Tuesday, June 26, 2007

Suatu Hari Di Dalam Bilik Mesyuarat

Mesyuarat dengan bos gemuk, pengarah-pengarah, pengurus-pengurus dan anak-anak buah.

Selepas beberapa jam, lalu mesyuarat pun habis.

"Hairan ye..." kata bos gemuk.

"Hari ini tak ada orang call henpon saya." Sambil beliau menyeluk poket seluarnya itu.

Dalam genggamannya tangan kanannya kini sebuah henpon.

Di letakkannya henpon terbabit ke atas meja. Semua mata tertumpu ke arah benda itam tersebut.

Naik keras perut kami menahan gelak, kang kalau gelak kuat-kuat kang risau bos gemuk kecil hati.



Rupa-rupanya benda itam yang bos gemuk capai atas TV pagi tadi bukanlah henpon, tapi remote TV! Buwahahahaha

Thursday, June 14, 2007

Anak Lelaki Saya Kerja Kilang Roti

Suatu masa di zaman bujang.

Aku bekerja di bandar. Hujung minggu baliklah ke kampung. Rindu sama masakan emak.

"Kau ni sekolah tinggi-tinggi, mengapalah kerja kilang roti yang kau buat...?" Mak merunguti aku.

Aku terkejut.

"Bila mak bersembang dengan kawan-kawan mak, dorang pun terkejut... ta'kanlah kerja kilang roti..." Aku bertambah terkejut.

Bila masa pulak aku kerja kilang roti? Bila masa?

"Mak, saya tak kerja kilang... saya kerja opis." Aku cuba menjelaskan kekaburan.

"Tapi minggu lepas kau tak dapat balik... masa tulah kau cakap kau kerja kilang roti!" Kata emak.

"Bukan... bukan... sebenarnya minggu lepas saya telefon mak minggu tu tak dapat balik..." Koma. Tarik nafas.

"Saya tak dapat balik sebab ada kerja OT... bukan roti!"

"O'oh.."

Tercemarlah sudah namaku seluruh kampung, anak Utih Sajar pekerja kilang roti. Siapalah selepas ini sudi mengambilku sebagai menantu? Huhuhu

Friday, June 08, 2007

Panggung lengang sebab ini hari kerja maa

"Kita tak pernah tengok wayang berdua kan, bang?"

"A'ah lah... takpe minggu depan abang ponteng sehari."


Semalamlah hari yang aku janjikan itu. Kami hantar anak-anak ke rumah pengasuh mereka. Awek aku ni tenaga pengajar sekolah. Sekarang sekolah cuti, jadinya dia kadang-kadang rasa boring asyiklah mengadap kerja rumah.

Aku ajak dia menonton wayang. Pagi kami menonton Spiderman 3. Petang kami menonton Pirates of the Caribbean: At World's End. Aku ajak dia menonton Shrek 3 pula, dia menolak dengan alasan sangat sangat penat.

Habis menonton kami berpendapat Spiderman lebih bagus daripada Pirate. Spiderman lebih banyak 'perisa', seperti unsur-unsur saspen, dramatik, kelakar, sentuhan hati - ya! part sentuhan hati dalam Spiderman 3 inilah yang paling aku suka. Sampai dah balik rumah pun masih terbayang-bayang citer Spiderman 3 nih! Gua recommended citer ni weh!

Citer Pirate pun besh gak, tapi sebab terlampau banyak twist dalam citer tu atau sebab 'kartun' dorang tak 'setajam' Spiderman makanya tak berapa kick.

Dulu masa muda-muda, menonton wayang bukanlah tersenarai dalam rutin aku. Sekali pun tak pernah menonton wayang (kecuali wayang pacak di padang sekolah masa budak-budak). Masa bertunang pulak, aku takut nak ajak tunang keluar berpacaran apatah lagi pergi menonton wayang. Hal ini kerana aku difahamkan bakal pak mertua ada selaras senapang patah! Kecut wa. Lagi pun memang aku tak berapa minat. Habis je STPM dulu, aku terus bekerja, mula-mula jadi cikgu lepas tu jadi kerani. Hujung tahun 1990an dulu VCD pirate pun berlambak-lambak. Beli VCD ni tonton wayang di rumah sambil bergolek makan kerupuk.

"Dah ada anak tiga barulah merasa menonton bersama, ya bang?"

"A'ah.." Jawab aku sambil menahan sejuk air-cond dalam panggung. Lain kali aku nak pakai baju tebal sikit.

Wednesday, June 06, 2007

Dude, Where's My Car?

Semalam memang bukan hari aku. Masam masin.

Masuk pejabat awal-awal membereskan itu ini. Kemudian ke tapak binaan untuk menguruskan pasukan di sana. Perunding itu pula yang main-main dalam pekerjaan. Marah betul aku. Sudahlah mungkir janji nak datang pukul 12, sampai pukul 1 pun belum muncul. Memang bengang aku dengan orang tua tu. Binatang!


Pada sebelah petang aku menghantar dokumen penting ke firma di seksyen 14 Shah Alam. Parking kereta. Buka pintu utama. Jumpa penyambut tamu, ambil pas. Tekan butang lif tingkat 3A. Seterusnya urusan beres.

Keluar dari bangunan tersebut aku ke kereta. Tapi... di mana kereta aku? Aku tercari-cari. Bila masa pulak tiang papan tanda zon tunda ada kat sini. Tadi tak ada papan tanda ni, sumpah!.

Bila aku bertanya abang guard, dia jawab "Orang majlis dah tarik agaknya, pejabat dorang kat sana, pergilah tanya."

Baru minggu lepas boss aku komplen badan aku gemok. Pergi bersenam, katanya. Nah amik! berjoginglah aku petang ni sambil mengira anak tangga Wisma MBSA.

Ini dia maklumatnya. Kalau terus ambil di depot tunda bayar RM310. Kalau merayu RM290. Tulis surat rayuan, hantar ke kaunter, awek kaunter bagi boss dia. Ok, bayarannya RM140.

Aku dah call kawan aku tadi. Aku belanja dia. Menumpang lori dia kami ke seksyen 17. Di dalam lori tersebutlah aku mandi. Mandi peluh sebab panas tak ada air-cond! Bukak tingkap pun tak guna sebab matahari belum tidur lagi.

Depot tunda, itulah nama tempatnya.


Aku sempat bertanya penolong penguatkuasa cik adik manis, "Berapa bijik kereta ditunda dalam sehari?".

"Dalam sepuluh ke dua belas buah." Jawab dia. Manisnya dia. Alahai.

Bayangkan ya, kalau sebuah kereta dikenakan RM300 katakan kali dengan 10 buah kereta sama dengan RM3000. Wow! kaya... kaya.

Pagi tadi dah diskas dengan boss botak. Haram satu sen pun boss botak taknak tolong cover balik kompaun yang aku bayar. Takpelah botak...takpe.. takpe..

Tuesday, June 05, 2007

Bulu kening nipismu dicabar maskara

Membelek-belek henpon seorang brader.

Tengah dok belek-belek galeri dia, terpapar gambar awek mengancam. Zoom in... zoom out... zoom in... zoom out...

"Perghhh seksi gila babeng awek ni... nyam nyam nyam nyam nyammmmmmmm!!!, kawan kau ke?"

A'ah kawan aku, nama sebenar dia Faizal tapi nama manja dia Fira."

Ha!?

Babi kau hark petuih petuih petuih!!!





Nota : Nama watak sudah ditukar demi keselamatan dan maruah, blog ini kantoi kalu... masak aku.

Monday, June 04, 2007

Welcome to the club

Nama Kemat yang berdaftar ialah En. MOHD. HATIM BIN AHMAD dan isterinya pula
Pn. NAHDIYA BINTI SABIRIN.

Friday, June 01, 2007

Kotak bertayar

Gambar sekadar hiasan, tiada kena-mengena langsung.


Pergi ke showroom Prot*n untuk bertanya-tanya pasal promosi Isw*ra RM27K yang sedang berlangsung sekarang. Selidik-selidik juga jika boleh trade-in kereta cabuk aku ni.

Kedai yang pertama menawarkan harga trade-in RM3K. Isw*ra yang dalam promosi tu hanya menawarkan dua warna sahaja iaitu warna oren dan hitam. Yang tak sedap tempoh menunggunya 5 bulan! Cik Adik si jurujual tu cakap model lain seperti Wi*a, Ge*-2 ex-stock, tempoh menunggu sangatlah singkat.

Kedai yang kedua menawarkan harga trade-in RM5k.

Kedai yang ketiga dan keempat harga trade-in RM2K, jatuhnya maruah kereta ni harga lebih murah daripada motorsikal.

Apa yang menarik perhatian aku ialah, hampir semua kedai ni menggunakan 'strategi' yang sama. Iaitu kereta Isw*ra tak ada stok tempoh menunggu 3-5 bulan, tapi model lain (yang lebih mahal) ex-stock, cepat boleh diproses untuk dimiliki.

Aku musykil. Dorang ada komplot. Mungkin.

Kerana kereta model ini harganya rendah dan margin keuntungan tak seberapa. Mereka guna cara lain untuk melariskan model yang mahal sedikit untuk margin keuntungan yang lebih memuaskan.

Tahu tak, dalam tempoh 3-5 bulan tu. Pesaing dah keluarkan model baru dan para pengguna dengan serta-merta boleh berubah fikiran. Kau bakal hilang bakal pembeli satu-persatu...

Mereka patut fikirkan pasal volume, murah tak apa tapi sasarkan volume yang besar, sekurang-kurangnya produk boleh 'masuk'.

Satu perkara lagi ialah yang membuat aku sakit hati. Kereta ada berlambak- lambak, dikatanya tak ada stok. Kita ni graduate punya orang, bukannya orang kampungan .

Aku lontarkan pertanyaan bertubi-tubi, lalu Cik Adik si jurujual itu pun lelah. "Prot*n ada masalah dalaman encik."

Masalah nak kaya cepat. Kata aku dalam hati.

Pengumuman!!! >>> MASKARA

Friday, May 25, 2007

Jika hari ini seorang penebar roti canai



Orang gomen dah selamat dah dapat naik gaji. Sekarang ni orang dari sektor satu lagi pulak 'mengangkat AK-47' mereka 'berjuang' untuk naik gaji pula.

Gomen ni pendapatan dia paling besar tentulah daripada kutipan cukai. Sektor swasta atau perniagaan pula daripada keuntungan jualan barangan atau perkhidmatan.

Roti canai naik harga seposen, walau pun seposen tu kecil nilainya (fee masuk tandas lagi mahal dari seposen), nilai seposen itulah nanti memberi impak untuk kenaikan gaji para penebar roti canai.

Masalahnya sekarang, banyak orang, banyak persatuan, banyak NGO menentang kenaikan seposen roti canai. Selepas ini, nampak gayanya para penebar roti canai kenalah buat kerja part time kalau nak menambahkan pendapatan, menjadi penulis surat berdaftar misalnya.

Atau pun tubuhkan PENEBAR iaitu Persatuan Penebar Roti Canai Seumat. Korang ramai-ramai pakat buat tekanan pula, bersatu teguh bercerai roboh. Boleh, pekerja kilang tepung pun boleh kalau nak tubuhkan persatuan, sila sila...

Bayangkan, jika hari ini seorang penebar roti canai boikot menebar. Bayangkan jika semua penebar mogok.

Pasti aku salah seorang yang menderita teguk teh tarik tanpa roti canai hidup tak bermakna!

P/s: Lepas ni tukarlah selera makan roti Arab, ye tak?

Tuesday, May 22, 2007

Gambar-gambar masa kat wad hospital

Antara gambar-gambar masa kat wad.


Katil aku ditempatkan di wad 4C.

Orang katering hantar minuman petang. Sehari 6 kali makan/minum disediakan. FREE!


Mak datang melawat.


Seorang nurse sedang berusaha mencari urat kawan sebilik aku ni, nak ambil darah.

Air tak putus-putus dimasukkan. Aku terima hampir 20 botol.

Gemuk jari aku jadinya, masukkan dua botol air dalam masa dua jam.




Anak aku, Tuah Danish datang bermanja.


Masa aku dah keluar wad, kawan sepejabat melawat kat rumah. Dorang bawak buah-buahan.

Saturday, May 19, 2007

Kena Demam Denggi

Bermula dengan demam dan MC 2-3 hari. Tetapi berlarutan dengan sakit-sakit badan. Painkiller langsung tak mendatangkan kesan. Dari situlah aku buat dua kali ujian darah. Seterusnya lengan kiri aku di cucukkan jarum 3 inci kemudian air dimasukkan sebotol demi sebotol.

Sebetulnya aku tak pernah lagi tidur di wad. Makanya kali ini aku pecah rekod peribadilah. Tidur di wad hospital Sg. Buloh berlarutan sampai 5 hari. Pallet darah kian merosot daripada 103 kepada 77 kemudian 40 lebih sahaja. Dalam tempoh itulah keluarga aku membawakan sup ketam khas untuk menaikkan pallet darah. Pada masa yang sama perut naik kembung bahana meneguk 100 Plus.

Denggi mana ada ubatnya, hospital akan masukkan air lepas satu botol ke satu botol. Aku sendiri sudah menerima hampir 20 botol air. Naik bengkak dah tangan aku.
Demam denggi ni membuatkan badan sangat lemah. Hilang selera makan. Demam yang tak kebah. Sejuk sepanjang malam.

Pada hari ke-5 doktor membenarkan aku discaj dari wad. Gembira tak kepalang maklumlah sebelum ni wad aku ditempatkan bercampur dengan para pesakit HIV, TB dan para banduan. Keselamatan ditahap kritikal sampaikan anak-anak aku pun tak dibenarkan masuk melawat aku pada masa itu.Katil dah penuh masa tu, maka sumbat sajalah di mana-mana yang kosong. Pada hari ke-4 dan ke-5 barulah dipindahkan ke wad pesakit normal yang semuanya kena denggi. Ramai Melayu, Cina, India, Bangla malahan Afrika terlantar tewas ditangan denggi. Aku bertuah juga sebab ditempatkan dalam bilik dengan empat orang sahaja sebilik, dari awal sampailah masa nak balik.

Makanan hospital sedap belaka maklumlah ia disediakan oleh katering tempahan khas. Setiap hari makan lauk ayam atau ikan, sayur, sup dengan minuman 6 kali sehari. Tetapi semua itu FREE belaka, tak payah satu sen pun.

Terima kasih kepada pihak hospital yang memberikan layanan terbaik walaupun di wad kelas 3. Terima kasih kepada para doktor, juga nurse-nurse yang bekerja siang malam, nurse yang cantik jelita yang sudi melayan kerenah (dan sedikit kegatalan haha). Terima kasih semua ahli keluarga yang sanggup datang melawat dan bawakan sup ketam yang hebat itu. Terima kasih kepada Wawa dan rakannya yang sudi datang melawat hari tu.

Keluar daripada hospital, doktor bagi lagi beberapa hari MC, jadinya hampir dua minggu aku tak masuk kerja. Hari ini pun badan masih terasa berat, makan masa juga nak pulih sepenuhnya.

Wednesday, May 09, 2007

Buku Masuk Barisan

Kalau dah beli boleh tulis ulasan/komen/kritik di forum;

Wednesday, April 18, 2007

Empat Puloh


Alang-alang aku pergi site meeting kat Bangsar, aku singgah di kantor bang Naga. Melalui SMS aku pesan dua ketul 'buku senapang'. Minggu lepas aku datang, tapi masa tu buku dalam oven lagi.

Menghairankan sebab bang Naga jumpa aku dengan tangan kosong. Mana buku senapang?

Belum sempat aku buka mulut... zup.. zap.. dua ketul buku dikeluarkan dari poket seluarnya. Boleh muat dua naskah buku dalam poket bang Naga, takjub aku! Sama ada buku itu yang cute atau seluar bang Naga yang cute hehe

Dua-dua ketul buku tu bang Naga dah sign. Satu aku punya, satu lagi still available!

Hari ini juga birthday bang Naga sebenarnya, cadang nak belanja lunch. Tapi aku datang bukan masa lunch daa... Lain kalilah kita ngeteh sama-sama.

Jadinya Dugong Senyum ini sekadar menghadiahkan bang Naga sebuah senyum sahajalah --> :-)

Tahniah kepada bang Naga atas ulangtahun kelahiran dan tahniah juga kepada Sindiket Sol-jah atas kelahiran buku yang satu lagi. Malam kang kalau tak ada aral akan khatamlah buku ni aku ratah-ratah nyam nyam nyam...

Friday, April 13, 2007

LOGO FUYO (versi 1.0.0 beta)




Logo fuyo hendaklah menepati spesifikasi yang telah ditetapkan.

Logo fuyo hendaklah dicetak dengan terang pada setiap produk yang dikeluarkan dan dilabelkan pada setiap kotak/ bungkusan / kulit belakang buku/blook.

Bagi premis makanan, logo fuyo hendaklah dipamerkan di premis berkenaan.

Bagi hotel:
-logo/sijil fuyo hendaklah dipamerkan di bahagian dapur atau di seksyen fuyo di restoran yang disahkan fuyo sahaja. Tidak dibenarkan menampal logo/sijil fuyo di bahagian kaunter pembayaran dan sebagainya;
-tidak dibenarkan dicetak pada menu makanan/ minuman.

Logo fuyo boleh digunakan bagi tujuan iklan dan hendaklah diletakkan pada tempat yang sesuai.

Pihak syarikat dibenarkan mencetak warna logo mengikut kesesuaian pembungkusan produk masing-masing selagi mana tidak mengubah spesifikasi logo asal yang dikeluarkan.

Sekian, terima kaseyyy


Friday, April 06, 2007

Rahsia

Aku dapati rambut Aqilah keras tercacak macam dawai. Waktu kami makan malam pula, budak ni kebulur semacam, minta aku suapkan. Kak Baby-sitter (Kak BS) tak mandikan dan bagi budak ni makan ka?

Menghantar awek ke klinik suatu hari. Tiba-tiba terserempak dengan Kak BS dan suami. Demam katanya, ada bisul nak pecah. Habis... baby aku siapa yang jaga jika Kak BS dan suami ada di klinik ini?

Mak aku tinggal dengan kakak. Kerana rumah Kak BS selang satu blok dengan rumah kakak aku. Mak kadang-kadang menjenguk cucunya di rumah jiran untuk melepas rindu. Beberapa kali mak cakap Kak BS tiada di rumah, adik ipar dia yang jaga baby. Jaga tak seberapa katanya, entah mandi entah makan suka hati budak-budak itulah. Kemana Kak BS, kami tak pernah miss bayaran, kenapa dia buat macam ni?

Oleh kerana kami ada masalah tersendiri maka Aqilah kami hantarkan ke orang lain. Setakat itu tiada masalah. Lagi pun kami dapat jimat jarak penghantaran sebanyak 20km. Marah tu tidak tapi geram.

Hari ini sudah hampir seminggu Kak BS dikebumikan. Kanser payudara. Mati muda.
Arwah dah buat operasi dan buang sebelah hartanya itu. Tapi tak pernah cerita. Derita yang arwah tanggung pun dirahsiakan waima kepada suaminya sendiri. Agaknya kanser sudah merayap dan menjamah bahagian otaknya pula, sebab itu kebelakangan ini kerap sakit kepala.
Aqilah masih belum faham apa-apa, kalau cakap pun mama dia dah meninggal dia cuma terpinga-pinga.
Berbaloikah merahsiakan barah daripada pengetahuan sesiapa? Menanggung siksa tanpa berkongsi perasaan dengan orang lain? Mengapa pentingkan diri sendiri?
Namun dalam sedih dan sedikit hati amarah aku tetap tak lupa sedekahkan Al-Fatihah.
Ps : Minggu sudah 2 orang yang aku kenal mati kerana barah, satu Kak BS dan satu lagi Pak Teh (Geng Jurnal). Manakala ayah pengurus kantor katanya tinggal kulit dan tulang juga akibat barah. Kejamnya kau barah.

Wednesday, March 28, 2007

best gila babi nak mampos

BPR - Harum Subur Di Hati

What say you ?

Monday, March 19, 2007

Lupa

Gerai itu bukanlah jauh sangat dari rumah aku. Kalau berjalan kaki 2-3 minit boleh sampai. Tiap-tiap minggu pun aku memang berjalan kaki saja kalau mau beli nasi lemak atau karipap atau bingka atau mee hoon goreng atau mee goreng, untuk sarapan.

Tapi pagi itu aku malas, jadi aku pandu kereta memang mengada-ngada. Aqilah empat tahun pula nak mengikut, memang dia pantang bila nampak aku bersiap-siap berpakaian, " Ayah!... ayah nak pergi mana?"

"Kedai."

"Nak ikuuuutttt..." Terkedek-kedek budak ketot empat tahun ni meluru ke arah aku seterusnya ke rak kasut mendapatkan dan menyarung selipar kegemarannya.

Nasi lemak daun pisang dua, karipap dua, apam dua, keria dua, "Empat ringgit" kata brother yang berniaga sekeluarga dengan van, agaknya dah bertahun berniaga tanpa lesen. Laris gila gerai dia ni, kalau datang pukul 8.30 kau dapati dia dah kemas dah meja gerai dia, licin!

Selepas beli makanan kami singgah di kedai runcit bersebelahan, aku nak beli kopi tiga dalam satu - Ali Cafe. Lepas tu kami balik.

Aqilah ni belumlah pandai sangat bercakap walau pun kadang-kadang keletahlah juga. Aku rasa kalau dia pandai bercakap, tentu lebih kurang begini cakapnya ;

"Ayah... bukankah tadi kita pergi kedai berkereta, mengapa bila balik kita berjalan kaki dan tinggalkan kereta?"

Ya Allah! kereta aku! Segera kami berpatah balik dan meluru ke arah kereta yang elok terletak di depan kedai runcit tadi.

Dari hujung mata sempat aku menyambar renungan dan senyuman sinis brother nasi lemak tadi, dalam hatinya mungkin berkata, "Mamat ni nak sedekahkan kereta dia ka? Dia boleh claim insuran, aku boleh jual ke scrap haha."

Wednesday, March 14, 2007

Terjah


Aku masuk ke dalam tandas di sebuah stesen minyak. Tetapi semua tandas sedang digunakan. Jadinya aku berdiri di situ menunggu orang 'di dalam' selesaikan tugas.

Tiba-tiba ada muka lelaki terkejut di muka pintu. Mungkin terkejut terpandang aku yang macam bodyguard tak bergaji, atau apa. Lepas tu aku nampak lelaki tu macam tak puas hati. Dia di muka pintu. Kaki kanan kat dalam tandas kaki kiri kat luar. Dia pergi belek simbol kat tepi pintu tandas. Agaknya dia nak pastikan dia tak salah masuk tandas lelaki. Dia tengok simbol, dia tengok aku, dia tengok aku, dia tengok simbol... apa barang Mamat ni?

Dia ingat aku tersilap masuk tandas perempuan. Sebenarnya dia yang tersilap. Dia tersilap termasuk ke tandas lelaki.

Dia bukan lelaki seperti yang aku sangkakan. Dia perempuan, itulah sebab dia melangkah ke pintu sebelah iaitu pintu tandas perempuan. Patutlah tadi aku curiga saja memerhatikan bulu kening dan dada dia.

Nasib baik aku ada berdiri kat situ, kalau tak mungkin dia dah terjah kencing kat tandas lelaki!

Berani berpakaian seperti lelaki, tapi tak berani pula kencing macam lelaki di tandas lelaki haha

Saturday, March 10, 2007

Soal Siat KIRI

Pada hari Sabtu yang lepas (10 Mac 2007) bermula pukul 2.30 ptg - 4.30ptg. Telah berlangsung Wacana Soal Siat Kiri karya Tok Rimau dan Dean Sham. Di Rumah PENA.

Majlis dianjurkan boleh Sekretariat Penulis Blog (SPB), Unit Multimedia Pena. Dihoskan oleh Sinaganaga, manakala jamuan diatur oleh Nazmi @ Bukunota.

Antara Gengjurnal yang hadir Mat Jan, Kingbinjai, Vovin, Amir Mukhris, Cik Daun, Nida, Amys, Nesloice, Spyz, Opx04, Encik Zakir (S/U Agung PENA), dan ada yang aku miss ?

Tok Rimau (Penulis Skrip) dan Dean Sham (Pengarah Filem) berkongsi dengan kami semua tentang kemenangan dan anugerah yang mereka telah perolehi. Pengalaman-pengalaman disebalik tabir pembikinan filem pendek Kiri. Majlis dimeriahkan lagi dengan sesi soal-jawab. Tok Rimau juga memberikan motivasi serta galakan kepada kami agar menerbitkan filem pada masa depan.

Secara peribadi aku kenal Tok Rimau ni memang salah satu hobinya merakam dan membuat video pendek. Kalau GJ buat aktiviti dirakamnya event tersebut dan dijadikannya video pendek contohnya Gathering, Projek Basah di KLD, Sessi mengeteh dan video Cakarama. Jadi Tok R melangkah setapak lagi dengan menerbitkan video ke arena yang lebih serius.

Dalam sessi soal jawab ini aku sempat bertanya beberapa soalan juga. Aku sebenarnya buta filem jadinya aku soal apa yang aku rasa tak kena dengan filem pendek tersebut. Antara soalan aku ialah; *Awas Spoiler*

1) Beberapa babak filem ini dilatari dengan poko kelapa sawit, kenapa sejak Bidadari kecil sampai Bidadari besar jadi anak dara saiz dan tinggi kelapa sawit itu tetap sama dari dulu sampai sekarang?
2) Rehal PVC dan tong air (biru) PVC yang terdapat pada latar zaman kanak-kanak Bidadari macam tak logik sebab zaman tu dah ada kah benda produk PVC sebegini ?
3) Mungkin mak Bidadari (janda anak satu) akan mengecat tangga rumahnya dengan cat biru setiap kali Chap Goh Meh setiap tahun. Tu pasal warna tangga tu kelihatan tak luntur-luntur dari Bidadari kecil sampailah dah besar nak dipinang orang.

Macam aku tulis tadi, aku ni buta filem jadinya soalan-soalan aku pun hentam buta sajalah. Tapi aku respek habis sama Tok R & Dean Sham sebab dorang ni jawab dengan merendah diri. Dorang ni buat filem dengan bajet & equipment serta ilmu yang sangat terhad katanya. Sangat-sangat terhad, jadi terimalah seada-adanya hasil dorang ni. Apa pun filem ni dah menang anugerah, jadinya anugerah ni dah 'menutup' segala kelemahan yang ada. Cuma pada masa depan kelemahan-kelemahan yang ada boleh diperbaiki.

Sekali lagi tahniah kepada Tok R & Dean Sham serta krew atas hasil filem yang berjaya. Tahniah kepada SPB kerana berjaya menganjurkan event, suatu permulaan yang baik untuk SPB dan GJ.

Thursday, March 01, 2007