Friday, September 25, 2009

Rumah Di Tengah Sawah


Satu perkara yang biasa aku buat tapi tak buat masa raya kali ni ialah bermain mercun. Entah mengapa raya kali ni aku tak ada mood nak main mercun, bunga api atau apa-apa bahan letupan. Selalunya aku mengalahkan budak-budak. Anak-anak buah tak seberapa, pakcik dorang ni yang lebih-lebih. Pernah sekali semasa mengubah suai mercun di bawah rumah, mercun meletup di hujung jari. Mujur tak kudung, tapi aku pekak sebelah.

Bercakap pasal letupan, masa budak-budak dulu aku ada main meriam kabait. Aku ambil paip plastik diameter 4 inci sepanjang 3 meter. Aku tanam sikit dalam tanah lebih kurang 1 kaki, ditanam lebih kurang 45 darjah menghala ke hujung kampung. Tebuk lubang untuk cucuh.

Di tepi rumah di kampung aku tu dulu ada pokok sukun. Di bawah pokok sukun itulah aku dan adik-adik bermain meriam kabait. "Port" kami main meriam tu pulak diredupkan oleh pokok-pokok kelapa sawit yang baru nak naik. Bersempadan dengan sawah orang. Lepas tu nanti terdengarlah bapak bersuara dari bawah rumah, dari pangkin tempat dia baring-baring mengatakan kepada kami main meriam tu bahaya. Tapi suara bapak tu macam dibawa angin sawah, kami tak dengar.

Meriam kabait aku tu takdelah sekuat mana pun, sekadar untuk suka-suka dan memeriahkan suasana je. Suatu masa dulu orang kampung berlawan kekuatan meriam kabait. Selain paip plastik sebagai meriam, ada orang guna paip besi, ada yang sekadar menggali lubang ditepi parit (namanya meriam tanah), yang paling hardcore buat meriam dari batang pokok kelapa. Batang pokok kelapa ditebuk tengah, diperkukuhkan dengan rantai besi, suaranya boleh menggegarkan seluruh kampung!

Sekarang meriam-meriam ni dah takde (kalau ada tak semeriah mana pun).

Selepas beberapa tahun, kelapa sawit dah terlampau tinggi dan kurang ekonomi, maka semuanya disodok menjadi sawah padi. Jadilah rumah kami yang dulunya dalam kebun kini menjadi rumah di tengah sawah.

Pokok sukun dah tak ada. Meriam kabait pun dah tak ada. Bapak pun dah lama tak ada. Sekali-sekali bila terkenang arwah bapak dan suaranya yang dibawa angin sawah.

No comments: