PENA.

Monday, January 28, 2008

Pulau Tioman mana ada penyu, kata makcik itu.


"You tau tak ini orang mau cari penyu apa?", tanya Mr. Ah Heng.

"Tau... penyu yang kat laut, nak tengok penyu bertelur kan?", jawab makcik tu.

"Bukan... dia mau tengok penyu putih atas bukak punya... itu mat salehlah makcik...", Mr. Ah Heng memberi penjelasan panjang lebar.

"Ooo.. penyu tu, sekarang belum musim dia, datanglah bulan tiga nanti sebab sekarang ombak besar", terang makcik itu.

Aku hanya tersengih sambil merenung ombak membuih putih menghempas pantai. Akhirnya kami jugak yang jadi penyu hitam terjemur atas batu haha

Saturday, January 19, 2008

Siri Bercakap Dengan Ah Heng (Bah.1)


Pada subuh yang dingin itu aku telah bersiap mandi dan berpakaian.


Pulau Tioman sebenarnya masih dalam musim monsun. Challet kami hanya beberapa meter jaraknya dari pantai. Telinga aku pula dapat menangkap bunyi ombak menghempas pantai Kampung Tekek. Petang semalam ombaknya tinggi bergulung-gulung. Kadang-kadang hujan lebat di awal pagi. Tapi sebentar saja. Akan nampak sinar mentari muncul dari ufuk timur kemudian.


Mentari terbit di timur dan terbenam di ufuk barat. Qiblat kita pula lebih kurang menghala barat.


Satu challet tinggal dua orang. Dalam challet ada satu katil dan satu tandas. Aku tidur sekatil dengan Mr. Ah Heng. Sejak tidur sekatil dengan Melayu seorang ini, dia pun terikut-ikut bangun pagi awal.


"So.. hari ini you sembahyang pusing belakang?" Tanya Mr. Ah Heng. Dia tanya sebab semalam aku sembahyang mengadap dinding. Hari ini mengadap tingkap pula.


Saya tanya you punya Pakistan semalam, dia kata "Arah sana bos." Aku menjawab geram.


"Lu tanya itu sohai buat apa, dia tarak semayang punya." Mr. Ah Heng bingkas bangun menuju tandas.

Telinga aku masih dapat menangkap bunyi ombak menghempas pantai Kampung Tekek. Challet kami hanya beberapa meter jaraknya dari pantai. Rasa nak benam-benamkan Pakistan seorang tu kat dalam laut, arghhh!

Friday, January 18, 2008

Rentung

Jalan kaki pergi Air Batang, hajat hati nak tengok penyu terlentang.

Hampasss... balik-balik aku yang jadi ikan masin, ini baru betul-betul dugong terlentang putih di depan hitam di belakang.

"Sini pulau bos, tak boleh lari mana dah, kuli ka bos ka... sama-sama kena buat kerja."

haha huhu

Monday, January 14, 2008

Kembara Solo


Aku akan kembara ke Bahau seterusnya akan ke Pulau Tioman pula. Bermula Isnin dan dijangka pulang pada Jumaat, maknanya 3-4 hari kembara.

Bukan kembara biasa sebenarnya. Arahan bos, lawatan tapak projek dan membuat sedikit pemeriksaan di sana. Maklumlah, sebelum ini musim tengkujuh melanda jadinya ada kerja-kerja tapak yang sedikit tergendala dan perlukan perhatian segera.

Kemungkinan besar akan melalui lebih banyak hari di Pulau Tioman, lebih tepat lagi Kampung Tekek. Kat kampung tu nanti mungkin tidur di kongsi, sebab company tak ada pulak peruntukkan hotel atau challet, alahai. Teruja juga nak mandi laut, dah lama tak terjun ke air masin.

Ini senarai semak a.k.a checklist kembara aku nanti, yang bakal menyendatkan beg galas. See you :-)

1. Barang Penting
[ ] Dompet
[ ] Kad Pengenalan
[ ] Wang Tunai

2. Komunikasi
[ ] Handphone
[ ] Charger

3. Mustahak
[ ] Selimut
[ ] Tuala

4. Perubatan
[ ] Eyemo
[ ] Panadol
[ ] Asthalin

5. Keperluan peribadi
[ ] Berus gigi
[ ] Ubat gigi
[ ] Diadoran
[ ] Pencungkil gigi

6. Optik & barang elektronik
[ ] Kamera digital
[ ] Bateri
[ ] Thumbdrive
[ ] USB Card Reader
[ ] Lampu Suluh

7. Keperluan Am
[ ] Beg-beg plastik
[ ] Topi
[ ] Bahan bacaan (buku, majalah)
[ ] Pen
[ ] Buku catatan + kertas
[ ] Cermin mata gelap

8. Ibadah
[ ] Kopiah
[ ] Pelikat
[ ] Sejadah
[ ] Panduan

9. Pakaian
[ ] T-Shirt
[ ] Baju tebal
[ ] Jeans
[ ] Slack
[ ] Bermuda shorts
[ ] Underware
[ ] Tali pinggang
[ ] Kasut sukan
[ ] Safety boot
[ ] Stoking
[ ] Flip-flop

10. Extra
[ ] Google
[ ] Lastik
[ ] Sapu tangan
[ ] Hanger baju



Sepanjang di sana rindulah agaknya kepada blog ini dan sudah tentu rindu kat tangan-tangan kecil yang ditinggalkan.

Sunday, January 13, 2008

Sekuriti Kelas Pertama

Gambar jamban ni aku snap kat toilet sebuah pasaraya besar di Puchong. Perhatikan kepada pam yang dipasang gril diperkasakan dengan padlock. Pam jamban pun orang nak curi ka? Haiyaa!

Friday, January 11, 2008

Tiada Hari Tanpa Entri

Kalau kau Cina muallaf gamaknya kau sambut tiga kali tahun baru dalam setahun.

Tahun baru masihi, tahun baru Maal Hijrah dan Tahun Baru Cina.

Macam mana nak buat azam tahun baru ya?

Kami blogger, kerjanya menulis entri. Ada entri yang merapu-rapu, ada juga yang bagus-bagus (dan dapat anugerah Geng Jurnal, misalnya).

Sepatutnya blogger perlu ada tanggungjawab sosial kepada para pembacanya. Jangan sampai pembaca 'lapar' sampai refresh blog kita lapan ke sembilan kali selang sejam, semata-mata nak baca entri kita, tapi hampa.

Bagi blogger, azam kita tiada hari tanpa entri.

Kalau perokok bolehlah berazam tak nak merokok ini tahun. Lepas tu pulun gak rokok setiap hari sepanjang tahun.

Tiada hari tanpa rokok. Kalau kau suka seks, tiada hari tanpa seks. Kalau kau suka seks tapi belum kahwin, tiada hari tanpa onani. Ha ha.

Wednesday, January 09, 2008

Kerana Musim

Nyanyi. Dimana dia anak kambing saya? Anak kambing saya yang makan daun talas. Dimana dia buah hati saya? Buah hati saya bagai telur dikupas.

Dulu. Lama dulu, kalau nak makan durian kena tunggu musim barulah boleh merasa durian. Begitu juga manggis, rambutan dan pelam telur. Pelam telur ni dulu banyak orang tanam kat tepi sawah kat kampung aku, masa musim menanam ada banyak.

Sekarang semua tu tak ada musim dah. Bila-bila masa kau mana-mana boleh muncul. Berlambak-lambak di pasaran. Kecuali pelam telur.

Sekarang banyak terjadi barang 'hilang'. Hilang di pasaran. Misalnya gula, ayam, minyak dan tepung. Kebanyakannya hilang mengikut musim, musim perayaan misalnya.

Ada orang kata barang-barang tu disorokkan. Ada pula kata diseludup banyak-banyak ke negara jiran. Ada yang sorok dalam baju (haha gurau je.)

Dulu nak Raya Aidilfitri hilang gula, masa nak Deepavali hari tu kalau tak silap
hilang ayam. Ni tak lama lagi ni nak tahun Baru Cina, hilanglah pulak minyak sawit sama tepung.

Dorang ni dah ada checklist barang apa nak 'dihilangkan' mengikut musim, agaknyalah haha

Walau pun menteri kita nama Sapie Afdhal, tapi macam tak afdhal dia jadi menteri. Siapa pun menteri kalau nak hilang, hilang juga ya tak. Orang kita bukan takut sama menteri. Menteri tak takut sama kita pun dah cukup baik haha

Musim pilihanraya nanti hilanglah beberapa undi nanti tu.

Bulan Mac 2008 nanti musim cuti sekolah. Cuti sekolah tu merangkap musim mengawan kat Malaysialah tu, sure banyak kenduri kawin masa tu. Banyak orang nak pakai barang untuk masak lauk-pauk. Pun mesti ada barang hilang jugak nanti.

Orang Malaysia ni tahunya merungut saja. Sikit-sikit merungut. Bukan tahu nak buat bom, misalnya.

Itu mahal, ini mahal... kalau boleh nak free. Yuran sekolah anak-anak free, tol free, cukai taksiran free. Malah kawin pun kalau boleh nak free!

Oh ya baru aku teringat. Sepatutnya aku kena shopping around untuk CCTV. Bukan sebab nak buat DVD menteri, tapi sebab baju dalam kat ampaian kena curi.

Buai laju-laju sampai pokok sena, apa dalam baju sekeping DVD Cina.

Daa.

Tuesday, January 08, 2008

DVD Yang Kita Suka

Dapat stok baru. Bukan dicari tapi datang sendiri. Aku pinjam lepas tu copy masuk hard disk PC.

Best ada teknologi DVD. Dalam sekeping boleh simpan berpuluh movie (bergantung pada kualitilah).

Nampaknya malam ini aku layan Negro, Mat Saleh, erm... ermm... Latino pun ada ni.

Aku pun hairan juga melihat mereka ni, manusia ka binatang ni?

Macam tu punya besar pun boleh ka? Terbongkok-bongkok. Tertonggeng-tonggeng. Malah yang terlentang pun ada. Alahai!

"Yeah!!! come on babeh!". Dihayunnya beberapa kali.

"Uhh... ahh... uhh.. ahh... yeahh!" Badan likat, kilat bergelumang peluh.
Seronok tengok urat-urat timbul dan otot yang menegang. Kerana mereka menyangi tubuh badan mereka lain macam terbonjolnya. Born to be big HA HA.
Tengok tu, bukan main tekun Negro tu bantai ayam.

"Eeeiii... dorang tak pakai baju.. tak malu kan ayah kan...?!." Aku dikejutkan oleh suara anak aku!

Bila masa munculnya anak aku yang comel umur 4 tahun (lima tahunlah!) ni?! Speaker aku dah slow-kan tadi, pintu pun aku tutup rapat.

"Apa tu bang? Eeiii... tak nak lah Lin, geli!". Awek aku mendengus di muka pintu bilik bacaan aku ni.

Kalian pun boleh dapatkan movie-movie ni.

Senang saja guna Lime Wire, keywordnya Jay Cuttler, Kevin Levrone , Ronnie Coleman...

Si Ronnie Coleman tu lapan kali Mr. Olympia, lapan kali tu uuuu!

Sunday, January 06, 2008

Gigi Suami Puan Nor Macam Predator-lah haha

Hari ini ada temujanji dengan ortodontik. Ramai pula orang kenalah menunggu.

Teruk aku dikerjakan Doktor M. Gigi taring aku dibelitnya dengan dawai. Direngkuh-rengkuhnya gigi taring aku kemudian.

"Aduh!". Jerit aku sampai terangkat kaki sebelah.
"Bagi saya power chain. Empat ya!" Doktor M mengarahkan pembantunya yang cantik jelita bak bunga kembang diwaktu pagi itu.
Chain? Apakejadah mulut aku nak dimuatkan dengan chain? Sudah sebelum ini mulut aku dilekatkan bracket diperkuat dengan 'donut' dan dikukuhkan lagi dengan wire. Sekarang nak taruk chain!
"Gigi encik ni nampak dah ada space, jadi kita taruk chain kat situ". Kata Doktor M.
Bukan senang nak jadi hensem. Redho sajalah.
Teruk aku dikerjakan. Doktor M polish sebatang gigi aku dengan mesin kepala berputar yang mengerikan itu. Bila dah bersih ditaruknya sejenis gam yang berasa puaka.
"A'ah, gam UHU", jawab Doktor M. Aku tahu, dia berseloroh.
Dilekatkannya bracket di situ. Ini gigi yang belum ditaruk bracket, sebab sebelum ni gigi yang satu ni tersepit. Lepas tu mulut aku ni keluar masuk beranika jenis mesin dan paip (yang ada lampu biru pun ada).
Lepas tu tercabutlah pulak bracket tu. Haha
Doktor tu pasanglah balik ulang proses yang sama. Alahai.
Aku terbaring di atas kerusi sambil mulut ternganga. Doktor M sondol-sondol tetek dia ke muka aku (dia tak perasan kot, entah haha).
Pembantu dia cantik. Pakai baju ketat. Dia punya saiz 36D agaknya. Jadinya pemandangan di atas sana dari bawah sini indah-indah belaka. Bak bunga kembang diwaktu pagi, misalnya.
Will I be handsome ?, will I be rich ?
The future's not ours to see. "Que Sera Sera". kata Doris Day.

Friday, January 04, 2008

Hari Pertama Anak Aku Di Sekolah

Pejam celik pejam celik dah masuk sekolah tadika dah anak aku.

Mak dia tak dapat nak pergi jadinya akulah pergi daftar hari pertama anak aku ni.

Malam tu awek aku tanyalah yurannya, resit-restinya, buku-bukunya...

"Bang... apasal abang daftar anak kita untuk 4 tahun." Tanya awek aku.

"Yelah... anak kita kan 4 tahun." Jawab aku sambil bola mata masih kat skrin TV.

"Anak kita lima tahunlah bang!." Awek aku macam menjerit.

Patutlah yurannya ada sikit murah tadi. Alahai!

Thursday, January 03, 2008

Saya Lelaki Itu

Kami lelaki dan perempuan-perempuan itu.

Berita tentang Gathering Geng Jurnal 2007 telah terpampang di dada akhbar Sinar Harian, Khamis, 3 Januari 2007, muka surat S6, dikelolakan oleh Cik Asmaliza Mansor. Alangkah!

Gambar-gambar kredit kepada Kak Ungku Nor.

Wednesday, January 02, 2008

Azam Tahun Baru Abang

Kan aku dah cakap.

Aku. Nak. Six-pack kat perut.

Saturday, December 29, 2007

Gath Geju 2007 - Laporan


Banner ini sangat cantik



OP sangat hensem. Amyz saaangat cantik.



Seorang lelaki sedang makan nasik.



Dua orang lelaki sedang makan nasik.




Empat orang lelaki sedang makan nasik.




Sepatutnya Salina makan buah.



Aku nak pialanya saja, wang tunai RM16 ribu dan tiket ke Perth tu kau simpanlah. HAHA


Aku menang anugerah dan dapat pingat. Yeay!

Nampaknya tahun ini aku menang Entri Terbaik Humor. Entri yang bertuah itu bertajuk 'Anak Lelaki Saya Kerja Kilang Roti'.

Lagi laporan gaht di http://www.jurnal.biz

Friday, December 21, 2007

Senapang Bapak Mertua








Masa aku bertunang dulu sekali haram tak pernah berdating. Bila aku ayat awek aku ajak berdating, dia selalu jawab, "Berani-beranilah abang usung anak dara orang, bapak kita ada senapang tau."

Dah bernikah barulah dapat berdating. Bercinta selepas kawin.
Baru-baru ini bapak renew lesen senapang dia. Polis nasihatkan jual saja senapang tu, atas faktor usia bapak dan demi keselamatan.
Bapak nak jual. Jadinya aku nak pinjam sekejap, ambil gambar buat kenangan. Dah lapan tahun kawin barulah merasa pegang senapang bapak. Sebelum ni haram tak dibaginya.
"Kau mana cukup syarat..." Kata bapak dengan sinis.
Shortgun W.W. Greener dibeli sekitar tahun 1979 dengan harga RM200 pada masa itu. Orang dah tempah, bapak bukak harga RM2000.

Aku periksa internet Mat saleh lelong menatang ni US5,000 ke atas, biar betul bapak aku ni. Barang antik tu, baik up harga boleh bayar proton iswara cash.