Monday, August 28, 2006

Macam Iklan Kopi Cap Kapal Api Yang Isteri Dia Marah-marah dulu, kemudian...

Cuti hari minggu aku habiskan begitu sahaja. Bangun tidur lewat. Bila anak aku yang dua orang itu bangun aku gomol mereka habis-habisan. Comel sangat mereka berdua di mata aku. Isteri aku sibuk mengemas, aku pula menguruskan budak kecil dua orang ini, mandikan, bagi bedak, berpakain kemudian keluar pergi sarapan di warung. Kami memilih sebuah warung di Subang Perdana. Banyak pilihan makanan. Nasi sahaja ada beberapa jenis, ada nasi lemak, nasi kerabu, nasi goreng, nasi dagang, nasi putih dan nasi minyak. Namun nasi minyak di sini berlainan sama sekali dengan nasi minyak kenduri kahwin. Lauk-pauk pula jangan ceritalah kepelbagaiannya. Kalau kau ada modal dan jenis yang kuat makan, sarapan yang kau ambil akan merangkap lunch dan juga minum petang.

Cuti hari minggu aku habiskan begitu sahaja. Menonton TV, cerita kartun Barbie, Mirmo, Batman kemudian petang sikit ada cerita Malayu. Siri Sembilu Kasih yang memenatkan itu pun aku layan sekejap.

Tak sangka pada sebelah petang itulah tiba-tiba awek aku mengamuk, memberontak.

"Sampai hati abang... birthday Lin pun dah tak ingat... dah lah masa hari birthday tu abang pergi kerja marah-marah."

Aku ingat birthday dia tanggal 28, rupa-rupanya tanggal 25. Uwah! ini sudah dikira suatu bencana.Padalah sudah aku mark pada kalendar, awal-awal lagi aku sudah mengatur suatu surprise.

Malam tadi. Ya malam tadi. Dapatlah aku melihat dalam hidup aku ini, orang pregnan yang bulat melompat dan berlari kegirangan.

"Eeiii... Terima kasih bang... ingatkan abang dah lupa..." Muka ceria menguntum senyum sampai ke telinga.

Semasa dia mengemas keperluan untuk persiapan bekerja, dia jumpa kad terselit di beg tangan. Dia tarik kad tu dan buka terus keluar muzik.

Berjaya juga aku membuat surprise untuk dia he he he

No comments: